Sabtu, 22 Mac 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Dua pendaki melakar sejarah

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my

QOBIN dan Wan Azman (kanan) mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Carstensz Pyramid.

TIDAK mahu isu siapa dulu sampai ke puncak Gunung Carstensz Pyramid (CP) timbul, dua pendaki negara berjalan beriringan supaya sama-sama menjadi rakyat Malaysia pertama mengibarkan Jalur Gemilang di puncak berketinggian 4,884 meter dari paras laut (dpl) itu.

CP adalah antara tujuh puncak tertinggi di tujuh benua (seven summits mengikut Messner List). Menurut pendaki profesional, Richard Messner, CP merupakan puncak tertinggi di benua Australasia dan terletak di Papua, Indonesia. Bagi diri Qobin, kejayaan itu amat bermakna kerana setelah berjuang selama 10 tahun untuk menamatkan misi tujuh puncak, beliau akhirnya membuktikan kepada dunia bahawa anak muda Malaysia juga mampu menamatkan seven summits.Menurutnya, beliau terpaksa mengharung pendakian teknikal bersalji dan berbatu yang mana 95 peratus pendakian sejauh 600 meter dari kem induk Yellow Valley menggunakan tali yang basah akibat cuaca buruk dan hujan.

Sebelum ini, Qobin berjaya menakluk puncak tertinggi lain iaitu Gunung Kosciuszko (Australia 2,228 meter), Gunung Kilimanjaro di Tanzania (Afrika 5,892 meter), Gunung Aconcagua di Argentina (Amerika Selatan 6,962 meter), Gunung Vinson Massif (Antartika 4,892 meter), Gunung McKinley di Alaska (Amerika Utara 6,194 meter), Gunung Everest di Nepal (Asia dan dunia 8,848 meter) dan Gunung Elbrus di Rusia (Eropah 5,642 meter).

Messner bagaimanapun tidak mengiktiraf Kosciuszko sebagai puncak tertinggi di benua Australasia dan menggantikannya dengan CP.

Dengan itu, Qobin berjaya menakluk lapan puncak tertinggi di tujuh benua, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama dapat melakukannya.

Mengulas lanjut, katanya, cabaran paling getir dalam pendakian CP adalah menempuh laluan permatang yang memiliki kecerunan 80 darjah.

"Saya juga perlu merentasi jurang sepanjang 25 meter dengan kaedah tyrolean (menarik badan secara terbalik sambil tergantung menggunakan tali)," katanya.

Menurut Qobin, cabaran getir yang lain adalah ketika merentasi dua tempat yang dinamakan step jump yang mana beliau perlu melepasi jurang selebar dua meter dan sekiranya terjatuh, pasti akan terhumban ke dalam jurang 600 meter.

"Alhamdulillah, setelah mengharung pendakian selama tujuh jam dari kem induk, akhirnya puncak CP dapat ditawan. Kami mengambil masa lima jam untuk berpatah balik ke kem induk," ujarnya yang merupakan Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B).

Sementara itu, Wan Azman pula memberitahu, CP merupakan puncak terakhir yang ditakluk bagi menyelesaikan misi tujuh puncak tertinggi di tujuh wilayah Indonesia (seven summits Indonesia).

Sebelum ini, beliau telah menakluk Gunung Kerinci di Kepulauan Sumatera (3,805 meter), Gunung Rinjani (Nusa Tenggara Barat 3,726 meter), Gunung Latimojong (Kepulauan Sulawesi 3,680 meter), Gunung Semeru (Jawa 3,676 meter), Gunung Binaiya (Kepulauan Maluku 3,055 meter) dan Bukit Raya (Kalimantan 2,278 meter).

Mengulas pendakian CP, katanya, persiapan awal yang dilakukannya adalah mendapatkan penunjuk arah (guide) yang benar-benar genuine.

Ini kerana katanya terdapat banyak kes penipuan dalam memperolehi kelulusan permit untuk mendaki.

"Saya bernasib baik dapat mengenali Sofyan Arief Fiesa yang merupakan anggota pasukan Indonesia pertama berjaya menawan seven summits dunia.

"Kami kemudiannya bersama-sama mendaki Bukit Raya pada tahun lalu," katanya sambil memberitahu suhu di kem induk Yellow Valley adalah sekitar 0 hingga lima darjah celsius.

Menurutnya, dengan bantuan Sofyan, beliau akhirnya dapat membentuk satu pasukan pendaki yang sesuai untuk menawan puncak CP.

"Jumlah pendaki yang sesuai penting untuk memastikan kos pendakian dapat diminimumkan. Akhirnya satu pasukan pendaki iaitu dari Malaysia (dua), Indonesia (dua), Jepun (tiga) dan China (seorang) dapat dibentuk.

Menyentuh tentang cabaran, katanya, pendaki perlu mahir menggunakan tali kerana dalam pendakian CP, hampir 95 peratus perjalanan memerlukan kemahiran tersebut.

"Antaranya adalah teknik ascending, repelling, abseiling dan paling utama kemahiran tyrolean," ujarnya yang mengakui cabaran paling getir adalah ketika melakukan tyrolean.

"Ia satu cabaran yang paling teknikal dan ini diakui sendiri oleh empat rakan pendaki yang pernah sampai ke puncak Everest," tambahnya.

Ditanya mengenai kekuatan tali untuk tyrolean, katanya jenis tali tersebut adalah static rope dan steel cable.

"Untuk keselamatan, pendaki diikat pada safety line di sepanjang pendakian. Ini kerana laluan salji mudah cair," katanya yang turut berhadapan dengan AMS (acute mountain sickness).

"Cabaran AMS juga dianggap getir kerana kami tidak melalui proses penyesuaian iklim (acclimatize) kerana menaiki helikopter terus ke kem induk Yellow Valley di ketinggian 4,200 meter dpl.

"Ini menyebabkan kami disaran mengambil pil diamox bagi mengurangkan risiko AMS," katanya.

Kejayaan dua anak muda ini wajar dijadikan contoh terutama dalam memiliki sikap yang sentiasa positif bagi menempuh setiap cabaran dan rintangan demi merealisasikan impian.

Semua orang ada impian tetapi impian hanya tinggal impian jika tidak sanggup melakukan pengorbanan wang, masa, tenaga dan paling utama, niat mestilah ikhlas, tidak riak dan apa yang dicapai adalah dengan izin Allah SWT.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved