Sabtu, 22 Mac 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


SPM 2013: MCKK muncul sekolah terbaik di Perak

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

sebahagian daripada pelajar MCKK yang berjaya mengekalkan prestasi sekolah tersebut sebagai sekolah primer, apabila terus mencapai keputusan 100 peratus lulus cemerlang di dalam SPM 2013 yang diumumkan kelmarin. - UTUSAN/Hashim P. Mamat

KUALA KANGSAR 21 Mac - Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) muncul sekolah terbaik di negeri ini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang diumumkan semalam apabila 85 daripada 147 calon memperoleh keputusan 10A.

Guru Penolong Kanan MCKK, Azizah Abu Bakar berkata, prestasi SPM tahun lalu mencatatkan peningkatan 1.46 peratus berbanding 1.1 peratus tahun sebelumnya.

Katanya, enam pelajar berjaya mencatatkan keputusan 10A+.

"Sungguh pun pihak sekolah menyediakan segala kemudahan belajar termasuklah bimbingan kepada setiap pelajar, tetapi kejayaan tidak dapat dicapai tanpa usaha gigih daripada pelajar sendiri.

"Kami sangat bersyukur dengan prestasi serta kejayaan yang diperolehi setiap pelajar dan mendoakan agar mereka terus berjaya dalam mengejar cita-cita masing-masing," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan SPM di kolej berkenaan di sini hari ini.

Enam pelajar yang memperoleh 10A+ ialah Ahmed Qaliff Zuber, Arif Asyraf Md. Supie, Mohamad Akmal Hakim Aziz, Mohammed Amirul Abdul Halim, Muhammad Hazman Mohd. Rozaim dan Ahmad Taib.

Salah seorang pelajar yang mencatatkan keputusan 10A+, Mohammed Amirul memberitahu, kejayaan tersebut didorong oleh kemahuan diri yang ingin berjaya seterusnya berusaha mengulang kaji pelajaran dengan bersungguh-sungguh.

"Bagaimanapun amalan utama yang saya praktik ialah tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT serta memohon restu ibu bapa, para guru serta rakan-rakan supaya memperoleh keputusan terbaik dan nampaknya dimakbulkan," jelasnya.

Seorang lagi rakan yang turut mencatat keputusan cemerlang, Arif Asyraf berkata dia gugup, terharu dan terkejut dengan keputusan diperoleh yang akan dijadikan pemangkin kepada dirinya untuk terus mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.

"Ini bukan kejayaan saya seorang tetapi turut dikongsi bersama ahli keluarga yang lain, para guru serta rakan-rakan yang banyak membantu memberi tunjuk ajar," ujar pelajar yang berasal dari Johor itu.

Dalam pada itu, kegembiraan jelas terpancar daripada wajah Ahmad yang turut mencatatkan keputusan 10A+.

Ahmad memberitahu, selain mendapat galakan daripada ibu bapa dan juga guru, petua kejayaannya adalah sentiasa menjaga disiplin terutama ketika mengulang kaji pelajaran.

1,276 calon Perak peroleh semua A

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 21 Mac - Seramai 1,276 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di negeri ini memperoleh gred cemerlang A bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Pemangku Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Idris Mohd. Ramli berkata, ia peningkatan 93 calon atau 0.32 peratus berbanding 1,183 calon tahun sebelumnya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 42 calon pula memperoleh gred cemerlang tertinggi A+ berbanding tahun sebelumnya seramai 41 orang atau 0.10 peratus.

"Pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 5.01 mata berbanding 5.21 mata pada tahun 2012.

"Peningkatan sebanyak 0.20 mata ini merupakan rekod terbaik sejak lima tahun lalu.

"Berdasarkan GPN, pencapaian calon bandar meningkat sebanyak 0.17 mata iaitu daripada 5.10 mata pada tahun 2012 kepada 4.93 mata tahun lalu.

"Bagi calon luar bandar, rekod menunjukkan peningkatan sebanyak 0.24 mata iaitu daripada 5.58 mata pada 2012 kepada 5.34 pada tahun 2013," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2013 bagi negeri Perak di sini hari ini.

Mohd. Idris memberitahu, seramai 38,856 calon menduduki peperiksaan itu tahun lepas dan daripada jumlah itu, 32,251 calon layak mendapat sijil berbanding 34,946 calon tahun sebelumnya.

Beliau berkata, 10 sekolah terbaik dalam peperiksaan itu ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah (SM) Sains Tapah, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), SM Sains Bagan Datoh dan SM Sains Teluk Intan

Katanya, lima lagi sekolah terbaik ialah SM Sains Raja Tun Azlan Shah di Taiping, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gopeng, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tasik Taiping, SMK Ave Maria Convent dan SMK Perempuan Methodist di Ipoh.

"Sebanyak 97 mata pelajaran diambil oleh calon-calon di negeri ini dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 56 mata pelajaran menunjukkan peningkatan manakala 38 mata pelajaran telah menurun dan tiga mata pelajaran lagi mengekalkan prestasi," katanya.

Dorongan keluarga pencetus semangat untuk cipta kecemerlangan

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

IPOH 21 Mac - Biarpun bapanya telah meninggal dunia akibat kemalangan enam tahun lalu, namun dorongan dan kata-kata semangat lelaki itu kekal tersemat dan menjadi pegangan kepada pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di negeri ini.

Berbekalkan dorongan itu, M. Kishalinii, 18, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, Taiping kini mampu tersenyum lebar apabila usaha gigihnya akhirnya membuahkan hasil apabila meraih 11A dalam peperiksaan tersebut.

"Sejak kecil, bapa K. Mahenthiran sering memberi imbuhan sebanyak RM10 jika saya memperoleh markah penuh iaitu 100 dalam setiap mata pelajaran yang diambil. Ini merupakan dorongan yang memang diamalkan sejak saya kecil.

"Selain itu, bapa juga selalu memanggil saya dengan panggilan pelajar A+. Kejayaan ini saya dedikasikan untuk keluarga, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu," katanya ketika ditemui di Jabatan Pendidikan Negeri selepas pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2013 di sini hari ini.

Kishalinii yang bercita-cita untuk menjadi doktor pakar saraf berkata, dia tidak menjangka memperoleh keputusan cemerlang tertinggi A+ tetapi hanya menyasarkan keputusan gred A sahaja.

Sementara itu, pelajar SMK Perempuan Methodist, Ipoh, Siew Viann, 18, yang juga memperoleh 11A berkata, dia banyak mengulang kaji pelajaran secara bersendirian dan berhenti mengambil kelas tambahan sejak dari tingkatan empat.

"Ibu bapa saya tidak pernah memberi tekanan dan ini membuatkan saya belajar dalam keadaan selesa. Saya sendiri tidak menyangka akan mendapat keputusan sebaik ini," katanya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Bagi pelajar Orang Asli, Azuarizam Alang, 18, berkata, pembelajaran melalui Astro Tutor TV banyak membantu dalam pelajaran selain tumpuan penuh di dalam kelas dan perbincangan bersama rakan serta guru.

Katanya, dia yang agak kecewa dengan keputusan tersebut bagaimanapun tidak berputus asa dan akan terus menyambung pengajian dalam bidang sains perubatan untuk mencapai cita-cita sebagai seorang doktor.

"Saya kecewa kerana saya mahu keputusan yang lebih baik daripada ini kerana semasa peperiksaan percubaan, saya mendapat 8A," kata Azuarizam yang tinggal di Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) 3, Bidor.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved