Ahad, 9 Februari 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan masih berunding ambil alih AES

Posted: 09 Feb 2014 03:14 AM PST

IPOH 9 Feb. - Kerajaan masih berunding untuk menentukan nilai bagi cadangan pengambilalihan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dari syarikat projek berkenaan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, tiada tempoh tertentu diputuskan untuk kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Namun, beliau yakin persetujuan dapat dicapai pada akhir rundingan tersebut.

"Dalam keputusan berkaitan komersil, ia bergantung kepada kesediaan pembeli dan penjual, kita tidak boleh jangka persetujuan mesti dicapai dalam tempoh seminggu, dua minggu...apabila ada rundingan kedua-dua pihak mempunyai pakar perunding berhubung angka (nilai) yang kita boleh seragamkan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Tambun di Chemor di sini hari ini.

Beliau berkata, rundingan berkenaan tidak begitu sukar memandangkan ia mempunyai asas teknikal yang boleh diteliti secara analisis kualitatif, dan pada akhirnya beliau yakin kedua-dua pihak boleh mencapai persetujuan pengambilalihan AES.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah mengetuai pihak kerajaan dalam rundingan itu, katanya. - BERNAMA

Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kebakaran hotel di Madinah

Posted: 09 Feb 2014 02:58 AM PST

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit atau cedera dalam kebakaran di Hotel Ishraq al-Madinah, Arab Saudi pada Sabtu, kata Kementerian Luar hari ini.

"Setakat ini, laporan dari Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit atau cedera ekoran insiden itu," kata Kementerian Luar dalam kenyataan.

Kementerian akan terus berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah untuk memantau perkembangan selanjutnya, menurut kenyataan itu.

Kebakaran pada Sabtu di Hotel Ishraq Al Madinah, yang terletak kira-kira 350 meter dari Masjid Nabawi, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang manakala 130 lagi cedera. - BERNAMA

Melaka pertama wujud koperasi orang pekak

Posted: 09 Feb 2014 12:23 AM PST

Oleh FADZLY IZAB

MELAKA 9 Feb. - Melaka bakal menjadi negeri pertama yang menubuhkan koperasi bagi orang kurang upaya (OKU) pendengaran atau pekak dalam usaha menjana ekonomi serta melahirkan usahawan daripada golongan berkenaan.

Penaung Persatuan Orang Pekak Negeri Melaka (POPNM), Datuk Md. Yunos Husin berkata, koperasi yang dikenali sebagai Koperasi Usahawan Orang Pekak Melaka Berhad itu juga dilihat akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 golongan tersebut di negeri ini.

Menurutnya, tujuan utama penubuhan koperasi ini adalah untuk membela kebajikan golongan istimewa berkenaan di negeri ini terutamanya menjana ekonomi menerusi perniagaan dan keusahawanan. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved