Isnin, 12 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


PPj sedia ikut langkah DBKL

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
kota@utusangroup.com.my

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam acara Putrajaya Inter Parks Ride (PIPR) siri ke-24 di Padang Semarak, Taman Wetland, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 11 Mei - Perbadanan Putrajaya (PPj) bersedia mengikut jejak langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kempen bebas kenderaan dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon dioksida di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

Presiden PPj, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, perkara itu juga bertujuan memelihara alam sekitar Putrajaya dan menggalakkan warganya menjadikan basikal sebagai pengangkutan alternatif.

Katanya, PPj sedang mengkaji cadangan tersebut dengan terlebih dahulu memperbaiki keberkesanan sistem pengangkutan di Putrajaya.

Sebagai langkah permulaan, kita menganjurkan program larian dan berbasikal pada setiap hujung minggu dalam merealisasikan program bebas kenderaan.

Program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Putrajaya termasuk para pelancong dari luar negara," katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta Putrajaya Inter Parks Ride (PIPR) siri ke-24 di Taman Wetland di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Dr. Mohd. Emir Mavani Abdullah.

Mengulas penganjuran PIPR, Aseh berkata, program itu merupakan salah satu usaha menarik orang ramai untuk menjadikan Putrajaya sebagai lokasi berbasikal terbaik di negara ini.

Jelasnya, kerjasama yang diberikan FGV menunjukkan syarikat korporat itu prihatin untuk memupuk amalan sihat dan harmoni dalam kalangan rakyat negara ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 500 orang menyertai PIPR dengan berbasikal sejauh 22 kilometer yang bermula di Padang Semarak, Taman Wetland dan melalui sekitar Putrajaya sebelum berakhir di lokasi permulaan.

PIPR yang dianjurkan sejak 2010 melakar nama dalam Malaysia Book Of Record (MBR) dua tahun lalu kerana berjaya mengumpulkan peserta berbasikal teramai iaitu sebanyak 3,077 orang.

Tiga pelajar cemerlang terima Biasiswa Kijang Emas

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

Alicia Grace Loh Ern Lui (tengah) berkongsi kegembiraan bersama Justin Lim Kai Ze dan Nurizati Ali selepas majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kijang Emas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 11 Mei - Bank Negara Malaysia menganugerahkan Biasiswa Kijang Emas kepada tiga pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan A Level sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menerusi biasiswa yang diperkenalkan sejak sedekad lalu itu, pelajar terpilih berpeluang menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati di mana-mana universiti terkemuka di luar negara.

Salah seorang penerima yang juga orang kurang upaya (OKU), Alicia Grace Loh Ern Lui, 17, berkata, beliau tidak menjadikan keadaannya sebagai penghalang sebaliknya terus membuktikan mampu menjadi penerima anugerah termuda dan bakal menuntut di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK) dalam jurusan undang-undang, September ini.

Kata Loh Ern Lui, walaupun terpaksa berkerusi roda berikutan menghidap masalah tulang belakang sejak berumur tiga tahun, beliau tetap berusaha mendapatkan keputusan cemerlang 3A dalam pengajian A Levelnya di Kolej Universiti KDU pada tahun lalu.

Tidak kira apa pun masalah atau kesusahan yang kita hadapi, ingatlah bahawa ibu bapa hanya mahu melihat anaknya berjaya dan ketika itu segala penat lelah mereka akan terbayar," katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kijang Emas 2014 oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, di sini , baru-baru ini.

Dua lagi penerima biasiswa berkenaan ialah bekas pelajar Sekolah Menengah Tinggi Kluang, Johor, Justin Lim Kai Ze dan Nurizati Ali dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fatimah, Johor yang masing-masing berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A+ dalam SPM pada tahun lalu.

Sementara itu, Lim Kai Ze berkata, beliau mengetepikan gangguan seperti ajakan rakan-rakan untuk berhibur sebaliknya meluangkan masa dengan mengulang kaji pelajaran serta bersukan supaya lebih sihat.

Kita perlu berusaha sekuat mungkin bagi mendapatkan sesuatu walaupun perkara itu nampak seperti mudah. Dengan usaha yang tidak berpenghujung, saya kini mendapat peluang melanjutkan pengajian di UK dalam jurusan perubatan," katanya.

Dalam pada itu, Nurizati yang memilih bidang dietetik dalam pengajiannya yang akan datang menjadikan ibu bapanya sebagai inspirasi walaupun terpaksa duduk berjauhan daripada mereka.

Dorongan ibu bapa dan doa yang tidak putus-putus daripada mereka amat penting bagi memastikan kita mempunyai hati yang tenang untuk mencapai apa yang diimpikan," katanya.

Marina Putrajaya perkenal pakej kepada pelajar IPT

Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT

PUTRAJAYA 11 Mei - Marina Putrajaya mengambil langkah tersendiri untuk mempromosikan kemudahannya dengan memperkenalkan pakej kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya, Zaharah Selamat berkata, promosi berkenaan ditawarkan khas kepada pelajar IPT kerana lokasi Marina Putrajaya yang mesra golongan belia.

Beliau berkata, antara kemudahan yang ditawarkan di Marina Putrajaya adalah ruang majlis di tepi kolam renang, dewan mesyuarat dan juga dewan makan yang bersesuaian untuk golongan belia.

Pelajar IPT kebiasaannya banyak menganjurkan program-program santai jadi kami menawarkan pakej menarik ini kepada mereka, contohnya di ruang majlis di tepi kolam renang yang nampak lebih menarik.

Pastinya harga yang kami tawarkan adalah yang terendah dan mampu di langgani oleh pelajar berbanding lokasi lain di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Zaharah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil IPT daripada seluruh negara bagi memperkenalkan pakej-pakej kemudahan yang disediakan di Marina Putrajaya di Presint 5.

Menurut Zaharah, antara pakej yang menarik perhatian ramai di Marina Putrajaya adalah pakej ruang majlis di tepi kolam renang.

Harga pakej ruang majlis di tepi kolam renang adalah RM100 setiap seorang dengan tempahan maksimum 100 orang," katanya.

Dalam pada itu katanya, antara kemudahan lain yang disediakan di Marina Putrajaya yang boleh ditempah oleh pelajar IPT adalah permainan skuash, snooker, sukan air dan juga bilik karaoke.

Sebarang tempahan dan juga pertanyaan boleh menghubungi Farizan Farees di talian 019-8889140 atau 0123204803.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved