Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sumber rezeki 200 nelayan terjejas

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH
kota@utusangroup.com.my

PEMBUANGAN sisa toksik dari kilang kelapa sawit didakwa menjadi punca pencemaran Sungai Bernam, Sabak Bernam, semalam.

SABAK BERNAM 9 Feb. - Kira-kira 200 nelayan yang berpengkalan di Jambatan Muhibbah Changkat Jelutong, Belia Dua di sini hilang mata pencarian apabila Sungai Bernam yang menjadi lubuk rezeki mereka dicemari sisa pembuangan toksik sejak 1 Februari lalu.

Pencemaran yang didakwa berpunca daripada sebuah kilang kelapa sawit yang terletak kira-kira lima kilometer dari situ menyebabkan ratusan ikan mati.

Seorang nelayan Ahmad Ghazali Mat Amin, 58, mendakwa, sepanjang 30 tahun menjadi nelayan di kawasan terbabit, kejadian seumpama itu kerap berlaku namun pelepasan sisa toksik pada 1 Februari lalu adalah paling buruk.

Keadaan kali ini agak serius apabila air sungai berubah menjadi hitam dan menyebabkan kami tidak dapat turun ke sungai kerana kebanyakan hidupan sungai sudah mati akibat pencemaran itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Ghazali menambah, dia yang merupakan individu paling lama menjadi nelayan di situ benar-benar terkilan dengan kejadian tersebut.

Keadaan air sungai tidak seperti sebelum ini. Dulu apabila turun ke sungai, saya tidak perlu bawa bekalan air kerana yakin untuk minum air sungai yang bersih namun kini keadaan sudah jauh berubah," ujarnya kesal.

Seorang lagi nelayan, Mohd. Rosli Alias, 54, pula memberitahu, dia pernah mengalami sakit perut serius selepas memakan ikan dipercayai berpenyakit yang diperoleh dari sungai berkenaan.

Selepas pulang dari menangkap ikan, saya makan ikan tersebut, malangnya saya sekeluarga mengalami cirit-birit," jelasnya.

Menurutnya, mujur dia belum menjual ikan terbabit kepada peraih sekali gus dapat mengelak perkara yang tidak diingini terjadi sekiranya ia dibeli oleh orang awam.

Seorang pengusaha bot sewa, Nazaruddin Sardi, 35, berkata, sejak kejadian pencemaran itu, dia mengalami kerugian apabila pemancing tidak berkunjung ke kawasan terbabit selepas mengetahui sungai telah tercemar.

Sebelum ini, lebih sepuluh pemancing akan berkunjung dan menyewa bot saya untuk memancing di sekitar Sungai Bernam namun selepas kejadian pencemaran ini, jumlah mereka yang datang semakin berkurangan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi memberitahu, pihaknya akan bertemu dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membincangkan masalah pencemaran tersebut.

Kita mahu JAS mengesahkan tahap pencemaran kualiti air sungai terbabit bagi mengelak sesuatu yang buruk terjadi sekiranya kegiatan penangkapan hasil sungai masih dilakukan tanpa mengetahui keadaan sungai yang sebenar," katanya.

PPR Raya Permai akan dinaik taraf tahun ini

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) dan Rizalman Mokhtar (tiga dari kiri) menyertai gotong-royong pada Majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan di PPR Raya Permai, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ AZLAN HADI ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Kementerian Wilayah Persekutuan telah meluluskan cadangan untuk melaksanakan pembangunan dan menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi dekat sini.

Kerja-kerja tersebut akan melibatkan penurapan jalan, menaik taraf surau, pembinaan tempat letak kereta bertingkat, dewan serbaguna dan penyusunan semula gerai-gerai penjaja di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerja-kerja yang akan dilaksanakan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijangka bermula pada tahun ini.

"Kita akan menyelesaikan semua permohonan daripada penduduk berhubung masalah yang dihadapi. Kita akan menurap semula jalan di kawasan ini yang saya lihat daif dan mendap. Selain itu, penduduk juga menghadapi masalah tempat letak kereta.

"Kerja-kerja pembesaran surau untuk menempatkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, pembinaan kemudahan dewan serbaguna, gelanggang sukan dan gerai makan akan dilaksanakan demi memastikan keperluan dan keselesaan para penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan di Taman Herba, PPR Raya Permai, Sungai Besi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan; Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Ketua MCA Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, Datuk A. Chandrakumanan.

Tengku Adnan memberitahu, kos untuk penurapan jalan dan menaik taraf surau melibatkan perbelanjaan sebanyak RM230,000.

Ujarnya, kos pembinaan tempat letak kereta bertingkat yang meliputi dewan, gerai makan dan gelanggang sukan akan ditentukan kemudian setelah cadangan serta pelan pembangunan diteliti.

Dalam pada itu, beliau berkata, program Kenduri 1Wilayah Persekutuan itu membolehkan pemimpin turun padang untuk berjumpa para penduduk dan menyelami masalah mereka.

"Melalui program ini, penduduk boleh menyuarakan apa yang mereka kehendaki dan ini konsep yang kita amalkan," ujarnya.

Program yang dianjurkan sejak tahun lalu sempena Hari Wilayah Persekutuan itu akan diadakan sehingga 23 Februari ini di 13 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan.

Ia turut melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

RM2.3j baik pulih Taman Kejiranan Air Panas

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

BEBERAPA kanak-kanak bermain buih sabun selepas Majlis Pelancaran Sahabat Taman Kejiranan Air Panas di Setapak, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/ZAKARIA IDRIS
Ahmad Phesal Talib

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Sebanyak RM2.3 juta telah dibelanjakan untuk membaik pulih pelbagai kemudahan yang rosak akibat perbuatan vandalisme di kawasan Taman Kejiranan Air Panas, Setapak di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sikap tidak bertanggungjawab segelintir orang awam menyebabkan pihaknya mengeluarkan peruntukan yang besar bagi kerja baik pulih.

"Peruntukan itu digunakan antaranya untuk membaik pulih padang bola sepak serta menambah kemudahan-kemudahan lain seperti pembinaan pagar.

"Selain itu, vandalisme mengakibatkan banyak kerosakan kepada peralatan permainan kanak-kanak, lampu taman, tandas awam, pagar dan lain-lain lagi," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sahabat Taman Kejiranan Ayer Panas, Setapak di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Sementara itu, Ahmad Phesal memberitahu, penubuhan Sahabat Taman tersebut merupakan inisiatif DBKL dalam membangunkan sesebuah taman awam yang boleh dikongsi manfaatnya oleh semua lapisan masyarakat di ibu negara.

"Taman ini merupakan salah satu daripada 15 taman awam utama yang telah dibangunkan oleh DBKL dengan keluasan kira-kira 14 hektar.

"Pelbagai proses dan halangan telah dilalui untuk mewartakan tanah sebagai taman awam. Justeru, orang ramai perlu menghargai dan menjaganya dengan baik kerana ia adalah untuk kegunaan mereka," katanya.

Taman Kejiranan Ayer Panas terletak berhampiran 11 buah sekolah menengah dan rendah serta tujuh Projek Perumahan Rakyat (PPR) antaranya PPR Sungai Bonus dan PPR Sri Semarak yang meliputi kira-kira 100,000 penduduk.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved