Khamis, 10 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Transformasi UMNO, semangat Aidiladha

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Mohd. Shauki Abd Majid
PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

SELASA 15 Oktober 2013 bersamaan 10 Zulhijjah 1434, umat Islam seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Korban, satu tarikh besar yang diingati berdasarkan pengorbanan dan proses penjernihan diri. Pada hari ini, seluruh umat Islam mengerjakan ibadat haji, iaitu rukun Islam kelima melakukan wukuf, suatu ibadat yang menjadi kemuncak dan pelengkap dalam proses pencerahan tersebut.

Setiap Muslim yang mengerjakan ibadat haji akan melakukan ibadat korban sebagai usaha bertaqarrub atau memerdekakan diri kepada Allah. Bertaqarrub turut dilakukan oleh Muslimin di seluruh dunia sebagai ibadat sunat bagi setiap orang yang waras dan berkemampuan.

Baginda Rasulullah SAW menegaskan, orang yang tidak melaksanakan ibadah korban sedangkan dia mampu, maka jangan dekat kepada kami yang melaksanakan ibadah ini.

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah dari Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?" Jawab Rasullullah SAW: "Itulah sunah daripada nenekmu Ibrahim." Sahabat itu bertanya lagi: ''Apakah keuntungan korban itu untuk kita?" Jelas Baginda: "Tiap-tiap bulunya merupakan satu kebaikan (hasanah)."

Menurut Iman Syafei, hukum korban adalah sunat muakad yang sangat dituntut kepada mereka yang mampu termasuk para hujjaj (jemaah haji) yang berada di Mina dan terutama umat Islam yang berada di kampung halamannya sendiri, kerana ia amalan yang sangat dikasihi Allah pada hari nahar (Hari Raya).

Di samping itu, sempena Hari Raya Korban ini umat Islam dituntut merapatkan ukhuwah Islamiah di samping bersikap toleransi sesama manusia. Ketika hayatnya Rasulullah SAW pernah diajukan soalan mengenai seorang wanita yang banyak melakukan ibadah, berpuasa, bersolat tetapi wanita itu suka menyakiti hati jirannya.

Nabi Muhammad SAW menyifatkan tindakan itu sebagai hiya finnar, iaitu tidak membangunkan hubungan baik dengan masyarakat atau jirannya, dan sebagai balasannya, ia akan dicampakkan ke neraka.

Hari Raya Korban sebenarnya menuntut kita agar lebih banyak beramal sosial dan ia perlu dilakukan secara meluas, bukannya bersifat formal.

Terbukti sudah, berapa ramai mereka yang sering melaksanakan ibadah korban tetapi perangai masih tetap tidak berubah, masih bakhil, sombong, riak, tamak, tidak amanah dan hidup dalam budaya rasuah. Lebih teruk lagi mengambil sikap mengasingkan diri daripada masyarakat.

Amal sosial sekalipun nampak remeh dan kecil namun di sisi agama ia sangat dihargai dan besar maknanya. Walaupun sekadar bermuka manis ketika bertemu kawan atau membuang duri di jalan, ia sudah dinilai dalam Islam sebagai orang yang beriman.

Oleh kerana kehidupan umat Islam adalah berbeza-beza, terutama dalam perspektif sosioekonomi dan sosiobudaya, mereka yang berada dalam situasi yang lebih baik wajib melihat kegetiran hidup umat Islam lain.

Umat Islam yang hidup dalam kesulitan, tertindas, teraniaya atau tersingkir daripada labuhan persadanya; umat Islam yang memiliki kesenangan hendaklah berkorban melakukan proses penyelamatan atau pembebasan menerusi pengorbanan wang ringgit, tenaga dan fikiran.

Mereka yang mempunyai kuasa diharamkan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menindas mereka yang dalam kesusahan.

Haram bagi seorang Islam untuk mengambil kesempatan mencari kekayaan peribadi atau menguatkan kedudukan sendiri dengan mengeksploitasikan kesulitan orang lain. Inilah yang sebenarnya ditekankan oleh Islam sebagai agama kesejahteraan bagi setiap manusia.

Dalam situasi kempen politik yang sedang berlaku, jelas ada petunjuk bahawa pihak yang menyokong seseorang berusaha untuk menafikan hak pihak lain dengan memperkenalkan syarat tertentu sebagai proses penyekatan proses demokrasi.

Misalnya, mengenai pemilihan UMNO yang dikatakan paling demokratik sejak penubuhannya, ada usaha untuk menggagalkan pihak lain dengan meletakkan syarat, seseorang calon yang layak bertanding ialah mereka yang pernah memegang jawatan di peringkat bahagian. Ini bermakna, meskipun ada calon yang menawarkan diri, ia tetap ditolak kerana ketokohannya tidak cukup syarat kerana tidak mempunyai jawatan dalam bahagian.

Proses ini menjadi sedikit terencat kepada proses pendemokrasian politik yang hendak dilaksanakan, kerana sebelumnya, syarat itu tidak ditegaskan termasuk ketika proses penerimaan pencalonan seseorang. Sepatutnya, pihak yang menguruskan proses tersebut bersedia memberikan penolakan di peringkat awal dan bukannya selepas beberapa siri memperkenalkan calon yang ketat dan meletihkan.

Kempen secara terbuka tidak lagi diberikan keutamaan kerana pihak yang menguruskan pemilihan melihat ia sebagai suatu kemungkinan yang boleh menjejaskan calon yang disokongnya secara senyap-senyap menang.

Sebenarnya, ada sekelompok dalam pengurusan pemilihan tidak senang dengan kemunculan atau kemenangan calon baharu yang dilihat boleh menjejaskan kedudukannya sebagai pekerja parti yang menguruskan perjalanan proses transformasi yang lebih meluas dan berkesan.

Mengambil semangat dan kesan psikologi yang hendak diterapkan menerusi erti pengorbanan dalam Islam, maka syarat yang dikenakan itu sepatutnya dikorbankan kerana ada sebahagian pemimpin tertinggi UMNO sudah dilihat tidak lagi berkesan, suaranya hanya nyaring ketika berkempen tetapi selepas menduduki jawatan penting, suaranya umpama badut politik yang hanya tahu menjaga kedudukan tetapi tidak meneruskan janjinya untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun, pemimpin ini adalah orang yang pintar bermain dengan kata-kata tetapi amat kerdil dengan tindakan. Prinsip perjuangannya adalah "manis di bibir, langkah seharian begitu sumbang", dan orang ini sebenarnya sudah tergelincir imannya. Meskipun masih boleh bersyahadah, tetapi syahadahnya hanyalah sekadar mainan kata-kata, kalbunya jauh daripada lingkungan ubudiah dan ukhuwah.

Kelompok ini hanya sekadar bertahan agar tidak dilihat imannya tergelincir, sentiasa mempamerkan wajah manis tetapi tidak dengan keikhlasan.

Persoalan sedemikian boleh diperhatikan daripada sikap segolongan mereka yang pernah memimpin di Iraq, Mesir, Yaman, Palestin , Bosnia-Herzegovina dan Yugoslavia, akhirnya kerana ingin mengekalkan kuasa yang dimiliki, sanggup menindas dan mengeksploitasi orang awam yang menyokongnya dengan prinsip berbohong atau cognitive dissonance.

Secara mudahnya, prinsip ini tidak selari dengan apa yang menjadi intipati perjuangan, yakni cakap tidak sama dengan apa yang dilakukan. Oleh kerana mahukan kedudukan, maka orang sanggup berbohong dan menutup kelemahan sendiri dengan merayu, membasuh minda orang awam bahawa jangan dicurah air di tempayan hanya kerana mendengar guruh di langit.

Walhal, air di tempayan hanyalah tinggal keladaknya sahaja, maka keladak itu wajib dicuci agar hujan yang bakal mencurah turun boleh mengisi tempayan dengan air yang bersih. Pemimpin yang baharu mungkin lebih baik kerana mereka belum mempunyai kesalahan, kuat semangat dan lebih bertenaga berdasarkan kepakaran yang dimilikinya.

Dari segi realiti, hari ini juga kita dapat lihat kehidupan sesetengah orang yang berbeza atau berlawanan dengan apa yang kita bicarakan ini. Ada yang sekadar membina hubungan baiknya dengan Tuhan dengan banyak beribadah kepada-Nya, tetapi tidak dengan masyarakat sekitarnya.

Sementara itu, sebahagian orang pula hanya menjalinkan hubungan baiknya dengan masyarakat dengan banyak beramal sosial, tetapi melupakan jalinan hubungan baiknya dengan Allah.

Dan yang lebih teruk lagi manusia yang langsung tidak peduli dengan Allah dan juga dengan sesama manusia. Golongan ini dilaknat Allah dan dibenci oleh masyarakat. Tiga jenis pola kehidupan ini amat bertentangan dengan Islam dan bertentangan pula dengan amanat Aidiladha.

Dalam hal ini Allah SWT telah memperingatkan perkara ini melalui firmanya yang bermaksud: "Kehinaan akan ditimpakan kepada manusia dimana pun mereka berada kecuali kalau manusia itu menghina hubungan baiknya dengan Allah dan hubungan baiknya dengan sesama manusia…." (Surah Ali lmran ayat 112)

Demikian juga keistimewaan Nabi Ibrahim AS wajar diteladani oleh seluruh manusia seperti mana yang diwujudkan dalam bentuk ibadah haji.

Keteladanan yang diwujudkan dalam bentuk ibadah tersebut dan praktik-praktik ritualnya berkaitan dengan peristiwa yang dialami oleh beliau dan keluarganya, pada hakikatnya merupakan penegasan kembali dari setiap jemaah haji, tentang keterikatannya dengan prinsip-prinsip keyakinan yang dianut oleh Ibrahim AS yang intinya adalah:

(1) Pengakuan akan keesaan Tuhan serta penolakan terhadap segala macam dan bentuk kemusyrikan, baik berupa patung-patung, bintang, bulan dan matahari, bahkan juga segala sesuatu selain Allah SWT.

(2) Keyakinan tentang adanya neraca keadilan Tuhan dalam kehidupan ini dan yang puncaknya akan diperoleh setiap makhluk pada hari kebangkitan kelak.

(3) Keyakinan tentang kemanusiaan seseorang yang bersifat universal, tiada perbezaan dalam kemanusiaan seseorang dengan lainnya, betapa pun terdapat perbezaan antara mereka dalam hal-hal lainnya.

Ketiga-tiga inti ajaran ini tercermin dengan jelas atau dilambangkan dalam praktik-praktik ibadah haji. Dan, seharusnya proses pencerahan yang berlaku menerusi ibadat haji dan prinsip pengorbanan dalam Aidiladha dapat dijadikan panduan berguna buat pemimpin politik UMNO sepanjang pemilihan pada tahun ini.

Jika pengajaran dan iktibar seperti ini dapat diambil dengan baik, UMNO akan menjadi parti yang memperoleh penghormatan besar dalam kalangan masyarakat Islam, dan bukan sekadar parti politik untuk berkuasa atau mengekalkan kuasa.

Op Cantas Khas 'buka mata' pelabur

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Angota polis membuat pemeriksaan dalam operasi Op Cantas di kawasan Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KALI terakhir kumpulan kongsi gelap digempur secara besar-besaran ialah enam tahun lalu di Sarawak.

Waktu itu, menerusi Op Cantas Kenyalang yang digerakkan pada April 2007. Sebanyak 1,310 orang yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan gengsterisme ditangkap sepanjang operasi khas berkenaan.

Sehingga Julai 2007, sebanyak 283 gengster ditahan. Sejumlah 145 gengster telah didakwa di mahkamah kerana memeras ugut, merusuh dan melakukan ugutan jenayah. Sembilan ketua kumpulan kongsi gelap dan orang kanan kumpulan mereka pula ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969 termasuk ketua kumpulan Chieng Lee di Bintulu pada 30 Jun 2007.

Antaranya juga sebanyak 51 individu ditahan kerana terlibat dalam kegiatan memeras ugut berhubung pembalakan haram khususnya di Bintulu, Sematan dan Lundu. Kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini berleluasa di Sarawak waktu itu sehingga berkuasa pula menentukan harga barangan di pasaran, campur tangan kegiatan pembalakan dan komoditi pertanian di Sarawak.

Dan hari ini, Op Cantas digerakkan semula dan pelaksanaannya dalam mengekang kegiatan jenayah terutama memerangi dan mengekang kegiatan kumpulan-kumpulan kongsi gelap terbukti berjaya menurunkan indeks jenayah.

Penganalisis jenayah, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim menarik perhatian bagaimana pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA 2013) yang membolehkan polis melaksanakan tugas membanteras dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan telah memberi keyakinan tinggi kepada ahli-ahli perniagaan dan pelabur asing. Seperti kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

"Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 bagi mengukuhkan kuasa Polis akan menjadikannya satu undang-undang yang 'digeruni' dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan jenayah".

"Dalam dua tahun kebelakangan ini, pelaburan langsung asing (FDI) kita merosot disebabkan pelabur takut dengan kes-kes tembakan yang semakin menjadi-jadi. Hampir setiap hari keluar ada sahaja berita (laporan) suratkhabar termasuklah satu insiden seorang pengasas bank ditembak mati.

"Akibatnya, para pelabur yang telah menunjukkan minat yang kukuh untuk membuat pelaburan menjadi takut sehinggakan pelabur domestik menjadi panik dan beralih arah (melabur) ke luar. Tindakan pantas pihak berkuasa dalam tempoh beberapa bulan ini menerusi komitmen tinggi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Kementerian Dalam Negeri (diketuai Ahmad Zahid) yang segera menggerakkan Op Cantas.

"Ini sekali gus berjaya mengembalikan semula keyakinan pelabur kepada kita," kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui kelmarin.

Op Cantas bermula 17 Ogos lalu dan pada 30 Ogos, polis menyiarkan senarai 49 kumpulan kongsi gelap yang diwartakan haram.

Ahmad Faris yang juga seorang ahli perniagaan mengetuai sebuah firma pembekal peralatan pertahanan, sekuriti dan komunikasi berkata, beliau menerima banyak maklum balas daripada rakan-rakan perniagaannya dari Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan United Kingdom yang menyambut baik pendekatan agresif kerajaan membanteras kegiatan jenayah khususnya kongsi gelap.

"Saya baru-baru ini menghadiri pameran pertahanan dan sekuriti di Paris Air Show di Perancis dan pameran serupa di London. Apa yang saya dimaklumkan, mereka (ahli-ahli perniagaan Eropah) mengikuti dengan penuh minat perkembangan politik, ekonomi dan persekitaran hidup di Malaysia.

"Selain mahu melihat pasukan transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk yang akan muncul hasil daripada pemilihan UMNO nanti sesuatu yang berdaya saing, mereka juga inginkan suasana kondusif di sini (Malaysia) terus berkekalan, bebas dari jenayah khususnya tembak dan kongsi gelap," katanya.

Ahmad Faris menarik perhatian bagaimana sebahagian daripada 40,000 anggota kongsi gelap di seluruh negara yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah kekerasan berjaya dikekang dalam Op Cantas.

Jenayah kekerasan adalah termasuk pembunuhan, pergaduhan, pecah rumah, samun, rogol dan merusuh.

Pelaksanaan Op Cantas yang diteruskan dalam mengekang kegiatan jenayah itu, kata beliau, berjaya menurunkan indeks jenayah terutama melibatkan kes bunuh iaitu daripada 104 kes kepada 69 kes.

Penurunan sebanyak 33 peratus itu dicatatkan dalam tempoh 52 hari operasi tersebut dijalankan iaitu sejak 17 Ogos.

"Operasi ini wajar diteruskan sehingga keyakinan rakyat terhadap keselamatan meningkat dan persepsi 'rasa takut menjadi mangsa jenayah' berkurangan," katanya.

Hasil daripada Op Cantas, pihak berkuasa berjaya menahan seramai 15,877 orang hasil saringan daripada 418,922 orang yang disyaki. Sejumlah 469 senjata api dan senjata berbahaya serta 678 buah kenderaan pula dirampas.

Sebanyak 352 kertas siasatan pula telah dibuka di bawah Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 dan sebanyak 144 kertas siasatan dibuka di bawah kesalahan senjata api atau senjata berjadual. Daripada jumlah kesalahan berkaitan senjata api dan senjata berjadual itu, 120 kes telah dituduh di mahkamah.

Setakat September, daripada 8,898 orang yang ditangkap dalam operasi khas itu, seramai 3,842 berbangsa Melayu (3,645 lelaki, 197 perempuan), 2,485 bangsa India (2,449 lelaki, 36 perempuan), 1,088 bangsa Cina (1,021 lelaki, 67 perempuan) dan 1,483 bangsa lain (1,267 lelaki dan 256 perempuan).

Untuk pecahan mengikut negeri, Selangor mencatat jumlah paling tinggi dengan 3,889 tangkapan diikuti Johor (1,760), Kuala Lumpur (749), Kedah (505), Pulau Pinang (254), Perak dan Pahang (225), Kelantan (253), Sarawak dan Negeri Sembilan (165), Melaka (94), Terengganu (25) dan 12 di Perlis.

Ahmad Faris sekali lagi menarik perhatian bahawa beliau sekali-sekala ada 'berwhatsApp' dengan Ketua Polis Negara berhubung isu-isu keselamatan di kawasan kejiranannya di Keramat dan Ampang, Kuala Lumpur.

"IGP (Tan Sri) Khalid jelas keterbukaannya dalam mendengar input-input daripada publik (awam). Saya sendiri melontarkan pandangan kepada beliau mengenai isu-isu keselamatan di kawasan tempat tinggal saya di Taman Malawati.

"Antaranya banyak berlaku kejadian pecah rumah, justeru meminta lebih banyak kehadiran pihak polis. Tidak lama selepas itu, kelibat kereta peronda kelihatan di kawasan itu," katanya.

Op Cantas jelas menuntut komitmen dan ketegasan pihak berkuasa. Apa makna negara maju kalau tidak ada jaminan keselamatan.

Usaha memerangi jenayah mungkin memerlukan banyak masa. Namun, perlu dilakukan bersungguh-sungguh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved