Khamis, 18 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Ganti Akta Hasutan, tidak akan jejas kuasa kerajaan dalam isu perpaduan

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com

Najib Tun Razak menyaksikan pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara antara Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq (tiga dari kanan) dan wakil Unifortune Holdings Sdn. Bhd. di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 17 Julai - Akta Keharmonian Nasional yang sedang diusahakan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian masyarakat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, akta baharu itu juga akan mengekalkan tiga prinsip utama antaranya menangani perbuatan yang membawa permusuhan antara kaum, menghina raja-raja Melayu atau mempersoalkan keistimewaan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

''Prinsip pertama (Akta Keharmonian Nasional) ialah menangani perbuatan dan perlakuan yang mendatangkan kebencian, penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau raja-raja.

''Kedua, menangani perbuatan dan perlakuan yang mengembangkan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk berlainan di negara ini dan ketiga, menangani perbuatan dan perlakuan yang mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan, prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan biadab dan kurang ajar pasangan muda Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghina agama Islam menunjukkan kebebasan bersuara dan penyuaraan pendapat secara tidak bertanggungjawab boleh memudaratkan masyarakat.

''Walaupun kerajaan ingin menjamin kebebasan bersuara setiap warganegara, kebebasan itu tidak boleh disalah guna sehingga menjejaskan perpaduan negara.

''Saya selalu tegaskan prinsipnya iaitu kebebasan dengan bertanggungjawab dan tidak boleh menjadi kebebasan penuh jika merugikan kepentingan negara dan keharmonian masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan akan berbincang dan meneliti pandangan mengenai keperluan adanya rang undang-undang baharu yang menyamai Ordinan Darurat.

Beliau berkata, selain polis dan Peguam Negara, pandangan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan mungkin Majlis Peguam akan diambil kira mengenai keperluan rang undang-undang itu.

''Ada pihak yang mahu penahanan pencegahan dibenarkan dan ada yang tidak bersetuju. Apa yang penting, sebarang perundangan mesti ada keseimbangan melindungi hak individu dan menjaga kepentingan masyarakat dan ini juga memastikan tidak berlaku salah guna kuasa oleh mana-mana pihak," katanya.

112,396 peneroka Felda terima duit raya

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Najib Tun Razak menyampaikan cek bayaran intensif Hari Raya Aidilfitri Peneroka Felda kepada wakil peneroka Felda sambil diperhatikan Zambry Abd. Kadir (kiri) dan Mohd. Isa Abdul Samad (tiga dari kiri) dalam Program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda Kebangsaan 2013 di Trolak, semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd Aziz

TANJUNG MALIM 17 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian insentif hari raya berjumlah RM32.3 juta kepada semua 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

Perdana Menteri mengumumkan berita gembira itu dalam Program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda Kebangsaan 2013 di Felda Gunung Besout 2, Sungkai dekat sini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Berucap dalam majlis itu, beliau berkata, setiap peneroka yang bersama dengan Felda akan menerima RM300 seorang manakala mereka yang tidak bersama Felda masing-masing menerima RM150.

"Duit raya ini kurang sedikit sebab harga sawit sudah turun. Saudara-saudari sekalian sudah dapat bonus, jadi RM300 itu kira munasabah dan mereka yang tidak bersama Felda kita beri juga tetapi separuh iaitu RM150," katanya.

Dalam majlis itu, beliau turut menyerahkan replika cek sumbangan hari raya tersebut kepada ketua-ketua peneroka dari sebanyak 11 wilayah Felda di seluruh negara.

Peneroka di Wilayah Felda Johor Bahru menerima bayaran duit raya sebanyak RM5.1 juta diikuti Wilayah Raja Alias (RM4.63 juta), Wilayah Kuantan (RM4.39 juta), Wilayah Jengka (RM4.2 juta).

Wilayah Mempaga pula menerima sebanyak RM3.79 juta, Wilayah Segamat (RM3.2 juta), Wilayah Trolak (RM2.27 juta), Wilayah Terengganu (RM2.1 juta), Wilayah Alor Setar (RM1.17 juta), Wilayah Gua Musang (RM908,400) dan Wilayah Sahabat (RM494,100).

Pembayaran duit raya kepada peneroka dilaksana Felda setiap tahun sejak 2003.

Dalam majlis sama, Najib turut mengumumkan pembinaan sebanyak 420 unit Perumahan Generasi Baharu Felda di kawasan seluas 19.3 hektar di sini, dan sebuah dewan serba guna jenis A berharga RM900,000 di Felda Gunung Besout 2.

Menurut Najib, peneroka Felda kini tidak hanya bergantung pendapatan kepada hasil jualan kelapa sawit tetapi memperoleh pendapatan lain seperti bonus tahunan, duit raya, durian runtuh dan dividen saham Felda Global Ventures Bhd. (FGV) daripada Felda.

Terdahulu, Najib mencabar pembangkang mengemukakan bukti yang menunjukkan Felda bankrap seperti didakwa dua tahun lalu.

Beliau menegaskan, kedudukan kewangan Kumpulan Felda hari ini begitu kukuh dan mantap tidak seperti yang didakwa dan difitnah pembangkang.

"Tidak apa, biarlah saya maklumkan, nilai saham terkumpul Kumpulan Felda sahaja kalau kita jual hari ini, kita boleh peroleh RM8 bilion. Bagaimana boleh kata Kumpulan Felda bankrap?

"Kita ada kilang di Kanada, hotel dan restoran di Mekah, hotel di Kota Kinabalu, tanah di Kalimantan dan banyak lagi. Bayangkan, Felda hari ini muncul sebagai kumpulan yang mengendalikan perusahaan komoditi antara yang terbesar di dunia," ujarnya.

Menurut beliau, Felda telah banyak berjasa dalam mengubah kehidupan peneroka dan keluarga mereka sejak tanah rancangan pertama dibuka pada 1959 sedangkan pembangkang hanya sibuk memburuk-burukkan dan memfitnah agensi itu.

Pelaburan RM1.96b di Koridor Utara

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

PUTRAJAYA 17 Julai - Koridor Utara mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan dengan pengumuman empat projek baharu bernilai RM1.96 bilion yang bakal mewujudkan 3,650 peluang pekerjaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Empat projek baharu tersebut melibatkan pembinaan pusat beli-belah dan hotel empat bintang di Taiping, Perak selain pembangunan resort mewah di Pulau Langkawi, Kedah.

Projek pelaburan lain yang diumumkan hari ini ialah pembangunan rumah hijau untuk projek pertanian di Perlis selain pembinaan kilang pembuatan, UWC Industrial Sdn. Bhd. di Pulau Pinang.

Majlis pertukaran memorandum pelaburan tersebut disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq dengan pihak pelabur iaitu JPB Asia Pacific Sdn. Bhd., UWC Industrial Sdn. Bhd., Unifortune Holdings Sdn. Bhd. dan Seri Chenang Resort Langkawi Sdn. Bhd.

Majlis itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Besar Perlis, Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Redza berkata, semakin banyak syarikat asing telah menunjukkan minat untuk melabur di Koridor Utara yang meliputi empat negeri di Semenanjung.

''Pelaburan yang diumumkan hari ini umpamanya membabitkan pertukaran kemahiran dan teknologi dari Kanada, Amerika Syarikat dan Jepun.

''NCIA sentiasa berusaha membawa kemahiran asing ke Koridor Utara supaya kesan pelaburan itu boleh dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat," katanya.

Walaupun berdepan suasana ekonomi global yang belum menentu, NCIA tetap menyasarkan pelaburan bernilai RM10 bilion di Koridor Utara pada tahun ini.

Tahun lalu, wilayah itu berjaya menarik pelaburan berjumlah RM12.3 bilion dengan 16,355 peluang pekerjaan diwujudkan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved