Jumaat, 8 November 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiga warga Uzbekistan dihukum gantung

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

JASUR Djurakulov (depan), Sayonara Numukhamedova (kiri) dan Dilbar Nazarova dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. - BERNAMA

SHAH ALAM 8 Nov. - Tiga warga Uzbekistan termasuk dua wanita berusia 50-an dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar keseluruhan 10 kilogram syabu, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap dua wanita iaitu Dilbar Nazarova, 54, dan Sayora Numukhamedova, 58, serta rakan lelaki mereka, Jasur Djurakulov, 39.

Menurut hakim berkenaan, pembelaan ketiga-tiga tertuduh yang bersifat penafian semata-mata telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tuntutan bagasi D, Balai Ketibaan Antarabangsa, Aras 3, Bangunan Terminal Utama (MTB) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada pukul 9.30 pagi, 7 September 2010.

Dadah tersebut ditemui di dalam bahagian tersembunyi tiga buah bagasi berisi pakaian mereka.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zainal Azwar Kamaruddin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik.

Ketika keterangan membela diri tertuduh pertama, Nazarova mendakwa, seorang lelaki bernama Shoruh yang tidak dikenalinya memberikan sebuah beg kepada ketiga-tiga mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent untuk diberikan kepada seseorang di negara ini.

Menurutnya, dia telah dibayar oleh Shoruh sebanyak USD$500 (RM1,592) supaya datang ke negara ini bagi membeli pakaian dan peralatan komputer untuk dijual di Uzbekistan.

Katanya, dia bersetuju melakukan perkara itu kerana memerlukan wang bagi merawat anak perempuannya yang sakit di hospital.

Tertuduh kedua, Djurakulov pula mendakwa, dia tidak tahu mengenai dadah di dalam beg dan datang ke negara ini atas pelawaan rakannya itu bagi membeli pakaian dan peralatan komputer untuk berniaga di negara mereka.

Sementara itu tertuduh ketiga, Numukhamedova mengakui dia yang mengajak dua rakannya itu ke negara ini dan diberi wang USD$500 oleh Shoruh untuk perbelanjaan dan kos membeli pakaian dan peralatan komputer.

Kata wanita itu, kos tiket penerbangan dan penginapan di hotel juga telah dibayar oleh Shoruh.

Rabecca menang saman Erma Fatima

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Rabecca Nur Al-Islam Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Pelakon Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, 27, berjaya dalam kes samannya terhadap syarikat produksi, Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. milik penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima.

Rabecca sebelum ini memfailkan saman terhadap Erma di Mahkamah Majistret Sivil di sini, Julai lalu melalui firma guaman, Tetuan Azam, Idzham, Azman & Partners.

Dia mengambil tindakan menyaman Erma atas dakwaan produksi milik pengarah drama bersiri Dejavu Di Kinabalu itu gagal menjelaskan baki bayaran lakonannya sebanyak 40 peratus tahun lalu.

"Alhamdulillah untuk keputusan yang dibuat ini. Saya percaya bahawa Allah pasti akan berada di pihak yang benar dan keputusan ini telah membuktikan perkara tersebut.

"Terima kasih saya ucapkan kepada peguam saya daripada Azam, Idzham, Azman & Partner, juga kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang menyokong perjuangan saya ini," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas hari ini.

Drama bersiri Dejavu Di Kinabalu diterbitkan 28 episod dan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, setiap hari Isnin hingga Khamis, mulai 18 Jun dan berakhir pada 31 Julai 2012.

Selain Rabecca, drama tersebut turut dibintangi oleh Tiz Zaqyah, Aqasha dan Nazim Othman.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved