Selasa, 24 Disember 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


ASUM tagih kembali khidmat jurulatih asing

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my

Edwin Chong

KUALA LUMPUR - Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mahu lebih banyak jurulatih asing yang berkaliber ditempatkan di pusat latihan setiap negeri dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan itu yang dahulunya merupakan penyumbang pingat terbesar negara di pentas Sukan SEA.

Setiausaha Kehormat ASUM, Edwin Chong berkata, badan induk sukan tersebut telah lama tidak memiliki jurulatih asing di peringkat negeri sekali gus mempengaruhi prestasi skuad renang kebangsaan yang gagal menyerlah di pentas antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Langkah tersebut juga diyakini dapat memperbaiki kualiti di samping melahirkan bakat-bakat baru yang perlu digilap agar dapat menjelmakan lebih banyak lagi pingat emas pada temasya itu di masa akan datang.

"Suatu ketika dahulu, skuad renang kita antara yang paling digeruni di rantau Asia Tenggara, mungkin ia disebabkan faktor kita menempatkan jurulatih asing pada setiap negeri.

"Memang kita ada kekalkan jurulatih asing, tetapi bukan semua tempat ada. Kita telah kurangkan khidmat mereka atas sebab-sebab tertentu.

"Kini, kita perlu tagih semula khidmat jurulatih asing selepas empat hingga lima tahun mereka diketepikan demi melihat skuad renang kembali meniti kegemilangan.

"Saya juga ada berbincang dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkaitan langkah ini. Sebab semua perlaksanaan ini perlu mendapat kelulusan, bukan main buat sahaja," katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang meminta MSN melakukan post-mortem terhadap kemerosotan sukan yang sewajarnya menjadi lubuk emas buat kontinjen negara seperti olahraga dan renang pada Sukan SEA Myanmar.

Dalam masa sama, Edwin menjelaskan, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setelah melihat kesungguhan Khairy yang mahu menyaksikan sukan renang terus berada dalam kelas tersendiri pada Sukan SEA mahupun kejohanan peringkat antarabangsa lain.

"Kalau beliau (Khairy) arahkan buat post-mortem, buatlah. Kita tiada masalah sebab perkara ini demi kebaikan sukan negara juga.

"Lagi pun sekarang, kita ketandusan pelapis sebab atlet lama akan bersara, itu normal. Walaupun, kita masih ada perenang-perenang baharu yang sedang meningkat naik.

"Kalau kita betul-betul mahukan skuad renang kembali digeruni, perkara-perkara macam inilah yang perlu diambil berat," katanya.

Skuad renang negara sebelum ini pernah memperoleh sembilan dan lima pingat emas yang masing-masing diraih pada Sukan SEA 2009 Laos dan 2011 di Indonesia.

Namun kali ini, hanya tiga atlet mampu menyumbang empat emas iaitu Daniel Bego ( 400 meter gaya bebas), Christina Loh (100m dan 200m kuak dada) serta Khoo Cai Lin ( 800m gaya bebas).

Singapura terus kekal mendominasi sukan itu dengan pungutan 11 emas diikuti Thailand 7 emas, Vietnam dan Indonesia 5 emas, manakala Malaysia sekadar di tangga kelima.

Cabaran 2014 menanti skuad hoki

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

PEMAIN-PEMAIN hoki negara perlu bersedia nama mereka dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih, Paul Revington, Januari tahun depan.

KUALA LUMPUR - Skuad hoki kebangsaan bakal berhadapan lebih banyak tugas berat dan mencabar pada tahun 2014.

Itu gambaran awal pengurus pasukan, George Koshy yang mahu semua pemain memanfaatkan cuti rehat mereka sebaiknya sebelum kembali menjalani latihan pada Januari depan.

Kata George, pada tahun depan terdapat lebih tiga kejohanan penting yang bakal disertai skuad kebangsaan termasuk Piala Dunia di The Hague, Belanda pada 31 Mei hingga 15 Jun 2014.

"Buat masa ini, biar semua pemain berehat kerana bermula tahun depan ada terlalu banyak kejohanan yang harus disertai skuad kebangsaan.

"Selain Piala Dunia, skuad kebangsaan juga akan menyertai Sukan Asia, Cabaran Juara-Juara 1 dan beberapa kejohanan utama lain.

"Saya harap pemain yang akan terpilih menyertai skuad kebangsaan dapat menghadapi semua pertandingan itu dengan sebaiknya demi mengharumkan nama Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dalam pada itu, George turut memberitahu jurulatih skuad kebangsaan, Paul Revington akan memanggil sebanyak 35 pemain untuk menyertai kem latihan skuad negara.

Kata George, jumlah tersebut akan meliputi pemain daripada skuad remaja kebangsaan dan senior serta penilaian dibuat berdasarkan pencapaian lalu serta tahap kecergasan terkini.

"Latihan dijangka bermula pada awal Januari depan dan semua pemain hoki perlu bersedia sekiranya nama mereka dipanggil untuk mengikuti kem latihan skuad kebangsaan.

"Saya juga mahu mengingatkan pemain agar fokus dengan tugas masing-masing apabila kembali daripada bercuti panjang," kata George.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved