Jumaat, 1 November 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Dua pengawal guna kad pengenalan palsu dipenjara

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Totoh Sabatal dan Yusri Sambiron (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam. - Utusan/RASHID MAHFOF

PETALING JAYA 1 Nov. - Dua pengawal keselamatan warga Filipina yang bekerja di sebuah kondominium di Sri Kembangan masing-masing dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu.

Totoh Sabatal, 40, dan Yusri Sambiron, 41, yang ditangkap awal pagi ini turut diperintahkan diserah kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke Filipina selepas selesai menjalani hukuman.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Totoh manakala hukuman ke atas Yusri diputuskan oleh Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.

Kedua-dua mereka didakwa secara berasingan atas pertuduhan yang serupa.

Totoh didakwa tanpa kuasa yang sah menggunakan kad pengenalan palsu bernombor 711005-12-5269 atas nama Abdulzan Ludjuman sebagai pengenalan diri.

Yusri pula didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan kad pengenalan palsu bernombor 701113-12-5135 atas nama Norazman Abdillah sebagai pengenalan diri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pondok pengawal Kondominium Bayan Villa, Sri Kembangan dekat sini pada pukul 1.15 pagi, hari ini.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Zubaidah Zahol Ahmad sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Utusan Malaysia pada 28 Oktober lalu melaporkan JPN mengesan ramai warga asing yang memiliki kad pengenalan palsu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sektor berisiko tinggi seperti di institusi perbankan di seluruh negara.

Tangkapan kedua-dua tertuduh dijalankan oleh pihak JPN susulan arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 29 Oktober lalu supaya JPN menggunakan kaedah biometrik untuk memeriksa identiti semua pengawal keselamatan di seluruh negara.

Anggota TLDM direman 7 hari

Posted: 01 Nov 2013 11:27 AM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
pengarang@utusan.com.my

ACP Jaafar Baba (kiri) bersama pegawai penyiasat, Ahmad Hisyam menunjukkan gambar mangsa, seorang wanita yang mati ditikam di Apartmen Taman Bukit Permata, Manjung kelmarin dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Polis Manjung, Perak, semalam.

LUMUT 1 Nov. - Polis menahan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang ditemui mati dengan kesan tikaman di dada di Apartmen Bukit Permata di sini semalam.

Anggota berusia 27 tahun itu dipercayai teman lelaki kepada wanita berkenaan, Nariza Mustapha, 32.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Lelaki itu ditahan selepas dia menghantar mangsa ke Hospital Seri Manjung semalam. Dia ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 November ini bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, kejadian dipercayai berlaku pagi semalam selepas mangsa ditemui terbaring di kediamannya di apartmen berkenaan dalam keadaan berlumuran darah oleh lelaki berkenaan.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan serius berikutan luka tikaman.

"Selepas proses pengecaman mayat oleh waris wanita berkenaan, jenazahnya dibawa oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Rantau Panjang, Kelantan semalam," katanya.

Menurut beliau, wanita berkenaan mempunyai dua orang anak iaitu seorang lelaki dan perempuan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Supritendan Ahmad Hisyam Mohamad Sani di talian 019-5753207 bagi membantu siasatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved