Khamis, 18 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sukan elit makin diminati

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

PESERTA ini begitu gigih bersaing dalam Kejohanan Perahu Layar KFC-Felda 2013 di Tanjung Leman, Mersing, Johor, baru-baru ini.

MERSING 17 Julai - Sukan perahu layar sudah mula mendapat tempat dalam kalangan anak muda yang menggemari aktiviti ekstrem dan lasak, apatah lagi menjanjikan suatu cabaran yang jarang diperoleh dalam sukan lain.

Walaupun berstatus sukan elit iaitu memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk menceburi sukan air itu kerana kos peralatan dan kelengkapannya mahal, keadaan itu bukan lagi satu masalah apabila terdapat beberapa persatuan mahupun agensi kerajaan yang sanggup melabur bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat mencubanya.

Sebagai contoh, sejak tiga tahun kebelakangan ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan kerjasama KFC Holdings yang dimiliki oleh Johor Corporation (JCorp) menganjurkan Kejohanan Perahu Layar KFC-Felda Terbuka di Tanjung Leman dekat sini yang berjaya menarik minat pelayar tempatan dan negara jiran.

Felda yang melaburkan sebahagian dana dalam sukan itu bukan sahaja mencapai matlamat penganjuran kejohanan berkenaan iaitu memperkenalkan sukan perahu layar kepada anak-anak peneroka dan golongan muda, malah terdapat sebilangan daripada mereka kini bergelar atlet perahu layar negeri ataupun kebangsaan.

Dengan penganjuran kejohanan tersebut yang berlangsung empat hari baru-baru ini, pertandingan itu tersebut sekali gus berjaya mempopularkan Tanjung Leman sebagai destinasi pelancongan di negeri ini.

Maka tidak hairanlah apabila Penaung Persatuan Pelayaran Negeri Johor (PPNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor menyarankan supaya acara tahunan itu dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri.

"Pertandingan ini bukan sahaja menggalakkan industri pelancongan tempatan, bahkan mampu menyemarakkan semangat patriotik serta memupuk perpaduan dalam kalangan peserta dan pengunjung yang berbilang bangsa.

"Penganjurannya juga selari dengan matlamat utama PPNJ dalam membangun dan memperkenalkan perahu layar kepada anak muda negara ini dan berjaya mendekatkan anak Felda dengan sukan ini," katanya pada majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata, kejohanan tersebut diharap mampu dinaik taraf dari semasa ke semasa sehingga berjaya menarik minat pelayar antarabangsa menyertainya pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim memberitahu, penganjuran sukan tersebut buat julung kalinya pada tahun ini menerima penyertaan pelayar dari Singapura dan Indonesia, di samping jumlah peserta bertambah menjadi 127 atlet yang mewakili 12 pasukan berbanding 110 atlet pada 2012.

"Pelbagai kategori dan disiplin seperti Optimis, Laser, International 420/470, Byte C II, Windsurfing Bic Techno dan Phantom disediakan supaya mencapai standard penganjuran antarabangsa serta menawarkan hadiah berupa wang tunai.

"Akan datang, beberapa kategori baru akan diperkenalkan supaya setiap tahun berbeza berbanding sebelumnya. Namun, terdapat beberapa kategori dikekalkan supaya terus memberi cabaran kepada atlet perahu layar," katanya.

Walaupun baru berusia tiga tahun, kejohanan tersebut telah diiktiraf oleh Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dalam menentukan ranking atlet perahu layar kebangsaan serta dicatatkan dalam Kalendar Pelayaran Malaysia setiap tahun.

Sejak dianjurkan, seramai tiga atlet berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan dan pertandingan kali ini, kejuaraan menjadi milik atlet Majlis Sukan Negara, Asri Azman.

Asri dipilih sebagai pemenang utama Challenge Trophy Champion Marathon atas kejayaannya menjuarai dua kategori yang dipertandingkan iaitu Laser Marathon Terbuka dan Byte C II Terbuka.

Pemborong ingkar dibatal lesen

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my

BATU PAHAT 17 Julai - Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) akan membatalkan lesen perniagaan pemborong sayur dan ikan yang ingkar berpindah ke pasar borong baharu iaitu Pasar Borong Batu Pahat di Taman Perindustrian Kota Murni di sini.

Yang Dipertua MPBP, Abdul Rashid Ismail berkata, tindakan tegas itu akan diambil jika pemborong gagal menjawab surat tawaran tapak kedua selewat-lewatnya Isnin ini iaitu 22 Julai.

Menurutnya, langkah MPBP membatalkan lesen pemborong yang enggan berpindah ke lokasi baharu merupakan tindakan realistik kerana peniaga itu tidak lagi mempunyai tapak meneruskan perniagaan jika tidak ke Pasar Borong Batu Pahat.

"Tapak pasar borong lama yang bercampur dengan pasar awam akan melalui proses pembinaan yang akan bermula pada 1 September ini, oleh itu kesemua pemborong diarahkan berpindah ke Pasar Borong Batu Pahat yang dibina dengan kos RM1.5 juta.

"Malangnya hampir 90 peratus pemborong masih berdegil untuk berpindah dengan memberikan pelbagai alasan. Namun kedegilan itu tidak menjadi masalah kerana kekosongan tapak yang ditinggalkan akan diberikan kepada pemohon baharu," tegasnya ketika melawat tapak Pasar Borong Batu Pahat di sini hari ini.

Beliau menambah, setakat ini MPBP menerima banyak permohonan tapak di Pasar Borong Batu Pahat daripada pemborong ikan dan sayur baharu, tetapi keutamaan masih diberikan kepada peniaga di pasar borong lama.

Bagaimanapun katanya, jika peniaga masih degil, pihak MPBP akan meluluskan permohonan tersebut sekali gus memberi laluan kepada pemborong baharu di situ.

Abdul Rashid memberitahu, MPBP turut kesal dengan tindakan pemimpin DAP yang cuba memainkan isu kenaikan sewa dan kononnya ruang perniagaan agak kecil daripada yang lama.

"Tapak bagi pemborong ikan yang lama ialah 3.6 meter panjang dan 3.6 meter lebar, tetapi bagi tapak baharu telah diperbesarkan kepada enam meter panjang dan empat meter lebar. Begitu juga tapak pemborong ikan yang diperbesarkan daripada tiga meter panjang dan tiga meter lebar kepada enam meter panjang dan tiga meter lebar.

"Disebabkan pembesaran tersebut, MPBP perlu menaikkan kadar sewa sebagai usaha untuk menampung permintaan lain pemborong selepas berpindah nanti," katanya.

Menurutnya, permintaan pemborong yang mahukan MPBP menyediakan bilik sejuk bagi menyimpan barang merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, sebaliknya MPBP akan hanya menyediakan ruang manakala bilik sejuk perlu dibina sendiri dengan persetujuan semua pihak berwajib.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved