Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Ronda-ronda Alor Setar

Posted: 08 Feb 2014 06:36 AM PST

PEKAN Rabu bukan sahaja menjadi medan niaga sejak berabad lamanya, bahkan juga menyimpan pelbagai kenangan dan sejarah bandar Alor Setar.

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui bahawa bandar Alor Setar mempunyai pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati bersama rakan mahupun keluarga.

Peluang menziarahi sahabat yang menjadi raja sehari di bandar itu baru-baru ini membawa penulis bercuti di sana bersama rakan-rakan yang lain.

Memilih untuk menginap di pusat bandar adalah langkah yang tepat kerana dapat menyusuri bandar itu dengan lebih mendalam.

Kami datang sehari lebih awal dari tarikh yang dirancang kerana mahu berjalan-jalan di sekitar bandar ini sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan tersebut.

Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira enam jam dengan berhenti di beberapa tempat untuk menghilangkan penat dan bosan memandu dalam jarak jauh.

Bergerak dari Kuala Lumpur seawal pukul 3 pagi membolehkan kami tiba di bandar Alor Setar pada pukul 10 pagi dan terus menuju ke hotel yang telah siap sedia ditempah.

Kami memilih hotel Holiday Villa yang ditempah melalui sistem tempahan dalam talian yang membolehkan kami mendapat harga yang lebih murah.

Pemilihan ini dibuat kerana hotel tersebut bersambung dengan sebuah pusat membeli- belah bagi memudahkan kami mendapatkan barang keperluan.

Perkara pertama kami lakukan adalah mencari kedai makan kerana masing-masing sudah kelaparan. Apa yang menariknya kami tidak makan di sekitar hotel tetapi menyusuri jalan memasuki kampung untuk mencari juadah yang mungkin berlainan dari Kuala Lumpur.

Perjudian kami berhasil apabila kami terlihat sebuah kedai yang berasap di suatu sudut dari kejauhan. Sudah tentu terdapat ikan bakar di situ dan jangkaan kami tepat.

Ternyata makanan yang dihidangkan sangat lazat. Masakan kampung bersama ulam-ulaman membuatkan kami sangat berselera. Kami agak terkejut apabila menerima bil yang harganya jauh sangat murah berbanding di ibu kota.

Perjalanan kami diteruskan ke pusat bandar. Di sana, kami singgah di Menara Alor Setar yang bentuknya seakan-akan Menara Kuala Lumpur. Terdapat restoran dan kawasan tinjau di atasnya.

Orang kata tak lengkap ke Alor Setar jika tidak singgah ke Pekan Rabu yang merupakan sebuah pasar yang telah dibina sejak tahun 1935 lagi. Di pekan itu, terdapat pelbagai barangan menarik yang dijual.

Boleh dikatakan segalanya dapat dicari di situ, daripada tudung sehinggalah makanan dan perhiasan diri serta rumah, kesemuanya di bawah satu bumbung.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah berniaga di pasar ini pada suatu ketika dahulu. Ternyata pekan itu menyimpan banyak kesan sejarah sejak penubuhannya.

Banyak masa kami dihabiskan di situ. Namun, sebelum menjelang malam kami pulang semula ke hotel untuk berehat dan keluar semula untuk mencari makan pada sebelah malamnya.

Kali ini restoran di hadapan hotel menjadi pilihan. Menurut pemilik restoran, jalan di hadapan hotel yang kami menginap akan ditutup jika ada pertunjukan perlawanan bola sepak.

Sebuah skrin besar diletakkan di hujung jalan dan orang ramai akan duduk di atas jalan bersantai bersama rakan dan keluarga sambil menonton bola sepak.

Destinasi seterusnya adalah Stadium Darul Aman, bukan untuk menonton bola sepak tetapi untuk berkunjung ke pasar malam yang menjual pelbagai barangan.

Daripada barangan bundle, baju-T bola sepak, seluar jean dan juga barangan lusuh, semuanya ada di sini.

Ia tidak ubah seperti Uptown Damansara atau Downtown Cheras, namun barangan yang dijual adakalanya tidak sama dan ternyata berbaloi untuk mereka yang datang berbelanja.

Begitulah serba sedikit perjalanan percutian kami di negeri jelapang padi ini. Walaupun tidak banyak tempat yang kami pergi namun, ia dianggap satu percutian yang berbaloi.

Di sinilah kami akan lebih mengenali masyarakat dari kelompok dan negeri lain dalam mengharmonikan masyarakat negara ini dengan lebih baik. - AMIRUL

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved