Jumaat, 8 November 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


5 syarikat pengawal disiasat

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Lebih lima syarikat pengawal keselamatan kini sedang disiasat kerana dipercayai melanggar syarat pengurusan lesen senjata api hasil pemeriksaan rambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sehubungan itu pihaknya akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat kesalahan dilakukan syarikat berkenaan untuk tindakan di bawah peruntukan undang-undang.

"PDRM ingin mengingatkan kepada semua syarikat keselamatan supaya membuat audit kepada pengawal keselamatan dan memeriksa lesen yang dimiliki.

"Jika terdapat keraguan dalam perkara ini segera menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut berikutan kita akan sentiasa menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan Diploma Sains Siasatan Sesi 2011/2012 di Maktab Polis PDRM di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sijil kepada 23 graduan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dan 32 graduan Diploma Sains Siasatan.

Diminta mengulas kedudukan anggota atau pegawai PDRM yang menjadi lembaga pengarah dalam sesebuah syarikat, Khalid menjelaskan, perkara itu tidak menjadi kesalahan asalkan mereka memohon kebenaran dan mematuhi lesen perintah am yang telah ditetapkan.

"Adalah menjadi kesalahan jika individu (anggota dan pegawai) yang menjadi lembaga pengarah mana-mana syarikat tidak memohon kebenaran.

"Setakat ini kita tidak menerima laporan atau maklumat mereka yang menjadi ahli lembaga pengarah tanpa kebenaran," katanya.

Terdahulu dalam ucaptama program tersebut, Khalid berkata, proses pembelajaran secara formal itu berupaya membantu PDRM untuk melahirkan lebih ramai pegawai berilmu pengetahuan selari dengan keperluan masa kini.

"Dengan adanya ilmu kepolisan daripada dua program ini, diharap akan diaplikasikan sebagai serampang dua mata iaitu untuk pencegahan jenayah dan hubungan lebih akrab antara polis dengan masyarakat," ujarnya.

Koperasi jadi agensi pekerja asing haram

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Jabatan Imigresen merampas 831 pasport asing di sebuah premis koperasi di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Taktik sebuah agensi pekerjaan asing haram yang berselindung di sebalik perniagaan koperasi di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa semalam.

Serbuan dilakukan Bahagian Penguat Kuasa Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama 14 pegawai dan anggota kira-kira pukul 3.30 petang, hasil maklumat awam.

Ketua Operasi, Nik Shahanizam Ahmad berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai juruaudit di situ serta merampas 831 pasport pelbagai negara.

"Pasport-pasport yang dirampas ialah pasport Indonesia sebanyak 802 naskhah, Vietnam (14), Pakistan (2), Thailand (2), India (1) dan Bangladesh (10).

"Kesemua pasport tersebut didapati mempunyai pas lawatan sosial yang telah tamat tempoh sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Nik Shahanizam, pihaknya turut merampas sebuah komputer, buku resit, borang permohonan pembaharuan permit serta beberapa dokumen berkaitan warga asing.

Katanya, lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 51(5)(a) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) untuk siasatan lanjut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved