Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Khalid terancam, Nalla mengancam

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

Khalid Ibrahim

SEDIKIT demi sedikit, tembelang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semakin terbongkar. Beliau ingin menjadi Menteri Besar Selangor dan sekali gus menyingkirkan secara halus Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini masih terus berbalah dengan orang kesayangan Anwar, Azmin Ali.

Kenyataan Anwar dalam beberapa siri ceramah di Kajang sudah menampakkan bahawa kedudukan Abdul Khalid semakin terancam dan sudah tidak selamat lagi. Anwar menyulamkan pujian beliau terhadap Abdul Khalid dengan kritikan. Di sebahagian tempat beliau berucap Abdul Khalid seolah-olah menjadi bahan kempennya bagi menghalalkan tindakan beliau bertanding di DUN tersebut.

Kalau puji Khalid, hendak ganti dia buat apa? Selangor sudah ada rekod baik dan kita perlu tingkatkan lagi. Peranan dia (Khalid) tentu ada.

Kalau ditakdirkan ada persetujuan (menjadi Menteri Besar Selangor), (dia) bantu saya. Saya tidak kata saya hendak jadi Menteri Besar tetapi kalau saya ambil alih dari Khalid, asas sudah ada. Apa pun, kita mesti menang di Kajang dahulu."

Dalam masa yang sama Anwar cuba digambarkan sebagai penyelamat Selangor sehinggakan ayam sabungnya Rafizi Ramli sanggup membuat fitnah kepada Barisan Nasional (BN) dengan menyatakan kemenangan Anwar di Kajang penting bagi menghalang BN menggunakan darurat merampas Selangor.

Rafizi yang disanjung sebagai pakar strategi PKR membuat tohmahan itu dengan menjadikan peristiwa BN berkuasa di Kelantan pada 1977 sebagai perbandingan. Akibat kejahilan dan ketaksuban Rafizi hendak membela Anwar, beliau dikritik oleh bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Faekah Husin yang menganggap hujah Rafizi terlalu dangkal.

Menurut Rafizi, langkah itu juga adalah satu lagi persediaan dan juga iktibar terhadap kejadian di Kelantan pada 1977 apabila BN menggunakan perkara sama untuk merampas kuasa kerajaan negeri daripada Pas.

Sebenarnya, kita tidak perlu hairan dengan hujah-hujah dangkal seumpama itu yang sememangnya sering sahaja dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang bagi melaksanakan agenda politik mereka termasuklah Rafizi yang dilihat semakin merapu berhujah demi kepentingan politik PKR dan Anwar.

Tetapi apa yang lebih penting daripada itu ia membuktikan kedudukan Abdul Khalid sudah semakin tidak selamat.

Difahamkan satu gerakan lebih agresif sedang dan akan dilancarkan untuk memastikan seluruh pemimpin PKR di semua peringkat memberi sokongan kepada Anwar bagi menduduki kerusi Menteri Besar dan menggesa Abdul Khalid supaya meletakkan jawatan.

Mungkin untuk menyingkirkan Abdul Khalid bukanlah satu perkara yang sukar, bagi seorang pemimpin yang cukup berkuasa dalam sebuah parti seperti Anwar. Lagi pun sudah ada ura-ura pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang turut bersetuju dengan langkah politik Anwar itu.

Berikutan keadaan tersebut, Abdul Khalid kini boleh dianggap keseorangan dalam berhadapan dengan serangan dari luar dan dalam parti.

Tidak pasti sejauh manakah Abdul Khalid akan bertahan, tetapi dari segi pandangan politik, beliau kini berada di kedudukan yang cukup getir untuk mempertahankan kerusi Menteri Besar, kata seorang pemimpin muda Pas Selangor ketika dihubungi penulis.

Sememangnya, secara dasarnya cengkaman politik Abdul Khalid sebagai longgar, beliau seolah-olah bersendirian untuk mempertahankan kedudukannya. Biar pun mempunyai jasa terhadap PKR dan pakatan pembangkang termasuk memastikan mereka terus berkuasa di Selangor tetapi kini jasa-jasa Abdul Khalid seolah-olah mahu dilupakan begitu sahaja.

Kedudukan Abdul Khalid sebagai genting apabila perbalahan politik beliau dengan Azmin sehingga kini tiada menampakkan tanda-tanda akan reda. Sebaliknya, mereka terus berbalah melalui media berikutan apa yang berlaku di Selangor termasuk pemecatan pekerja kontrak Perbadan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) baru-baru ini.

Biarpun didesak oleh Azmin yang menganggap pemecatan itu tidak wajar, Abdul Khalid membalas kritikan Azmin dengan menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu tidak faham undang-undang.

Penganalisis politik melihat, perbalahan itu akan mengukuhkan lagi usaha bagi menyingkirkan Abdul Khalid dari kerusi Menteri Besar oleh PKR.

Malah ia juga mengukuhkan hujah-hujah pemimpin-pemimpin parti itu bahawa Anwar paling layak menggantikan Abdul Khalid menerajui Anwar. Tetapi dari segi apakah soal kelayakan itu diukur?

Benar dari segi pengalaman politik, Abdul Khalid tidak boleh menandingi Anwar. Kedudukan Menteri Besar, Ahli Parlimen dan ADUN adalah jawatan yang diperolehi oleh Abdul Khalid sejak melibatkan diri dalam politik enam tahun lalu. Sedangkan Anwar, semua orang tahu sejarah perjalanan politiknya.

Bagaimanapun Abdul Khalid tidak ada musuh politik yang didakwa mempunyai pelbagai rahsia tentang diri beliau termasuklah peribadi. Malah Abdul Khalid juga tidak memiliki sebarang catatan hitam yang boleh dikaitkan dengan isu moral.

Tetapi bagaimana dengan Anwar? Sebab itulah kira-kira 3,000 bekas pemimpin PKR bersedia untuk turun ke Kajang bagi menentang beliau dan sudah pastilah orang yang paling ke depan ialah Presiden Parti Bersatu India Malay sia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan.

Beliau adalah individu pertama menawarkan diri menjadi calon untuk menentang Anwar. Kata Nallakaruppan, Saya adalah calon yang paling sesuai untuk lawan Anwar sebab semua rahsia hitam peribadi dia ada dalam poket saya. Saya ingin berkongsi cerita dengan pengundi Kajang mengenai perihal dan kelakuan sebenar Anwar dalam pilihan raya nanti."

Biarpun menerima ugutan berunsur amaran, namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk berhadapan dengan Anwar.

Sememangnya, kita tidak pasti sejauh manakah Nallakaruppan akan berjaya dalam misinya, apatah lagi sebelum ini banyak dakwaan yang dikaitkan dengan Anwar berjaya ditepis oleh pembangkang dengan pelbagai hujah.

Tetapi apa yang menjadi perhatian ialah kegigihan Nallakaruppan yang tidak pernah berputus asa untuk mendedahkan siapa Anwar sebenarnya. Pasti ada sesuatu yang mendorong beliau begitu berani berhadapan dengan Anwar. Apakah itu? Jawapan tersebut hanya ada pada Nallakaruppan.

Apa pun, percaturan mengenai kedudukan Abdul Khalid yang terancam dan keberanian Nallakaruppan mengancam pasti akan mewarnai Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Dan terserahlah kepada pengundi kawasan itu untuk membuat penilaian kerana pilihan raya kecil tersebut bukan sahaja menentukan masa depan DUN Kajang tetapi juga Selangor secara keseluruhannya, oleh itu buatlah keputusan yang boleh mendapat keredaan Allah SWT.

Jangan nafikan kebaikan PLKN

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Abdul Hadi Awang Kechil

Ramai yang berfikir bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai tidak relevan dan membazir wang serta mengkayakan pihak tertentu sahaja. Tanpa kita sedar lebih 700,000 bekas pelatih yang dilahirkan oleh program itu sedang menjadi agen perubahan pemikiran masyarakat. Kita dapat lihat pelbagai anasir cuba masuk dan mempengaruhi rakyat supaya menentang dan menggulingkan kerajaan, tetapi ia tidak berhasil. Semangat patriotisme yang disemai bukan sahaja memberi kesan kepada pelatih tetapi kepada orang di sekeliling mereka.

Wartawan Utusan Malaysia, BORHAN ABU SAMAH mewawancara Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil bagi melihat dengan lebih dalam peranan PLKN dalam pembinaan negara bangsa.

UTUSAN: Ramai kalangan masyarakat yang tidak memahami tujuan PLKN diwujudkan, jadi boleh Datuk terangkan?

ABDUL HADI: Berasaskan satu konvensyen remaja pada tahun 2002, kerajaan mendapatkan banyak pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan di dalam masyarakat untuk menentukan arah tuju remaja di negara kita.

Justeru ditetapkan penubuhan satu program yang dikenali sebagai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Pertahanan mengetuai satu Jawatankuasa Kabinet untuk membentuk latihan kepada remaja di negara kita.

Pada peringkat awal dalam banyak perbincangan ramai mengatakan perlu terus dengan program khidmat negara seperti Singapura, Korea, Taiwan, Amerika Syarikat dan sebagainya yang melatih remaja dengan latihan ala tentera.

Setelah dibincang dan diteliti Jawatankuasa Kabinet itu memutuskan supaya ditubuhkan program latihan remaja yang tidak berbentuk tentera.

Ini berasaskan latarbelakang negara ini yang mempunyai pelbagai kaum dan kita perlu membentuk kumpulan remaja yang mempunyai jatidiri dan perpaduan.

Jika bukan latihan ala ketenteraan, apakah bentuk latihan yang diberikan kepada para pelatihnya?

Kita perlu remaja yang faham dan memahami pentingnya rasa sayang kepada negara dan mustahak mengembalikan semangat kesukarelaan yang dahulu memang telah ada dalam masyarakat kita, tetapi kini semakin terhakis.

Kabinet memutuskan PLKN dilaksanakan dalam bentuk untuk menyelesaikan masalah asas membentuk sebuah negara iaitu menggunakan konsep pertahanan menyeluruh atau Hanruh.

PLKN telah dirangka berasas lima objektif iaitu:

- Membentuk remaja yang mempunyai jatidiri

- Membentuk negara patriotik atau masyarakat yang sayangkan negara

- Meningkatkan tahap perpaduan

- Memupuk semangat kesukarelaan

- Melahirkan sebuah masyarakat yang cergas.

Ada kalangan masyarakat termasuk pihak media massa yang menganggap PLKN sebagai gagal mencapai matlamat, bagaimana pandangan Datuk?

PLKN dirangka untuk lima objektif itu, jadi untuk melihat program itu berjaya atau tidak, kita tidak boleh hanya mendengar satu atau dua pandangan, tetapi perlu diukur secara akademik dan boleh diterima semua pihak.

Jika pandangan satu atau dua pihak sama ada menyokong atau tidak ia tidak boleh dikira sebagai pendapat keseluruhan kerana dalam apa sahaja dasar kerajaan ia perlu dilihat melalui kajian yang melibatkan sampel boleh diterima dan ini telah dilakukan bahkan di dalam mesyuarat lembaga menteri dan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet setiap lima tahun kajian akademik akan dibuat.

Kajian yang ilmiah boleh diterima dan dibawa kepada jemaah menteri. Sekarang telah masuk tahun ke-10 PLKN dilaksanakan dan kita akan laksanakan kajian kedua keberkesanan PLKN.

Ada yang mengatakan PLKN hanyalah sebuah perkhemahan musim panas atau istilah Inggerisnya Summer Camp, sejauhmana kebenarannya?

Seksyen 2 Akta Latihan Khidmat Negara 2003 telah menyebut PLKN di negara kita menjurus kepada Akta Khidmat Negara 1952.

Ia tidak sama dengan Summer Camp yang mengadakan latihan dua atau tiga hari dan keluar melakukan aktiviti fizikal, bercerita sedikit , lakonan dan unggun api.

PLKN sesuatu yang sangat serius kerana akta 2003 itu menjurus kepada akta 1952 yang menyatakan; Mendaftar rakyat negara kita dalam khidmat negara untuk tujuan kerah tenaga, negara mesti mempunyai satu kumpulan yang cukup untuk berkhidmat dengan Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam.

Jadi PLKN untuk tujuan itu, bermakna kita belum dicuba dengan keperluan kerahan tenaga seperti berlaku di banyak negara terpaksa berdepan dengan rusuhan dan peperangan. Kita merdeka cara damai, tetapi tidak ada sesiapa dapat pastikan keamanan yang dikecapi selama ini berterusan. Jika tidak mempersiapkan diri siapa yang dapat melaksanakan kerahan tenaga apabila diperlukan.

Salah satu dasar pertahanan negara ialah pertahanan menyeluruh. Bermaksud kita setiap rakyat tidak kira apa juga kerjaya sama ada di dalam bidang media, guru, ahli perniagaan, korporat atau apa-apa juga, kita perlu ada kebolehan mempertahankan negara.

Apakah kita perlu tunggu berlaku kekacauan baru hendak bertindak. Ketika itu ia sudah terlambat, kekecohan dan kekacauan berlaku baru kita menyemak PLKN membazir atau tidak.

Kita kata RM5.5 bilion habis dibelanja untuk PLKN sebagai membazir dan lebih baik duit itu digunakan untuk membina jambatan contohnya, kita tidak boleh berfikir begitu.

Terdapat kejadian kematian pelatih di kem-kem PLKN dan ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak, jadi apakah yang telah dilakukan oleh JLKN untuk memastikan kejadian sedemikian tidak berulang?

Untuk membentuk remaja yang mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza termasuk ada yang tidak bersekolah langsung dan pada masa sama ada yang bakal menjadi doktor, peguam, bakal menteri dan perdana menteri yang diletakkan di satu tempat, bukan satu perkara yang mudah.

Itulah cabaran yang perlu kita hadapi untuk meletakkan mereka di dalam satu bentuk latihan yang sama dan pemikiran yang sama dan membentuk satu kesatuan negara bangsa.

Bila kita terima remaja yang masuk ke PLKN mereka mempunyai pelbagai latar belakang. Tentu kami menghadapi pelbagai masalah dan ada remaja yang memang bermasalah di rumah lagi dan dibawa ke dalam kem. Kita terima mereka dan kita didik.

Bila berhadapan masalah pergaduhan kadang-kala mengakibatkan kematian dan ada juga meninggal sebab masalah kesihatan kerana pada asalnya pelatih dan keluarga sendiri tidak mengetahuinya.

Banyak kes pelatih tidak sedar mereka berdepan penyakit sakit jantung dan hanya dikesan ketika pemeriksaan di PLKN, tetapi orang tidak bercerita tentang kebaikan yang kita buat dan ibu bapa sepatutnya berterima kasih kerana anak mereka diperiksa oleh doktor semasa mengikuti latihan di kem PLKN. Kita lebih gemar mencari satu dua masalah dan memperbesarkannya.

Kemalangan berpunca daripada masalah kesihatan dan keselamatan. Bagi aspek kesihatan di kem PLKN ditempatkan lima orang kakitangan Kementerian Kesihatan untuk 24 jam. Apa sahaja yang berlaku di dalam latihan sama ada sakit, demam dan macam-macam lagi mereka akan dirujuk ke klinik di dalam kem dan jika perlu ke hospital.

Sebelum masuk PLKN ibu bapa dan pelatih perlu beritahu masalah kesihatan mereka dan pemeriksaan kesihatan juga dilakukan oleh doktor di kem. Kita kena ingat terdapat kes pelatih sendiri tidak sedar mereka sakit, begitu juga doktor sendiri gagal mengesan penyakit yang dihidapi.

Dari segi keselamatan, setakat ini tidak ada kejadian pelatih meninggal dunia ketika melakukan latihan seperti flying fox kerana kita memastikan kemudahan yang disediakan adalah selamat dan pelatih juga berada dalam keadaan bersedia untuk melakukannya.

Dalam kes keracunan makanan pula jika disahkan tiga orang pelatih keracunan makanan kerana kesilapan pengendali, kita akan potong bayaran makanan untuk satu hari semua pelatih, kali kedua bayaran makanan akan dipotong selama tiga hari kepada pengendali dan jika berlaku kejadian kali ketiga kem berkenaan akan ditutup dan hanya akan dibuka sehingga kita berpuas hati dengan tahap kebersihannya.

Jadi tidak adil jika mengatakan PLKN hanya untuk mengkayakan pihak tertentu sahaja. Kewangan kita sentiasa diaudit dan jika kita tidak mematuhi arahan tentu akan ditegur oleh Jabatan Audit Negara.

Ada ibu bapa yang menganggap latihan di kem PLKN terlalu berat dan memudarat anak-anak mereka, bagaimana pandangan Datuk?

PLKN sekali lagi saya katakan bukan Summer Camp. Kita perlu pastikan setiap pelatih dapat manfaatnya dalam erti kata perlu keluar dari zon selesa mereka. Ketika duduk di rumah mereka boleh makan apa sahaja dan bangun tidur sesuka hati dan ada yang tidak tidur langsung.

Jadi kita ubah dengan sedikit paksaan. Setiap minit mereka perlu mematuhi peraturan dan makan makanan yang sihat. Ini menyebabkan pelatih tertekan dan tekanan ini juga adalah satu bentuk disiplin dan membentuk mental serta fizikal yang kuat.

Modul latihan PLKN bukan dibuat secara semberono, tetapi melibatkan lebih 40 institusi dan agensi kerajaan.

Kalau tidak beri tekanan kepada remaja mereka tidak perolehi apa yang kita hendak. Kita perlu ada sedikit tekanan, tetapi ibu bapa tidak mahu perkara itu dan hendak bawa makanan segera dan minuman bergas sedangkan di dalam PLKN kita mementingkan menu makanan sihat yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan dan JLKN.

Apa perancangan Datuk untuk PLKN bagi tempoh 10 tahun akan datang?

Saya mahu melihat bekas-bekas pelatih PLKN disediakan platform khusus untuk membolehkan mereka terus melaksanakan aktiviti kerana jumlah 700,000 adalah besar dan jika dikira kesan kepada lima orang di sekeliling mereka kesannya lebih luas.

Jadi perlu ada satu bentuk pemantauan aktiviti mereka dan bukan bertujuan mengawal tetapi supaya lebih tersusun dan panduan kerana mereka mempunyai pelbagai kebolehan dan kemahiran.

Jangan nafikan pengaruh dan kesan yang dibawa oleh bekas pelatih PLKN. Sebenarnya 700,000 bekas pelatih ini berada di setiap sudut masyarakat dan mereka sedang merubah masyarakat dan kita tidak sedar kerana tidak dapat dilihat secara fizikal.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved