Jumaat, 25 April 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Najib lancar portal aduan komuniti 'fortherakyat.com'

Posted: 25 Apr 2014 01:57 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan portal aduan komuniti 'fortherakyat.com', satu lagi platform untuk orang ramai mengadu dan mengetengahkan permasalahan mereka.

Portal seliaan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO itu membolehkan masyarakat menyalurkan terus sebarang masalah seumpama itu, dan biro berkenaan akan menghubungi pengadu dan menjelaskan tentang langkah penyelesaian.

Pengerusi biro itu, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A. Rahman berkata, portal berkenaan berfungsi secara interaktif dan pengadu boleh memantau setiap aduan yang dibuat.

"Kelebihan portal ini ialah ia bersifat interaktif dengan setiap aduan akan mempunyai status seperti 'diterima', 'disemak', dan 'diproses.'

Apabila aduan diselesaikan, ini akan dimaklumkan kepada pengadu melalui e-mel," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran portal itu.

Katanya, hampir semua jenis aduan bersandarkan masalah komuniti berkaitan isu seperti kepenggunaan, perkhidmatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kewangan dan ekonomi boleh diajukan ke portal itu.

Sheikh Ahmad Nafiq berkata, setiap aduan dijangka melalui proses semakan dan penyelesaian antara dua minggu hingga empat bulan, selain bergantung juga kepada proses di peringkat agensi kerajaan terlibat.

Katanya, sejak mula beroperasi sebulan lalu, portal itu menerima 84 aduan orang ramai, 79 daripadanya berjaya diselesaikan. - BERNAMA

SPAD, JPJ perlu berterusan pantau pemandu bas

Posted: 25 Apr 2014 01:50 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mahu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan pemantauan berterusan terhadap perkhidmatan bas ekspres dan persiaran.

Katanya, ia bertujuan mengembalikan semula keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa terhadap industri pelancongan negara selepas beberapa insiden membabitkan bas baru-baru ini.

"Walaupun SPAD dan JPJ melaksanakan tugas dengan baik, namun pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperketat dan dilakukan secara konsisten.

"Kita (kementerian) harap SPAD dan JPJ tidak hanya bertindak ketika berlaku nahas sahaja. Sebaliknya mereka perlu memainkan peranan sebelum dan selepas pengambilan pemandu bas," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis pelancaran Promosi Kerja Kahwin 2014, di sini hari ini.

Dalam bulan ini hingga semalam, empat kemalangan melibatkan bas dilaporkan berlaku di Pahang, ada yang menyebabkan penumpang maut. - BERNAMA

Air mentah dari bekas lombong selamat digunakan - MB Selangor

Posted: 25 Apr 2014 01:32 AM PDT

KLANG 25 April - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menepis dakwaan yang mengatakan bahawa langkah kerajaan negeri menggunakan air mentah dari bekas lombong untuk menampung keperluan air di Lembah Klang boleh menimbulkan masalah kesihatan kerana terdapat kandungan logam berat di dalamnya.

Beliau berkata, kandungan air dari bekas lombong selamat digunakan berdasarkan kaedah pensampelan yang dibuat oleh Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan.

"Kita ada pakar lain yang mengatakan air dari bekas lombong selamat digunakan dan ujian yang dijalankan oleh ahli kimia turut mendapati perkara sama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program khas bersama rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang yang juga Naib Canselor serta Profesor Pelestarian Air di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dilaporkan berkata langkah kerajaan Selangor mendapatkan bekalan air mentah dari bekas lombong tidak sesuai kerana ia mungkin boleh menyebabkan penyakit kulit.

Dr. Zaini dilaporkan berkata kajian yang dilakukannya sebelum ini mendapati air bekas lombong tidak bermasalah jika diambil pada bahagian permukaan tetapi jika disedut hingga ke dasar, bahan logam berat akan turut disedut sekali.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, kerja-kerja mengepam air dari kolam-kolam bekas lombong telahpun dimulakan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air ketika ini dengan lapan pam air berkeupayaan tinggi yang setiap satunya mampu mengepam jumlah air sebanyak 50 juta liter sehari. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved