Selasa, 24 Disember 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Rogol: Warga Bangladesh dipenjara 20 tahun, 16 sebatan

Posted: 24 Dec 2013 03:20 AM PST

PETALING JAYA 24 Dis. - Seorang pekerja restoran warga Bangladesh dihukum penjara 20 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merogol dan menyamun seorang wanita, dua tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob memerintahkan Buttu, 42, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Oktober lepas.

Bagi kesalahan merogol, Buttu dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan manakala untuk pertuduhan menyamun, dia dihukum penjara sembilan tahun dan enam sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.

Dalam penghakimannya, Rozina berkata beliau mengambil kira fakta bahawa ketika kejadian, mangsa hanya berada ditemani dua anak yang masih kecil.

"Selain itu, tertuduh juga menggunakan senjata iaitu parang ketika kejadian dan mengacukannya ke perut mangsa," katanya.

Buttu didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di rumah mangsa pada 5.10 pagi 19 April tahun lepas mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menyamun telefon bimbit milik mangsa bersenjatakan parang pada masa dan tempat sama.

Terdahulu, Buttu, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan kerana mempunyai keluarga di Bangladesh.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang tidur di dalam bilik bersama dua anaknya dikejutkan dengan kehadiran tertuduh di dalam rumahnya.

Tertuduh kemudian mengarahkan mangsa berdiam diri dan mengambil telefon milik wanita itu sebelum merogolnya di ruang tamu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din. - BERNAMA

Majoriti rakyat mahu kalimah Allah untuk Islam sahaja

Posted: 24 Dec 2013 03:03 AM PST

KUALA LUMPUR 24 Dis. - Majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini menolak kalimah Allah digunakan dalam kalangan bukan Islam, menurut satu tinjauan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (Umcedel).

Tinjauan yang dilakukan kepada 1,676 responden di seluruh Semenanjung dalam tempoh 6 hingga 8 Disember lalu menunjukkan sebanyak 58 peratus daripada mereka menyatakan kalimah suci itu milik eksklusif umat Islam manakala 26 peratus responden memberitahu mereka tidak pasti.

Apa yang menarik, daripada jumlah itu, sebanyak 21 peratus responden dari kaum Cina juga menolak penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

Pecahan status mengundi pula menunjukkan pengundi kali pertama adalah kumpulan yang paling banyak menolak penggunaan kalimah tersebut dalam kalangan bukan Islam dengan 64 peratus berbanding tidak pasti, 25 peratus.

Jelas tinjauan itu, masyarakat luar bandar merupakan pecahan terbesar yang bertegas dalam penggunaan kalimah berkenaan dengan 73 peratus berbanding 51 peratus di bandar. - UTUSAN ONLINE

Perkahwinan antara Sunah dan Syiah haram - JAIS

Posted: 24 Dec 2013 03:01 AM PST

SHAH ALAM 24 Dis. - Perkahwinan antara pengikut Sunnah dan Syiah adalah haram kerana ajaran Syiah di negara ini telah difatwakan sebagai bertentangan dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaki Arsad berkata, perkahwinan itu dilarang kerana ajaran Syiah jauh berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Selangor telah mengeluarkan fatwa pengharaman Syiah pada 14 Februari 1998.

Beliau berkata, pengharaman itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 5 Mei 1996 yang menetapkan umat Islam di negara ini harus mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Menurutnya, perkahwinan antara Sunnah dan Syiah sangat bahaya kerana boleh merosakkan akidah, cara hidup dan keturunan selain menimbulkan masalah pembahagian harta pusaka.

"Oleh sebab itu, umat Islam di negara ini perlu diberikan penjelasan tentang bahaya Syiah kerana implikasi daripada penyebaran ajaran itu boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Kita boleh mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di negara lain seperti di Syria atau Pakistan bahawa permusuhan, persengketaan dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan jika fahaman Syiah dibiarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri menghadiri Muzakarah Pakar Isu Perkahwinan Syiah dan Sunni Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved