Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


4,000 unit PR1MA dibina di Pahang

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 9 Feb. - Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB) akan membangunkan sebanyak 4,000 unit rumah di bawah Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia (PR1MA) di seluruh negeri ini dalam tempoh empat tahun.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Nazrul Izad Asrad berkata, pembinaan projek rumah itu telah pun bermula tahun lalu akan dijual pada harga RM150,000 seunit melibatkan nilai pembangunan kasar berjumlah RM600 juta.

"Rumah ini akan dibina di setiap daerah di seluruh negeri ini seperti Kuantan, Rompin, Maran dan Jerantut kecuali di dua daerah iaitu Bentong dan Cameron Highlands.

"Bukan berniat meminggirkan penduduk di sana, pihak kami sebenarnya masih membuat kajian untuk mencari lokasi bersesuaian di kedua-dua daerah tersebut, insya-Allah kami akan turut membina rumah di sana pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran dan Perpaduan 1Malaysia Warga Indera Mahkota dekat sini malam semalam.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi KPHPB, Datuk Dr. Nasaruddin Othman.

Menurutnya, rumah jenis berkembar satu tingkat itu ditawarkan pada harga RM150,000 adalah 20 hingga 45 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran yang dianggarkan dalam lingkungan RM220,000 kerana tapak rumah berkenaan disediakan kerajaan negeri secara percuma.

"Terbaharu, kami bakal melancarkan projek perumahan mampu milik di kawasan Sungai Soi di sini yang dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

"Pembinaan rumah mampu milik ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat KPHPB," katanya.

kakitangan Petronas ceriakan pusat jagaan terencat akal

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Wan Mohd. Hasnan Abdullah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada James Perumal di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal, Alor Akar, Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 9 Feb. - Suasana sunyi di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal, Alor Akar di sini bertukar meriah dengan kehadiran kira-kira 30 eksekutif dan kakitangan Petronas sempena program Sentuhan Kasih Petronas hari ini.

Wajah-wajah ceria penghuni pusat tersebut jelas kelihatan sebaik sahaja ketibaan ahli rombongan yang nyata dapat mengeratkan persahabatan dan rasa muhibah antara mereka dan kakitangan Petronas.

Menurut timbalan pengerusi pusat berkenaan, James Perumal, penghuni seramai 29 orang berusia dalam lingkungan 16 hingga 54 tahun itu amat teruja dengan kehadiran eksekutif itu yang sudi meluangkan masa dengan beberapa aktiviti santai seperti menari dan makan bersama-sama.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Petronas kerana sudi meraikan penghuni di sini terutama dalam suasana perayaan Tahun Baharu Cina.

"Sumbangan yang diberikan juga amat bermakna dan saya harap jalinan silaturahim ini tidak terhenti di sini dan diteruskan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd. Hasnan Abdullah dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Mohd. Ghazali Che Nik.

Sementara itu, Wan Mohd. Hasnan berkata, program Sentuhan Kasih Petronas merupakan kesinambungan kepada tradisi Petronas untuk bersama-sama dengan masyarakat.

"Pada masa sama, program ini juga bertujuan memupuk semangat kesukarelaan dalam kalangan kakitangan Petronas dan memberi mereka kesempatan untuk bersama-sama dengan masyarakat yang merupakan kelompok penting bagi kami.

"Program Sentuhan Kasih Petronas yang diperkenalkan pada 1997 merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di mana sahaja kami beroperasi," katanya.

Menurut Wan Mohd. Hasnan, perkara itu membuktikan Petronas bukan hanya berperanan sebagai syarikat minyak dan gas tetapi sebuah badan korporat yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.

"Kita akan meneruskan program CSR terutama pada musim perayaan dengan memilih mereka yang amat memerlukan kerana kami di Petronas mahu berkongsi kegembiraan bersama masyarakat," ujarnya.

RM5 juta bina jambatan di Lanchang

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

MOHD. Sharkar Samsudin memaku papan semasa gotong-royong membaiki jambatan gantung di Kampung Dala, Lanchang, Temerloh, Pahang, semalam. - Utusan/ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

TEMERLOH 9 Feb. - Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi membina sebuah jambatan kekal di Sungai Semantan yang akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di beberapa kampung di Lanchang dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Samsudin berkata, jambatan kekal pertama di kawasan itu akan dibina dalam tempoh terdekat di kawasan Kampung Kuala Kaung di sini.

"Ini adalah sebahagian daripada janji saya kepada masyarakat di daerah ini pada pilihan raya umum lalu yang akan dilaksanakan demi kebajikan dan keselesaan penduduk.

"Pada masa ini peruntukan telah diluluskan dan kita hanya melalui beberapa proses sebelum tender dikeluarkan dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja membaiki jambatan gantung di Kampung Dala di sini hari ini.

Kira-kira RM20,000 diperuntukkan bagi membaiki jambatan gantung berusia kira-kira 20 tahun yang menjadi laluan utama penduduk setempat ke ladang dan kebun bersebelahan sungai berkenaan.

Menurut Mohd. Sharkar, pembinaan jambatan kekal akan membolehkan kenderaan masuk ke seberang sungai berkenaan sekali gus memudahkan lagi aktiviti memasarkan hasil pertanian penduduk setempat.

Katanya, pembinaan jambatan berkenaan juga secara tidak langsung akan dapat memajukan lagi kawasan berkenaan dan meningkatkan nilai tanah penduduk setempat.

"Kita juga berharap dengan wujudnya jambatan ini akan mewujudkan penempatan baharu di kawasan seberang sungai yang pada masa ini hanya dipenuhi ladang dan kebun penduduk kampung," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan penduduk di kawasan tersebut sentiasa terbela dengan terus memajukan kawasan berkenaan.

Justeru, beliau berharap penduduk di kawasan berkenaan akan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti mampu membela nasib rakyat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved