Khamis, 18 Julai 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Alvin, Vivian didakwa tiga tuduhan

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

Alvin Tan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam berhubung kes mempersendakan Ramadan dan mempamerkan gambar lucah di sebuah laman web yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR 18 Julai - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerbitkan gambar menghasut umat Islam di bulan Ramadan dan mempamerkan gambar-gambar lucah di sebuah laman web, dua minggu lalu.

Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pasangan itu tidak dibebaskan dengan jaminan sehingga selesai perbicaraan atas alasan kedua-dua tertuduh cenderung memuat naik kandungan yang boleh menyinggung perasaan dan membangkitkan kemarahan orang ramai.

Dengan keputusan itu, Alvin yang berkemeja T warna merah dan seluar jean ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Vivian yang memakai kemeja T warna merah jambu dihantar ke Penjara Kajang sehingga tarikh sebutan semula kes itu pada 23 Ogos ini.

Pendakwaan terhadap pasangan itu dibuat setelah mereka berdua ditahan pihak polis ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini kira-kira pukul 1 petang.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial facebook "Alvin dan Vivian-Alvivi" di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada pukul 10.48 malam, tarikh dan tempat yang sama, pasangan penulis blog itu turut didakwa memuat naik penerbitan yang sama di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 5(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin memohon ketiga-tiga kes dibicarakan bersama-sama namun tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesemua pertuduhan itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Menurut beliau, kedua-dua tertuduh turut mempunyai kecenderungan untuk memuat naik kandungan yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

''Pihak pendakwaan memohon mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sehingga selesai perbicaraan kes itu,'' katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang turut mewakili pihak pendakwaan pula menyatakan, perbuatan Alvin dan Vivian bukan sahaja membangkitkan kemarahan masyarakat malah jika tidak dikawal boleh memusnahkan keharmonian antara masyarakat berlainan bangsa dan agama di negara ini.

''Kedua-dua tertuduh berkemungkinan memuat naik lagi artikel atau gambar yang menyinggung perasaan masyarakat dan ini merupakan perbuatan yang serius dan membimbangkan.

''Nama Alvin Tan sangat dikenali dan bila kita Google sahaja nama Alvin, akan timbul gambar dan artikel mengenainya yang mana jika tidak dikawal boleh memusnahkan masyarakat dan agama. Tidak dinafikan kesalahan itu tidak melibatkan keganasan tetapi ia kesalahan serius,'' katanya.

Peguam bela Chong Joo Tian yang mewakili Alvin dan Vivian bagaimanapun memohon jaminan ditawarkan kepada anak-anak guamnya memandangkan mereka tidak sepatutnya dihukum sebelum disabitkan bersalah atas ketiga-tiga tuduhan berkenaan.

Bantahan awal lima petisyen diketahui Selasa

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

KOTA BHARU 18 Julai - Mahkamah Pilihan Raya di sini menetapkan 23 Julai ini keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Ketereh, Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas dan Kok Lanas yang dikemukakan Pas bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Hakim Pilihan Raya, Datuk John Louis O'Hara turut menetapkan tarikh yang sama bagi keputusan bantahan awal terhadap petisyen dikemukakan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Mengkebang dan Manek Urai.

Tarikh itu dijadualkan setelah beliau selesai mendengar hujah pihak terlibat selain turut menyaksikan kedegilan peguam Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa yang hadir untuk berhujah bagi petisyen Parlimen Ketereh meskipun tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang).

Kehadiran Sivarasa itu mendapat bantahan peguam BN, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dengan alasan hanya peguam Hisham Fauzi yang berhak mewakili Pas berdasarkan Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Meskipun dibantah, Sivarasa tetap berkeras mahu bercakap, namun Hakim O'Hara memutuskan beliau tidak mempunyai kelayakan dan prosiding perlu diteruskan dengan barisan peguam yang sedia ada.

"Peraturan menetapkan pempetisyen perlu menyerahkan notis pelantikan peguam, justeru hanya Hisham yang layak kerana nama anda tiada dalam notis, jadi saya tidak membenarkan anda.

"Sehubungan itu, saya minta anda beralih tempat duduk kerana tidak elok jika anda masih duduk di situ," kata Hakim O'Hara kepada Sivarasa.

Pada 10 Julai lalu, Sivarasa turut tidak dibenarkan mewakili Pas dalam prosiding petisyen Parlimen Machang yang didengar di hadapan Hakim Pilihan Raya, Datuk Zamani Abdul Rahim atas alasan sama.

Dalam pada itu, prosiding petisyen Parlimen Ketereh sekali lagi menarik tumpuan apabila hakim memberi peluang kepada barisan peguam pempetisyen untuk menyemak semula sama ada ingin meneruskan atau menarik balik petisyen itu terhadap responden pertama, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau memberi peluang tersebut kerana petisyen itu dilihat tidak berkaitan dengan responden pertama, sebaliknya tuduhan yang dikemukakan terarah kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga responden kedua dan ketiga.

''Selepas saya membaca petisyen ini saya dapati semua perkara terarah kepada responden kedua dan ketiga, justeru saya beri lima minit kepada anda kerana jika Mohd. Hafarizam bercakap maka kos akan meningkat," kata Hakim O'Hara.

Hisham kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa petisyen itu akan diteruskan sehingga menimbulkan reaksi kurang senang kepada Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad yang mewakili responden kedua dan ketiga ketika berhujah.

"Semua tuduhan yang dilemparkan kepada SPR adalah melampau dan tidak mempunyai asas, justeru saya harap mahkamah menolak petisyen ini dengan kos yang tinggi," katanya.

Situasi dalam mahkamah turut bertukar ceria ekoran jenaka daripada Hakim O'Hara apabila nasib yang melanda Sivarasa kini beralih pula kepada barisan peguam BN ketika prosiding bantahan awal Pas terhadap petisyen pilihan raya DUN Mengkebang yang dikemukakan BN.

Meskipun sebelum itu Mohd. Hafarizam lantang bercakap bagi pihak BN, namun kali ini peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Pas untuk petisyen tersebut membantah penglibatannya kerana tidak mempunyai locus standi bagi kes itu.

Bantahan tersebut diterima mahkamah menjadikan hanya peguam Mohd. Ilias Mohd. Noor sahaja boleh mewakili BN sebagai pempetisyen bagi DUN Mengkebang dan Manek Urai.

Pada PRU-13, BN menang di kerusi Parlimen Ketereh melalui calonnya, Annuar dan DUN Air Lanas serta DUN Kok lanas masing-masing melalui calon Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Pas pula menang di kerusi DUN Mengkebang serta Manek Urai melalui calonnya, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Mohd. Fauzi Abdullah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved