Ahad, 22 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sampah dihantar terus ke Bukit Tagar

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

SEORANG pekerja mengumpulkan sampah di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin di Kepong, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menanggung kos tambahan penghantaran sampah yang akan dibawa terus dari ibu negara ke tapak pelupusan di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, biarpun kosnya dijangka tinggi, pihaknya sedia melaksanakan perkara itu kerana tidak mahu warga kota menerima kesan akibat penutupan sementara Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin di Kepong di sini.

Menurutnya, tindakan itu sebagai langkah jangka pendek sementara kementeriannya bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyelesaikan isu penutupan sementara stesen pemindahan sampah itu dengan kadar segera.

"Butiran terperinci mengenai anggaran kos dan sebagainya tidak dapat didedahkan lagi kerana masih dalam peringkat kajian, namun kontraktor (pembersihan) yang terlibat telah diarahkan untuk menghantar terus sampah ke Bukit Tagar kerana Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin ditutup sementara.

"Saya difahamkan, operator yang dilantik untuk menguruskan stesen pemindahan ini telah ditamatkan kontrak sejak tiga bulan lalu kerana prestasinya yang tidak memuaskan selain mengalami beberapa masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan mengejut di stesen pemindahan itu di sini hari ini.

Menurut Tengku Adnan, lawatan tersebut dilakukan serta-merta sebaik mendapat panggilan telefon daripada seorang penduduk berdekatan yang tidak tahan dengan masalah di pusat pemindahan itu.

"Saya juga terkejut sebaik melihat laporan akhbar hari ini yang memaparkan gambar deretan sampah di bahu Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2).

"Saya amat kesal dengan tindakan pemandu lori yang melonggokkan sampah di tepi jalan, tetapi pada masa sama saya memahami tindakan mereka yang terpaksa menunggu lama kerana ada masalah teknikal," ujarnya.

Tengku Adnan berjanji, kejadian tersebut tidak akan berulang dan beliau juga telah mengarahkan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, DBKL memantau kawasan itu selama 24 jam.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati sampah yang dianggarkan seberat 2,500 tan yang memenuhi bahu lebuh raya berhadapan stesen pemindahan itu telah selesai dibersihkan Alam Flora Sdn. Bhd dan DBKL semalam.

Namun, 'tapak' pembuangan sementara itu masih kelihatan kotor dan bau busuk mengganggu pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal.

Pada 14 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan lori-lori mengangkut sampah terpaksa beratur panjang berjam-jam lamanya untuk memunggah turun muatan di stesen itu. Deretan lori itu melimpah sehingga ke bahu JLT2 dan menyebabkan kesesakan jalan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Nadzri Yahya yang dihubungi Utusan, berjanji akan menyelesaikan masalah teknikal yang berlaku di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal itu dengan segera, namun belum pun isu itu tamat, beberapa pemandu lori bertindak nekad dengan menurunkan muatan mereka di tepi lebuh raya itu.

Difahamkan, kerosakan salah sebuah mesin pemampat di stesen pengumpulan sampah itu menjadi punca kelewatan untuk lori-lori sampah menurunkan muatan di situ.

2,148 belia maut kemalangan jalan raya tahun lalu

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Nor Laily Zakaria memakaikan topi keledar kepada seorang pelajar sambil disaksikan oleh Parama Iswara Subramaniam (dua dari kanan) sempena kempen keselamatan jalan raya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SHAH ALAM 22 Dis. - Sebanyak 2,148 belia berumur 12 hingga 25 tahun telah direkodkan maut dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Nor Laily Zakaria berkata, jumlah itu mewakili 31 peratus jumlah keseluruhan kes kematian akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara yang dicatatkan dalam tempoh yang sama.

Jelas beliau, antara penyumbang kepada kes kemalangan maut tersebut adalah pemakaian topi keledar secara tidak selamat.

"Justeru, JKJR negeri dengan kerjasama SIRIM QAS International Sdn. Bhd. dan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) menganjurkan kempen pemakaian topi keledar dengan betul dan selamat.

"Sasaran kami ialah para pelajar memandangkan mereka adalah kumpulan umur paling ramai direkodkan maut dalam kemalangan jalan raya," katanya ketika Kempen Pemakaian Topi Keledar Dengan Betul dan Selamat di PSA di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama dalam kempen itu ialah Pengurus Besar Kanan SIRIM QAS International, S. Parama Iswara dan Pengarah PSA, Kamaruzaman bin Ismail.

Mengulas lanjut mengenai kempen itu, Nor Laily berkata, SIRIM QAS International telah menyumbangkan hampir 100 biji topi keledar kepada para pelajar PSA untuk mendidik golongan belia mengenai pemakaian topi keledar dengan betul dan selamat.

"Usaha ini sebagai sokongan kepada kerajaan bagi bersama-sama menangani dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini," ujarnya.

Alam Flora urus sementara stesen pemindahan sampah

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik Alam Flora Sdn. Bhd. untuk menguruskan operasi Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Kepong buat sementara waktu.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, Alam Flora akan mengambil alih operasi stesen terbabit dalam masa terdekat sebelum pihak kerajaan melantik operator baharu.

"Kami meminta semua lori sampah terlibat menghantar terus sampah tapak pelupusan di Bukit Tagar. Sampah-sampah yang dilonggokkan di situ pula telah dibersihkan oleh DBKL dan Alam Flora," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perbuatan beberapa pemandu lori sampah memunggah turun muatan di bahu Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) berdekatan stesen itu semalam.

Mhd. Amin Nordin berkata, beliau difahamkan sebanyak sepuluh buah lori sampah terlibat dengan kejadian itu sejak malam semalam berikutan penutupan stesen itu secara tiba-tiba.

"Syarikat kontraktor terdahulu iaitu Tetuan Umpan Jaya Sdn. Bhd. tidak mampu lagi menguruskan pemindahan sisa pepejal di stesen berkenaan kerana mengalami masalah dan krisis," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved