Isnin, 12 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Peneroka jangan terperangkap

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Ismail Abdul Muttalib (kiri) menyampaikan piala pusingan pertandingan bola sepak kepada ketua pasukan bola sepak Felda Jengka 18 selepas menutup Program Jelajah Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) peringkat Wilayah Jengka di Jengka 3, Maran, kelmarin.

MARAN 12 Mei - Warga peneroka diingatkan tidak mudah terperangkap dengan persepsi negatif yang disebarkan pihak tertentu terhadap Felda bertujuan merosakkan reputasi agensi itu.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib menegaskan, kejayaan Felda mengubah status sosial peneroka khususnya orang Melayu diakui masyarakat dunia malah dijadikan model kepada kebanyakan negara dunia ketiga.

Menurutnya, walaupun telah terbukti kejayaan agensi itu dalam mengubah mobiliti sosial masyarakat Melayu melalui pembukaan tanah rancangan tetapi ada pihak tidak senang dan telah menyebarkan pelbagai fitnah terhadap Felda.

Lebih malang lagi ada warga peneroka sendiri yang sanggup menjadi ejen merosakkan nama baik Felda dan kerajaan sedangkan mereka dianggap sebagai permata yang telah digilap.

Mereka hidup senang setelah terpilih menjadi peneroka Felda di seluruh negara membabitkan 317 tanah rancangan termasuk 115 tanah rancangan di negeri ini dengan mengandungi lebih 112,000 keluarga peneroka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Program Jelajah Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) peringkat Wilayah Jengka di Jengka 3, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin; ADUN Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail; Pengarah Seranta Felda, Mohamad Khairuddin Mohamad dan Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Sapie Embong.

Sektor pelancongan Taman Negara tidak terjejas

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Ahmad Nazlan Idris

JERANTUT 12 Mei - Kemerosotan pelancong dari China ke negara ini tidak menjejaskan sektor pelancongan negara ini termasuk kehadiran pelancong asing ke Taman Negara Kuala Tahan.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, sebaliknya pemain sektor pelancongan dan pengusaha hospitaliti di Taman Negara perlu menggiatkan promosi ke benua Eropah, negara-negara Asia Barat dan ASEAN bagi menambah bilangan pelawat ke sini.

Menurutnya, sebelum ini pelancong dari China lebih tertumpu di bandar-bandar besar, pusat jualan makanan, peranginan dan hiburan kawasan tanah tinggi seperti Genting Highlands.

Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang berakhir di Lautan Hindi menyebabkan sebilangan besar penumpang China memberi impak terhadap sektor pelancongan negara ini apabila jumlah pelancong dari negara itu berkurangan berdasarkan laporan pengusaha hotel di Lembah Klang dan kawasan lain.

Kita yakin keadaan ini akan pulih tidak lama lagi, malahan tidak memberi impak mengenai kehadiran pelancong antarabangsa ke Taman Negara Kuala Tahan sejak awal tahun ini," katanya kepada pemberita di Kuala Tahan semalam.

Menurut beliau, kebanyakan pelancong yang mendominasi lawatan ke Taman Negara terdiri dari negara-negara Scandinavia, Asia Barat, Asia dan ASEAN yang meminati lokasi percutian berasaskan alam sekitar.

Sehubungan itu, beliau meminta pemain sektor berkenaan dan pengusaha hospitaliti termasuk penduduk Kuala Tahan melipatgandakan promosi menerusi laman web, blog dan media sosial bagi melebarkan jaringan maklumat ke seluruh dunia.

Saya yakin Program Sambutan 75 Tahun Taman Negara Kuala Tahan pada Jun ini akan menarik ramai pelawat dosmetik dan pelancong asing untuk melihat pelbagai kegiatan termasuk eksplorasi hutan serta mendaki gunung," katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mutiara Taman Negara Resort (MTNR), pengusaha swasta dan persatuan pelancongan yang sentiasa bekerjasama rapat melaksanakan pelbagai kempen pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan hospitaliti.

Percutian unik di Ulu Tembeling

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

KALANGAN penduduk mendengar ceramah motivasi yang disampaikan oleh seorang guru di SK Bukit Mat Daling sempena program lawatan warga SMKPPPTR di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling , Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 12 Mei - Kebiasaannya pihak sekolah akan memilih tempat-tempat menarik di sekitar bandar-bandar besar mahupun kawasan pulau untuk bercuti bagi merehatkan minda.

Namun lain ceritanya bagi warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (SMKPPPTR) di sini dengan memilih kawasan pedalaman Ulu Tembeling sebagai lokasi percutian mereka.

Seramai 33 guru dan kakitangan sokongan sekolah berkenaan berkampung selama dua hari di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling, dekat sini.

Lawatan ke pedalaman di Ulu Tembeling itu mengambil masa lima jam dengan menaiki tiga buah bot dari jeti Kuala Tahan di sini.

Pengetua sekolah berkenaan, Abdul Razak Ismail berkata, kunjungan kali pertama ke kawasan Ulu Tembeling itu membolehkan mereka merasai susah payah pengorbanan guru-guru yang berkhidmat di pedalaman.

Sebelum ini lawatan hanya tertumpu ke pusat bandar terutama di ibu kota. Jadi, kali ini kita beralih angin memilih kawasan pedalaman pula.

Walaupun perjalanan agak lama menggunakan bot namun kami dapat melihat keindahan hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun di sekitar Taman Negara selain mendapat pengalaman menolak bot sebanyak tiga kali kerana air sungai yang cetek," katanya.

Menurutnya, kehadiran mereka disambut baik oleh warga pendidik terutama Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mat Daling, Mohd. Azmi Abdul Khalid dan penduduk setempat.

Katanya, program tersebut dijalankan bertujuan melihat corak kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan lengkap seperti masyarakat di bandar dan luar bandar.

Kita telah melakukan beberapa aktiviti termasuk perlawanan bola tampar, congkak, ceramah motivasi dan gotong royong untuk mengeratkan hubungan dengan penduduk kampung," ujarnya.

Katanya, mereka juga dapat merasai pengalaman menjala serta mandi sungai di sekitar jeti kampung berkenaan dan rombongan turut disajikan dengan masakan tradisional termasuk gulai asam rom dan ikan sungai masak tempoyak.

Biarpun kemudahan asas tidak lengkap namun kehidupan di sini ternyata aman damai dengan udara yang segar dan kami sempat membeli ikan salai, ikan kelah pekasam, tempoyak serta madu lebah tualang sebagai memberi sokongan terhadap ekonomi penduduk.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penduduk kampung termasuk pihak sekolah SK Bukit Mat Daling dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan, Wan Putera Wan Abdul Raffar kerana menjayakan program lawatan ini," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved