Jumaat, 8 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bantu polis capai jenayah sifar

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

JASIN 7 Nov. - Kerajaan negeri komited untuk membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan usaha mewujudkan jenayah sifar di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha memantapkan strategi memerangi jenayah dengan lebih komprehensif, efektif dan sistematik akan dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada kesedaran pencegahan jenayah dalam kalangan masyarakat.

"Justeru, kerjasama dan komitmen daripada polis negeri amat penting dan wajar diteruskan dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang aman dan selesa kepada seluruh penduduk di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Yang turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad dan Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye.

Menurut Idris, IPD Jasin yang mula beroperasi sejak Mac tahun lalu dengan kos pembinaan sebanyak RM68.5 juta merupakan bukti komitmen kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pasukan polis memerangi jenayah serta memberikan khidmat kepada rakyat, khususnya di daerah ini.

"Pembinaan bangunan di kawasan seluas 10.1 hektar ini merupakan kesungguhan kerajaan untuk melonjakkan lagi keupayaan dan meningkatkan kecekapan pasukan polis," ujarnya.

Katanya lagi, kewujudan bangunan baharu ini mencerminkan pelaksanaan falsafah kepolisan yang menepati ciri-ciri dan kesesuaian era kini sejajar perkembangan pesat negara dan negeri ini.

"Kawasan bandar yang semakin membangun dan rumit menuntut pasukan polis memperlengkapkan jabatan dengan sumber manusia lebih kompeten serta prasarana yang menepati kehendak masyarakat," katanya.

Menurutnya, kehadiran polis dibantu dengan prasarana moden serta kelengkapan yang mencukupi akan memungkinkan peranan lebih baik dapat dipraktikkan sepenuhnya sebagai penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

"Semoga dengan adanya kemudahan perkhidmatan polis di daerah ini membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan keberkesanan jabatan PDRM menerusi aktiviti utama jabatan mengikut kehendak masyarakat dan keperluan persekitaran," katanya.

Pasukan pendaki kerajaan NS tawan Rinjani

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Pasukan XPDC Kilimanjaro Kerajaan Negeri Sembilan mengibarkan Jalur Gemilang selepas berjaya menawan puncak Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, baru-baru ini.

SEREMBAN 7 Nov. - Tanjakan curam, berbatu kerikil serta ribut adalah antara cabaran yang ditempuhi Pasukan XPDC Kilimanjaro Kerajaan Negeri Sembilan semasa menawan puncak Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia.

Dari segi cuaca pula, siang amat panas manakala malam terlalu dingin dengan suhu lima darjah Celsius serta kabus tebal.

Secara keseluruhannya, pendakian ke puncak Gunung Rinjani yang memakan masa selama 15 jam memerlukan kesabaran, ketabahan, daya juang yang tinggi serta fokus.

Sebanyak 24 kakitangan awam daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini berjaya menawan puncak Gunung Rinjani setinggi 3,726 meter pada 28 Oktober lalu.

Ketua Ekspedisi Menawan Gunung Rinjani, Dr. Shamsudin Ahmad berkata, faktor usia bukan penghalang untuk sampai ke puncak gunung.

"Selain kebesaran Allah, daya juang yang tinggi, komitmen, fokus dan semangat pasukan adalah faktor kami dapat melepasi cabaran ke puncak gunung," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas beliau, ini membuktikan kakitangan kerajaan yang bekerja di pejabat juga mempunyai kecergasan fizikal yang tinggi.

"Kami tetap bersama harungi cabaran tanpa mengira pangkat untuk buktikan kepada masyarakat umum khususnya kakitangan kerajaan bahawa kami mampu untuk menawan puncak gunung Rinjani," katanya.

Mengenai perancangan akan datang, Dr. Shamsudin memberitahu, pasukannya melakukan beberapa pendakian lain selepas ini dan banyak yang perlu dibincangkan sebelum dapat dijayakan.

Penaklukan gunung itu sekali gus mencipta rekod sebagai penjawat awam negeri ini yang pertama berjaya menakluki puncak Gunung Kilimanjaro secara berkumpulan.

Sekali datang pasti nak lagi

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh AINAA MARDHIAH
MOHD GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

Peserta Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Penggembaraan Bumiputra (Bumitra) Malaysia disambut oleh penduduk inap desa Pelegong, Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

SEREMBAN 7 Nov. - Siapa kata Negeri Sembilan kurang tempat untuk dilawati? Walaupun saiz negeri ini tidak besar, bukan bermakna tidak ada yang menarik untuk dikunjungi.

Malah budaya di negeri ini merupakan sesuatu yang menarik untuk diketahui, begitu juga masakannya dan belum lagi bercakap soal landskap, flora dan fauna, kedamaian pantai dan banyak lagi.

Pendek kata, jika anda berkunjung ke negeri ini, paling tidak anda akan merasakan keenakan masakan lemak cili api, atau pun tergoda dengan pantai peranginan Port Dickson.

Jika mahu yang lebih mencabar, redah sahaja hutan rimba di kawasan hutan simpan, anda akan terpukau dengan kehijauannya.

Inilah antara perkara yang mendorong Tourism Malaysia Negeri Sembilan membawa ahli dan jawatankuasa Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputra Malaysia (Bumitra) menjengah dan mengambil tahu produk yang boleh mereka tawarkan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke negeri Adat Perpatih ini.

Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Zaidi Kassim berkata, kehadiran ahli Bumitra ke dalam program lawatan pembelajaran Famtrip ke negeri ini adalah sesuatu yang dinantikan.

Kita optimis, mereka akan menjadi duta kepada pelancongan negeri ini dan bersama-sama mempromosikan destinasi menarik yang wajib dilawati jika datang berkunjung ke negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Untuk itu, katanya, sebanyak 11 syarikat yang bernaung di bawah Bumitra telah menyertai program itu dan dibawa melawat ke sekitar kawasan Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson.

Antara lokasi menarik yang dilawati peserta menerusi program lawatan ini termasuk Hospital Pakar KPJ, Starfresh Agro Park, Muzium Diraja Istana Seri Menanti, Hutan Rekreasi Ulu Bendul, Balai Cerap Teluk Kemang dan Muzium Tentera Darat," katanya.

Menurut Zaidi, ahli Bumitra telah diperkenalkan adat makan bersilo yang akan diketengahkan sebagai perkara perlu bagi setiap pelancong yang ingin menikmati makanan terutama di Istana Ampang Tinggi.

Ahli Bumitra juga dibawa menunggang burung unta di Jelita Ostrich Farm dan menginap di Homestay Pelegong, Labu dan Waterfront Boutique Hotel, Port Dickson. Kami mahu apabila pelancong datang ke Negeri Sembilan, mereka akan datang lagi," katanya.

Di samping itu, peserta turut berpeluang merasai pelbagai hidangan menarik di Kak Lang DRimba Kuala Pilah dan Restoran Kims Seafood Palace, Seremban.

Pada awal Oktober lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 berkata, Negeri Sembilan akan menggunakan pendekatan 9 keajaiban dalam memastikan pelancongan diperhebatkan.

Pendekatan terbaharu itu akan merujuk kepada sembilan tempat yang wajib dilawati pelancong sekiranya mereka datang melawat ke negeri ini kelak.

Umpamanya jika kawasan Rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah dimasukkan kelak, pelancong akan wajib berkunjung ke situ, selain lapan lagi tempat yang akan kita letakkan dalam 9 keajaiban ini," katanya.

Kata Mohamad, dengan pendekatan terbaharu itu sasaran kerajaan untuk melihat pelancongan menjadi sebahagian dalam penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri akan tercapai melalui kehadiran yang dijangka mencecah lima juta orang itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved