Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Stesen Batang Melaka operasi semula

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Mohd. Noordin Kimi (depan, lima dari kiri) bersama rombongan Datuk Naning Ke-21 ketika majlis pelancaran operasi semula Stesen KTMB Batang Melaka di Jasin, Melaka, kelmarin.

JASIN 8 Feb. - Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Berhad Batang Melaka, memulakan perkhidmatan mengambil dan menurunkan penumpangnya bermula semalam.

Stesen itu terpaksa ditutup sementara waktu bagi kerja-kerja menaik taraf sejak Mei 2012.

Pengurus Kanan Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, stesen itu memulakan operasi bagi perkhidmatan tren Ekspres Sinaran Selatan bagi laluan Sentral Kuala Lumpur-Woodlands-Sentral Kuala Lumpur.

Menurutnya, walaupun kerja-kerja menaik taraf stesen kereta api itu siap kira-kira setahun lalu, namun operasinya tertangguh hingga ke hari ini berikutan masalah dan prosedur tertentu yang perlu dituruti oleh pihak KTMB.

"Namun begitu, kita bersyukur kerana stesen ini akhirnya dapat beroperasi semula dan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat sekali gus membangunkan kawasan sekitar.

"Pihak KTMB melihat langkah ini sebagai strategi serampang dua mata kerajaan dalam mempromosikan lagi industri pelancongan ke Melaka dan Johor melalui perkhidmatan menurun dan mengambil penumpang di sini.

"Lokasi di stesen Batang Melaka adalah strategik menghubungkan beberapa daerah di kedua-dua negeri yang turut mempunyai tarikan pelancongan tersendiri," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Stesen Keretapi Batang Melaka, di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengurus Wilayah Selatan, Omar Nazari Othman.

Stesen Keretapi Batang Melaka merupakan salah sebuah daripada lima stesen yang dibina dan dinaik taraf dalam Projek Landasan Keretapi Elektrik Berkembar Seremban-Gemas.

Dalam pada itu, Mohd. Noordin berkata, penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan kereta api menuju ke sektor selatan dari stesen itu boleh menaiki tren Ekspres Sinaran Selatan, No. 13 yang berlepas pada jam 11 pagi, manakala menaiki tren No. 12 untuk laluan ke utara pada jam 7.17 malam setiap hari.

"Dengan adanya perkhidmatan ini, KTM Berhad berharap dapat membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 kepada pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara," katanya.

20 sukarelawan Puteri UMNO bantu mangsa Taufan Haiyan

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

ALOR GAJAH 8 Feb. - Seramai 20 sukarelawan Puteri UMNO akan berlepas ke Filipina pada 24 Februari ini untuk menyerahkan bantuan kepada penduduk Islam di Kampung Hag Nayan yang dilanda Taufan Haiyan, November tahun lalu.

Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, pemilihan akan dibuat Khamis ini dan sukarelawan berkenaan akan membawa sumbangan makanan, minuman, pakaian dan barangan masjid untuk diserahkan kepada penduduk kampung tersebut.

Menurutnya, bantuan itu diberikan hasil sumbangan pelbagai pihak untuk tabung bantuan bencana alam Taufan Haiyan yang ditubuhkan Puteri UMNO dengan dana terkumpul berjumlah RM50,000.

"Kita tidak dapat menyerahkan bantuan yang diperoleh tahun lalu kerana beberapa masalah lojistik dan sebagainya. Syukur semuanya sudah selesai dan kita telah mengenal pasti sebuah perkampungan yang mempunyai ramai penduduk Islam untuk diserahkan bantuan kemanusiaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Masjid Tanah yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di Padang Awam Taman Datuk Setia, Ramuan China Besar di Masjid Tanah dekat sini hari ini.

Program tersebut yang diserikan dengan Ceramah Perdana oleh penceramah bebas, Mohamad Kazim Elias adalah anjuran bersama Biro Agama dan Dakwah UMNO Bahagian Masjid Tanah dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Ramuan China Besar.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Ab. Rauf Yusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman, ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar; ADUN Lendu, Sulaiman Mohd. Ali dan ADUN Tanjong Bidara, Md. Rawi Mahmud.

Mas Ermieyati berkata, sukarelawan itu disertai pasukan perubatan akan berada di kampung berkenaan selama 10 hari dan menjalankan khidmat masyarakat termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan penduduk di situ.

Di samping itu katanya, sukarelawan yang dihantar akan membina dua buah rumah yang akan dijadikan sebagai pusat komuniti.

Beliau menambah, penduduk juga akan diajar mengaji, solat dan bimbingan agama sebagai salah satu aktiviti sepanjang berada di kampung berkenaan.

"Lebih penting barangan keperluan masjid juga dibeli termasuk sejadah, beberapa naskhah al-Quran dan sukarelawan juga akan membersihkan masjid," katanya.

Beliau berkata, pasukan kedua sukarelawan yang ditubuhkan Puteri UMNO itu akan berkunjung sekali lagi ke kampung berkenaan awal Mac ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved