Sabtu, 22 Mac 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Naik taraf sistem pembetungan

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan (kanan) menerima anak pokok daripada salah seorang kakitangan Jabatan Hutan Malaysia sebagai simbolik merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2014 di Hutan Sungai Menyala, Port Dickson, Teluk Kemang, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - utusan/KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

TELOK KEMANG 21 Mac - Pemilik pusat peranginan di kawasan ini diberi masa dua tahun bagi untuk menaik taraf sistem pembetungan masing-masing dalam usaha kerajaan negeri mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu dibuat bagi menghalang pemilik hartanah terutamanya hotel, pusat peranginan dan apartmen melepaskan air kumbahan secara langsung ke dalam laut selain mengurangkan pencemaran laut.

Tambah beliau, kerja-kerja menaik taraf sistem pembetungan berpusat bernilai RM300 juta itu siap enam bulan lalu dan telah diuji keberkesanannya.

"Kita memberi tempoh selama dua tahun kepada pemilik hartanah di sini, jadi mereka boleh merancang perbelanjaan modal dan memperuntukkan sedikit dana bagi tujuan itu.

"Kerajaan negeri juga sudah memberikan mereka notis yang cukup dan jika mereka masih gagal untuk mematuhi, kita akan menutup operasi mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Perhutanan Sedunia Peringkat Kebangsaan di hutan simpan Sungai Menyala di sini.

Mohamad berkata, sudah tiba masanya bagi sistem berkenaan dilakukan kerana beliau tidak mahu pengunjung berasa terancam semasa mengunjungi kawasan pantai popular itu.

"Saya dimaklumkan bahawa sejumlah pengunjung berasa tidak selamat ketika berenang di sini apabila segelintir pengusaha pusat peranginan melepaskan sisa kumbahan terus ke laut. Perkara ini perlu dihentikan dan kita patut bekerjasama dan memastikan laut bersih semula," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohamad menjelaskan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk meminda undang-undang negeri bagi memastikan hanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh memutuskan sama ada kawasan hutan simpan kekal boleh diwartakan.

Ketika ini, keputusan seperti itu hanya diputuskan oleh Exco kerajaan negeri, katanya.

Tujuh sekolah aliran agama catat kelulusan penuh SPM 2013

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

MELAKA 21 Mac - Sebanyak tujuh daripada 14 buah sekolah yang mencatat kelulusan penuh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di negeri ini merupakan sekolah aliran agama.

Penolong Pengarah Perolehan dan Pembangunan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan negeri, Suhaimi Ghazali (gambar)berkata, kesemua sekolah itu terdiri daripada empat sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) yang dahulunya ditadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) manakala tiga lagi adalah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA).

Menurutnya, biarpun syarat wajib lulus dan mendapat sijil telah ditingkatkan kepada dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah namun, peningkatan kelulusan dalam sekolah aliran agama dilihat semakin meningkat.

"Ini mungkin kerana kita telah melakukan pemilihan pelajar terlebih dahulu untuk memasuki sekolah-sekolah ini.

"Bagi sekolah-sekolah SABK, kita telah tetapkan sekurang-kurangnya 3A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan minimum 4A dalam Ujian Kelas KAFA (UPKK).

"Alhamdulillah pada SPM 2013, tujuh sekolah aliran agama telah berjaya mengekalkan kelulusan 100 peratus dan memperoleh dana RM5,000 daripada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Assaiyidah Khadijah, Jasin di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengetuanya, Faridah Ismail; Penyelia Kanan Hal Ehwal Murid, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan negeri, Shamsiah Mahmud dan Penyelia Kanan Sekolah Agama Rakyat KAFA, Mohd. Nasaruddin Harun.

SMA Assaiyidah Khadijah antara sekolah yang berjaya memperoleh kelulusan penuh dalam SPM 2013 dengan 99 orang calon.

Dua pelajarnya yang memperoleh keputusan cemerlang ialah Zuhaili Kamarudin, 18, dan Nur Nabilah Mohayan, 18.

Enam lagi sekolah adalah SMA Al-Asyraf, SMA Al-Ehya El Karim, SMA Tahfiz Al-Quran, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah, SMKA Sultan Muhammad dan SMKA Tun Perak.

Kata Suhaimi, dua buah sekolah yang kini sedang dalam proses diserapkan di bawah SABK ialah Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka (Imtiaz Melaka) dan Sekolah Tahfiz Pulau Besar.

Katanya, sasaran SPM tahun ini adalah untuk mengekalkan kecemerlangan kelulusan penuh sekolah-sekolah aliran agama di negeri ini serta meningkatkan bilangan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang.

"Kita akan terus mengekalkan program-program kecemerlangan termasuk Kem Kecemerlangan Akademik bagi calon SPM dan PMR," katanya.

Usahawan IKS terima bantuan RM65,000

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

ALOR GAJAH 21 Mac - Seramai 15 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam daerah Masjid Tanah menerima bantuan kewangan berjumlah RM65,000 daripada Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Masjid Tanah bagi meningkatkan keupayaan ekonomi perniagaan golongan itu.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin berkata, bantuan yang disalurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah bagi merancakkan lagi ekonomi masyarakat luar bandar khususnya dalam daerah tersebut.

Menurutnya, kementerian memperuntukkan sebanyak RM80,000 untuk golongan itu dan sejumlah RM15,000 telah pun diagihkan kepada penerima yang layak secara berperingkat sebelum ini.

"Kita menerima banyak permohonan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing serta daripada agensi-agensi yang terbabit, namun pada hari ini seramai 15 orang yang terpilih.

"Sebelum ini, kita sudah agihkan RM15,000 kepada penerima, jadi hari ini kita serahkan yang selebihnya RM65,000 kepada penerima yang terpilih dari seluruh parlimen ini dengan bantuan yang tertinggi hari ini adalah RM6,500 dan terendah RM3,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan replika cek bantuan kepada penerima dalam Mesyuarat MPPP Masjid Tanah di Japerun Lendu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, ADUN Tanjung Bidara, Md. Rawi Mahmud, ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar dan ADUN Lendu, Sulaiman Md Ali.

Mas Ermieyati berkata, beliau berharap bantuan itu dapat digunakan usahawan terbabit untuk menambahbaik dan menaiktaraf perusahaan masing-masing supaya dapat menarik minat para pelanggan.

"Bantuan yang kita berikan ini adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk menggalakkan ekonomi masyarakat luar bandar terus maju dan sebagai usaha merancakkan industri asas tani di negara ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved