Sabtu, 22 Mac 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Biodiesel kukuh harga minyak sawit

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Adnan Yaakob bersama Douglas Uggah Embas (tiga dari kanan) melihat bagaimana minyak biodiesel sawit diproses selepas majlis Pelancaran Penggunaan Biodiesel Sawit bagi Wilayah Timur di Kuantan, baru-baru ini. - BERNAMA

KUANTAN 22 Mac - Pelaksanaan penggunaan biodiesel sawit adalah langkah strategik kerajaan bagi mengukuhkan harga minyak sawit dalam jangka masa panjang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah itu juga akan menyumbang kepada persekitaran yang bersih dengan penggunaan bahan bakar yang mesra alam.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan usaha kerajaan meluaskan penggunaan biodiesel sawit ke negeri ini yang sudah pun bermula pada Februari lalu.

"Pelaksanaan program ini amat wajar kerana Pahang merupakan antara negeri yang mempunyai ladang kelapa sawit cukup luas dan pada tahun lalu sahaja kita memiliki kira-kira 710,000 hektar ladang sawit," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Penggunaan Biodiesel Sawit di Wilayah Timur (Pahang, Terengganu dan Kelantan) dan Utara (Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang) serta penyempurnaan di peringkat Semenanjung di Hotel MS Garden, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Unggah Embas; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Nurmala Abd. Rahim; Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ar Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Choo Yuen May.

Terdapat tiga kilang biodiesel sawit di negeri itu dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 450,000 tan setahun di samping tiga depot pengadunan petroleum.

Adnan berkata, kerajaan negeri akan memberi sepenuh komitmen dan membantu pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang kini giat melakukan kajian dan penelitian mengenai biodiesel sawit.

"MPOB kini membuka pejabat cawangannya di Bandar Indera Mahkota dekat sini, jadi dengan wujudnya jalinan kerjasama yang akan diadakan nanti dapat meningkatkan kemajuan dalam industri ini.

"Saya juga mencadangkan jika MPOB ingin membuka sebuah lagi kilang biodiesel sawit, boleh datang ke Pahang, kita akan menyediakan lokasi yang sesuai untuk pembinaan kilang ini," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri akan membangunkan Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC) di Gebeng di sini di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kos sebanyak RM89.34 juta.

Kerajaan tidak pernah pinggirkan kemudahan Orang Asli

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

KUALA LIPIS 22 Mac - Kerajaan tidak pernah meminggirkan kemudahan masyarakat Orang Asli di pedalaman apabila projek pembinaan jalan raya ke perkampungan Orang Asli Pos Titom, Hulu Jelai di sini bakal dimulakan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek jalan raya ke Pos Titom merupakan infrastruktur terakhir di kawasan penempatan Orang Asli Hulu Jelai kerana hampir semua kemudahan asas termasuk jalan raya telah direalisasikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

"Jalan ini memberi kemudahan kepada masyarakat Orang Asli untuk mengangkut hasil kampung atau mengadakan urusan di pekan Sungai Koyan, Kuala Lipis dan Raub," katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Mesra dan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Pos Titom di Pos Titom Betau yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alaxender Nanta Linggi Pos Titom Betau di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alaxender Nanta Linggi berkata, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membina jalan raya sepanjang 6.5 kilometer dari Lenjang ke Pos Titom di sini.

Menurut Alaxender, projek yang bermula bulan lalu itu dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, projek jalan raya itu antara usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu di kawasan pedalaman Hulu Jelai bagi sektor pertanian komersial dan pelancongan.

"Projek ini adalah antara perhubungan penting untuk penduduk Orang Asli membawa keluar hasil kampung selain mengadakan pelbagai urusan di bandar," ujarnya.

Seorang penduduk etnik Semai Pos Titom, Ramli Bah Resit, 47, berkata, impian menikmati kemudahan itu tercapai apabila projek berkenaan mula dibina ke kampung berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana merealisasikan usaha itu sekali gus membuka lembaran pembangunan moden di pedalaman ini," katanya.

5 kes tangkap ikan guna alat terlarang

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

KUANTAN 22 Mac - Jabatan Perikanan negeri berjaya membanteras kegiatan menangkap ikan air tawar menggunakan peralatan dilarang di sungai utama di negeri ini membabitkan lima kes tangkapan sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, lima kes ini membabitkan kesalahan seperti menuba, jermal haram, pistol ikan dan bom.

"Sebanyak tujuh kes direkodkan pada 2012, diikuti sembilan kes bagi tahun lepas dan lima kes pada tahun ini melibatkan daerah Lipis, Maran serta Kuantan.

"Mereka ini tidak bertanggungjawab dan perlu menghentikan menggunakan peralatan dilarang di sungai kerana boleh merosakkan sumber perikanan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Biosekuriti Perikanan negeri di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussein dan Ketua Pusat Biosekuriti Perikanan, Azahari Othman.

Menurutnya, penggunaan peralatan dilarang ini telah memusnahkan banyak spesies ikan air tawar di sungai utama iaitu ikan kelah, patin, jelawat, lampam sungai, kerai dan baung.

"Saya meminta orang ramai memberi kerjasama supaya tidak merosakkan sungai di negeri ini dengan pelbagai aktiviti yang tidak sihat seperti menuba, menggunakan bom, racun dan banyak lagi," katanya.

Katanya, mereka yang didapati bersalah akan didakwa di bawah Kaedah-kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda minimum RM500 dan maksimum RM5,000 manakala segala kelengkapan akan dirampas.

Sementara itu, beliau meminta supaya kerajaan dapat mengkaji semula jumlah baharu denda yang diperuntukkan berikutan begitu kecil dan boleh menyebabkan orang ramai tidak takut melakukan kesalahan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved