Isnin, 12 Mei 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pemandu, kelindan lori maut nahas

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my

Seorang anggota bomba dan penyelamat menutup jenazah M Yushak Dahlan yang maut selepas lori yang dipandunya merempuh sebuah lori lain di Kilometer 211.4 Lebuhraya Plus arah utara berhampiran Alor Gajah, Melaka, semalam.

ALOR GAJAH 12 Mei - Seorang pemandu lori dan kelindannya maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori lain dalam kejadian di Kilometer 211.4, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah ke utara di sini awal pagi ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu ialah pemandu, M. Yushak Dahlan, 64, dan kelindan, Kamarudin Ahmad, 45.

Bagaimanapun, pemandu sebuah lagi lori yang berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Mohamad Laham berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan minuman yang dipandu M. Yushak terbabas sebelum melanggar bahagian belakang lori yang membawa bunga.

Menurutnya, akibat rempuhan yang kuat, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

Kemalangan yang berlaku di lorong kiri itu menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sejurus anggota Bomba dan Penyelamat dari Alor Gajah dan Ayer Keroh berjaya mengeluarkan mereka," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Sehubungan itu katanya, kedua-dua lori yang terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Puspakom dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II, Zulkarnain Abd. Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.30 pagi.

Sejurus menerima panggilan itu katanya, sebanyak tiga jentera digerakkan ke tempat kejadian iaitu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan sebuah dari Ayer Keroh melibatkan 17 anggota.

Beliau berkata, anggota bomba mengambil masa 10 minit sebelum dapat membawa keluar mangsa yang tersepit.

Sungai Golok umpama medan perang

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

ANGGOTA keselamatan memeriksa lokasi serangan bom di wilayah Narathiwat, Thailand, semalam. - REUTERS

SUNGAI GOLOK 12 Mei - Umpama di medan perang. Begitu gambaran para penduduk selepas sembilan siri letupan bom menggegarkan bandar sempadan ini, sejak malam tadi sehingga awal pagi ini.

Biarpun sudah biasa dengan bunyi tembakan dan letupan bom, namun mereka mengakui kali ini berbeza kerana berlaku dalam tempoh singkat iaitu sembilan letupan di enam lokasi berbeza di seluruh bandar ini.

Kesemua letupan bom tersebut berlaku dalam lingkungan kira-kira dua kilometer persegi.

Menurut penduduk, Nasir Mohd. Zin, 51, ia merupakan kejadian pertama selepas hampir dua tahun bandar tersebut tidak digegarkan dengan letupan bom yang besar.

Ia mengejutkan semua pihak kerana berlaku dalam selang masa lima sehingga 10 minit kecuali dua letupan terakhir yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi. Ia umpama medan perang yang dahsyat.

Keadaan agak panik dan penduduk kebanyakannya tidak keluar dari rumah pada malam tadi kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Nasir, ketika kejadian, dia berada di Masjid Haji Hasan di Jalan Charankead dan kejadian itu telah mengejutkan semua jemaah yang bersedia untuk menunaikan solat Isyak.

Tinjauan Utusan Malaysia di bandar itu, petang ini mendapati penduduk menjalankan aktiviti harian seperti biasa kecuali di lokasi kejadian yang lengang.

Seorang wanita tempatan, Sarita Mamat, 41, terbunuh manakala sembilan lagi penduduk termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam kejadian tersebut.

Difahamkan, letupan pertama berlaku pukul 7.25 petang waktu tempatan, di sebuah karaoke di Hotel Chantulee, berhampiran Balai Bomba Sungai Kolok di Jalan Asia.

Ia diikuti dengan letupan berasingan di dua kedai menjual motosikal milik Syarikat Pitan Panitch yang terletak dalam jarak 800 meter di Jalan Charankead.

Selang beberapa minit selepas itu, dua letupan kedengaran di sebuah bilik pameran kereta di kawasan berhampiran.

Letupan kelima yang menyebabkan seorang cedera berlaku di simpang empat berhampiran Hospital Sungai Golok.

Dua letupan terakhir dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 pagi di sebuah pasar mini yang turut memusnahkan sebuah kedai menjual pakaian berhampiran.

Pada masa yang sama, pihak polis turut menemukan sebutir bom yang tidak meletup berhampiran sebuah kedai dalam bandar itu.

Kesemua letupan itu dipercayai menggunakan bom yang diletakkan pada motosikal kecuali di pasar mini terbabit.

Sementara itu, seorang mangsa, Ibrahim Umar, 50, berkata, dia bernasib baik kerana sempat melarikan diri ketika letupan bom tersebut berlaku.

Saya sedang tidur dalam kedai pakaian milik saya. Secara tiba-tiba saya mendengar letupan dari dalam pasar mini di sebelah dan diikuti letupan kedua yang lebih kuat beberapa minit kemudian.

Sebaik sahaja mendengar letupan itu, saya terus berlari keluar dan melihat api merebak dengan pantas sehingga memusnahkan kedai saya," katanya.

Tambahnya, dia percaya pengebom tersebut turut meletakkan satu botol petrol berhampiran dengan bahan letupan itu bagi memastikan api dapat merebak dengan cepat.

Sementara itu, difahamkan pihak berkuasa Malaysia telah mengambil langkah segera dengan menutup semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dan mengetatkan kawalan di sepanjang kawasan sempadan bermula dari Pengkalan Kubor sehingga ke Jeli.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved