Ahad, 22 Disember 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Jaga nama baik

Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

MELEWATI hari-hari dengan penuh rasa syukur, tidak ada siapa yang dapat membayangkan gelodak di hati wanita ini. Cukup berhati-hati dalam karier seninya, Erin Malek tidak mahu mengulang kesilapan lalu. Sikap panas baran dan beremosi melalui setiap cerita panas kini ditolak jauh-jauh.

Dia tidak lagi mahu melihat kanvas perjalanan seninya dicemari dengan kontroversi yang boleh menjatuhkan maruah diri seperti yang berlaku sebelum ini.

Untungnya pelakon utama drama bersiri Misiku Kuza ini semakin matang. Setiap perbuatan ditimbang baik buruk agar tidak memberikan implikasi negatif kepada kerjayanya.

Bagi Erin, dia menyimpulkan tahun 2013 sebagai tahun yang cukup bersih buat dirinya. Tidak dicemari cerita-cerita panas, dia semakin bijak membawa haluan diri.

Memang saya bersyukur sangat sebab tahun ini tak banyak cerita panas seperti tahun-tahun sebelum ini. Kontroversi pun tak ada dan saya senang sekali melaluinya.

Orang selalu cakap baik atau buruk pun tetap publisiti. Tapi buat apa kita terheret dalam cerita-cerita buruk yang akhirnya menimbulkan persepsi negatif pada diri.

Tak ada apa pun saya buat untuk membersihkan nama. Saya masih sama seperti dulu. Setiap kali nak buat sesuatu perkara, saya fikir masak-masak untuk elak jadi bahan kontroversi.

Orang sentiasa mencari salah kita dan mahu jadi orang pertama yang menunjukkan perkara itu. Mereka tolak ke tepi kebenaran semata-mata kerana mahu jadi yang pertama.

Sebelum orang cuba mencari salah saya, baik saya berhati-hati," tegas Erin terhadap pendiriannya.

Malah katanya, soal maruah, harga diri dan segala-galanya tentang peribadinya perlu diambil kira dan diletak di tempat tertinggi.

Baginya terpulang kepada seseorang artis itu untuk mencorakkan diri mereka. Baik atau buruk hanya mereka sahaja yang mampu mengawal situasi tersebut.

Enggan disamakan dengan mana-mana artis yang lain, Erin tidak mahu ambil pusing perihal orang lain. Baginya tanggungjawab sekarang adalah untuk menjaga nama baik sendiri dan juga keluarga.

Tanggungjawab

Pada usia semuda ini, tanggungjawab Erin cukup besar. Selain mencari rezeki untuk bekalan hari tuanya, dia juga menggunakan wang tersebut membantu keluarga.

Tidak menganggap perkara itu sebagai beban, sudah pasti dia menggunakan kelebihan tersebut ke jalan yang betul.

Sementelah ramai melihat pada usianya yang baru mencecah 19 tahun, Erin seharusnya menyambung pengajian tetapi dia tegas membuat keputusan untuk terus bergelar pelakon.

Ini minat saya dan ini kebolehan saya. Saya tak hanya menjadikan bidang lakonan sebagai hobi atau sekadar suka-suka. Saya menjadikan lakonan sebagai kerjaya.

Bila sudah jadi kerjaya, segala komitmen dan tumpuan diberi sepenuhnya. Saya pun tak mahu orang mengata macam-macam selepas menonton drama atau filem.

Pokok pangkalnya terletak pada hati. Kalau masuk ke dalam bidang seni hanya untuk suka-suka saya yakin tak ada siapa pun akan bertahan lama," tegasnya lagi.

Selain kerjaya, Erin juga memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga memandangkan dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Fokusnya hanyalah untuk memberikan kesenangan kepada kedua-dua adiknya untuk terus menikmati hari-hari mendatang dengan penuh kesempurnaan.

Tak ada guna cari duit banyak kalau pada akhirnya keluarga terabai. Saya selalu nasihatkan kedua-dua adik saya untuk bersyukur dengan apa yang ada.

Paling tidak mereka perlu jaga diri dan jaga maruah keluarga. Apa sahaja yang telah berlaku jadikan pengajaran untuk masa hadapan.

Nak jadi sempurna itu tak mungkin. Asalkan kami anak beranak tak menderita sudah cukup baik. Paling penting kena bersyukur atas nikmat yang kami dapat hari ini," luahnya jujur.

Jaga disiplin

Mencongak kembali perjalanan seni pelakon ini boleh dikatakan Erin cukup bertuah kerana diberi pendedahan awal melalui filem Tentang Bulan dan beberapa buah filem lain.

Baginya pengalaman menjadi pelakon kanak-kanak pada satu ketika dahulu masih berbekas dalam ingatan dan pada masa yang sama dia mahu mengubah persepsi orang yang masih menganggap dirinya berada dalam fasa itu.

Alhamdulillah saya sudah berjaya mengubah sedikit persepsi peminat yang masih anggap saya begitu. Perubahan itu perlu untuk mengubah aliran lakonan agar tak nampak statik.

Sebab itu saya agak cerewet memilih tawaran yang datang. Kalau masih nak beri watak kanak-kanak memang saya akan tolak.

Sama juga dengan hal-hal lain seperti pemilihan pelakon. Kalau gandingan saya kurang berkenan atau saya kurang senang dengan keseluruhan drama tersebut saya rela tolak terus.

Ini bukan soal berlagak atau apa tapi soal kerja. Buat apa saya ambil tawaran kalau pada akhirnya akan memberikan impak buruk pada diri sendiri dan orang lain," tegas Erin lagi.

Akui pelakon ini lagi, dia enggan bersikap tamak dengan mengambil dua atau tiga drama sekali gus pada satu-satu masa seperti yang berlaku pada segelintir artis.

Dia lebih rela menghabiskan sesebuah penggambaran daripada terkejar-kejar ke beberapa lokasi dan akhirnya akan menyusahkan banyak pihak.

Buat kerja apa pun jangan tamak. Jangan terlalu kejar job tapi akhirnya menyusahkan orang dengan masalah disiplin kita sendiri.

Saya yakin setiap kali penggambaran mesti ada seorang dua yang lewat. Nak buat macam mana kalau dah menunggu menjadi sebahagian daripada kerja seorang pelakon.

Hari ini kita buat pada orang tak mustahil pada masa hadapan kita sendiri yang akan kena. Pokok pangkalnya saya kena jaga disiplin," kata Erin.

Demi cinta Korban karier

Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

LIMA bulan bergelar suami isteri merupakan fasa yang cukup membahagiakan buat Datuk Hattan dan pasangannya, Datin Arianie Abidin.

Perkahwinan kali kedua yang dibina antara mereka dianggap seperti jambatan yang menghubungkan dua hati.

Menyifatkan isterinya sebagai penyejuk turun naik emosi lelakinya, Hattan menganggap peluang kedua itu sebagai hadiah terindah dalam hidupnya.

Alhamdulillah hidup saya lebih teratur sekarang. Bukan dahulu tak teratur tetapi bila ada isteri di sisi sudah pasti hari-hari yang kami lalui bertambah manis.

Segala-galanya dibuat bersama. Orang kata sekarang macam fasa bulan madu bagi kami berdua. Ada sahaja aktiviti yang kami buat bersama sejak kembali berumah tangga," jelas Hattan.

Dia sendiri tidak pernah membayangkan akan mendapatkan kembali kehidupan bersuami isteri seperti dahulu pada usia begini.

Sudah pasti kerukunan rumah tangga yang disulam dengan cinta itu bertambah seri apabila anak tunggal mereka Adam Eiman, 15, mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan Khamis lalu.

Ini anugerah terindah di dalam hidup saya saat melihat Adam mendapat 8A. Tak ada bapa yang tak bangga dengan keputusan cemerlang anaknya.

Mujur dia tak minta apa-apa hadiah sebab bulan lepas kami sekeluarga telah bercuti ke London. Kiranya dia sudah dapat hadiah awal-awal lagi sebelum keputusan peperiksaan diumumkan.

Saya bukan jenis yang manjakan anak dengan hadiah yang mahal-mahal atau yang pelik-pelik. Selagi permintaannya realistik saya akan tunaikan," kata penyanyi lagu Biso Bonar ini lagi.

Letak jawatan

Lebih menambahkan seri rumah tangga yang mereka bina, isterinya yang berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sanggup meletak jawatan bermula Januari depan.

Tumpuan Arianie kini hanyalah kepada rumah tangga semata-mata dan sedang memikirkan untuk terlibat dalam bisnes perlancongan dalam masa terdekat.

Dia yang berkhidmat selama 24 tahun sebagai pramugari menganggap tumpuannya kini bukan lagi kepada kerjaya tersebut meskipun hanya berbaki dua tahun sebelum bersara wajib.

Lepas kami menikah semula dia ada bagi hint supaya saya berhenti kerja. Bila dikenang kembali ada baiknya saya tinggalkan (kerja).

Bukan mudah nak meninggalkan kerjaya yang sudah sebati dalam hidup saya. Menjadi pramugari selama tempoh itu bukan perkara yang mudah untuk dilepaskan.

Tetapi demi keluarga saya rela meninggalkan bidang yang saya cintai. Tak mengapa asalkan saya dapat berada bersama suami dan anak sudah buat saya bahagia," jelas Arianie.

Kesediaan Arianie menamatkan perkhidmatan lebih awal dianggap sebagai pengorbanan besar buat penyanyi tersebut.

Kami sedang memikirkan untuk buat bisnes atau apa-apa kerja lain bersama lepas ini," luah Hattan pula.

Tidak hanya memfokuskan bidang nyanyian semata-mata, Hattan juga mengorak langkah apabila membuka restoran di Kuantan, Pahang awal bulan lalu.

Restoran yang berkonsepkan moden dan bercirikan gaya Bali itu dikongsi bersama sepupu rapatnya menyajikan makanan tradisional Melayu.

Namun bencana banjir yang melanda Pantai Timur itu telah menenggelamkan restoran miliknya itu dan menanggung kerugian ribuan ringgit.

Kalau ikut perancangan memang saya buka restoran awal Disember lalu. Bila banjir, teruk juga lokasi restoran tersebut tenggelam dan merosakkan harta benda.

Cuma saya sedikit beruntung memandangkan restoran masih belum beroperasi. Yang rosak hanyalah barang-barang kecil termasuk beberapa pondok tempat makan di luar restoran," jelasnya.

Buat masa ini, pihaknya masih menunggu masa yang sesuai memandangkan ada ura-ura mengatakan lokasi tersebut bakal dilanda gelombang banjir kali kedua.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharu pula, Hattan bakal terlibat sempena konsert Ambang 2014 Putrajaya 31 Disember depan.

Konsert yang diadakan di Dataran Putrajaya bertujuan menyambut tahun baru dan bakal diserikan oleh penyanyi popular tanah air.

Selain Hattan, turut terlibat Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Ella, Sweet Charity, Hujan, Soo Wincci, Rabbit Mac & Mista G, The Singing Shop dan Malaysia Drum Symphony.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved