Sabtu, 22 Mac 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kelebihan gol bawa Malaysia ke final

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
sukan@utusan.com.my

PEMAIN Malaysia, Helmi Jali (tengah) cuba melepasi kawalan dua pemain Australia dalam perlawanan terakhir peringkat awal kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh semalam yang berkesudahan Malaysia tewas 6-2. - MINGUAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

IPOH - Malaysia mengesahkan tempat ke perlawanan akhir kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah tetapi hanya selepas menanti keputusan dengan penuh debaran sebelum mengesahkan tempat menerusi kelebihan gol ke atas Korea Selatan.

Setelah dibelasah juara bertahan, Australia 2-6 dalam perlawanan awal di Stadium Azlan Shah di sini semalam, nasib Malaysia terpaksa ditentukan berdasarkan keputusan perlawanan terakhir peringkat awal di antara Korea Selatan dengan Afrika Selatan yang berakhir dengan juara Asia itu menang 5-2.

Skuad kebangsaan seharusnya berterima kasih kepada Afrika Selatan yang berjaya menyekat Korea Selatan daripada menang besar.

Keputusan itu menyebabkan Malaysia dan Korea Selatan terikat dengan 10 mata tetapi anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah memiliki kelebihan jaringan setelah menjaringkan 17 gol berbanding pencabarnya 14 gol.

Dalam aksi menentang Australia, skuad negara tampil kental pada babak pertama apabila hanya dibolosi satu gol setelah Nicholas Budgeon menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-17.

Namun gawang gol skuad kebangsaan dibolosi lima kali pada babak kedua, masing-masing menerusi Chris Ciriello (m-38 dan m-59) Russell Ford (m-42), Daniel Beale (m-43) dan Eddie Ockenden (m-46).

Perbezaan jaringan yang besar itu bagaimana pun berjaya dikurangkan menerusi dua gol hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal Saari pada minit ke-61 dan ke-70.

Jurulatih kebangsaan, Muhammad Dharma berkata, walaupun kalah dia berpuas hati dengan persembahan pasukannya terutama pemain muda yang pertama kali beraksi dalam kejohanan ini.

"Matlamat kita memang mahu mengurangkan jumlah jaringan dan berjaya melakukannya hasil dua gol pada penghujung perlawanan.

"Menentang pasukan No. 1 dunia, pemain membuktikan kita bukan pasukan pengecut, malah memberikan tentangan hingga ke penghujung perlawanan.

"Apa yang membanggakan kita menjadi pasukan pertama yang membolosi gawang Australia sebanyak dua kali," katanya.

Dalam pada itu, Korea Selatan dikerah sebelum mengalahkan Afrika Selatan 5-2 setelah mendahului 2-1 pada babak pertama menerusi Jung Man Jae dan Kang Moon Kweon pada minit ke-22 dan ke-26.

Sebelum itu Korea Selatan dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Afrika Selatan hasil gol padang Ignatius Malgraff pada minit ke-18.

Korea Selatan menambah tiga gol pada babak kedua menerusi Hyun Hye Sung (m-42), Kang Moon Kyu (m-68) dan Jang Byung Jin (m-70) manakala gol kedua Afrika Selatan dijaringkan Brandon Panther (m-69).

Pemain 17 tahun kejutkan Nicol

Posted: 22 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
sukan@utusan.com.my

Nicol Ann David ditenangkan bapanya, Desmond David selepas tewas kepada Nour El Sherbini dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia di Pulau Pinang semalam. - BERNAMA

PULAU PINANG - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal dalam misinya mencari kejuaraan dunia kelapan dalam Kejohanan Wanita Dunia CIMB ke-29 selepas tewas mengejut kepada pemain muda Mesir, Nour El Sherbini di sini semalam.

Masuk ke gelanggang selaku pilihan utama kejohanan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang Subterranean (SPICE), Nicol, 31, gagal memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan sokongan padu peminat di negeri kelahirannya apabila tewas dalam perlawanan lima set yang berlangsung kira-kira satu jam.

Nicol, yang muncul juara kejohanan ini di Pulau Caymen tahun lalu, kelihatan akan meraih laluan mudah setelah menang mudah pada set pertama dengan 11-4 ke atas juara remaja dunia sebanyak tiga kali berusia 17 tahun itu.

Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan rentak kemenangan untuk tewas dua set berikutnya dengan 9-11 dan 6-11.

Namun, pemain nombor satu dunia itu mengikat kedudukan dua set sama apabila bangkit pada set keempat untuk menang 11-2 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set terakhir, Nicol seolah-olah hilang tumpuan selepas membenarkan Sherbini mendahului agak selesa malah pernah ketinggalan agak jauh dengan 4-8.

Meskipun cuba mengejar, namun Nicol tidak mampu menyaingi permainan pantas dan menyerang Sherbini sebelum tewas 9-11.

Selepas perlawanan, Nicol mengakui dia kecewa dengan kekalahan itu apatah lagi ditewaskan di hadapan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, menurut Nicol, dia tetap berasa bangga kerana tewas di tangan seorang pemain muda yang berbakat besar serta seorang lawan yang cukup hebat seperti Sherbini.

"Dia terlalu bagus hari ini dan memberi persaingan yang cukup sengit dan saya akui pertemuan dengannya adalah perlawanan yang sukar.

"Apa pun saya terima kekalahan ini meskipun pahit kerana kecundang di negara serta negeri kelahiran saya sendiri dan saya akan menilai kekalahan ini untuk persediaan dalam kejohanan akan datang," katanya.

Kekalahan Nicol itu juga bermakna dia gagal untuk mengulangi pertemuan dengan musuh tradisi, Laura Massaro dari England dalam perlawanan akhir hari ini seperti dalam kejohanan musim lalu.

Massaro yang juga pemain No. 2 dunia melangkah ke peringkat akhir selepas menewaskan pemain No. 3 dunia juga dari Mesir, Raneem El Weleily dengan 11-9, 11-7, 6-11 dan 11-7 dalam masa 48 minit.

Dalam pada itu, Sherbini berkata, kemenangan ke atas Nicol adalah pengalaman paling manis dalam kariernya memandangkan tidak pernah berjaya menewaskan Nicol sebelum ini.

"Saya turun tanpa sebarang tekanan berbanding Nicol dan keadaan itu memberi kelebihan kepada saya untuk menewaskannya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved