Ahad, 22 Disember 2013

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Santa Fe lambang kekuatan

Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Reka bentuk Santa Fe menampilkan imej Hyundai sebelum ini iaitu menggabungkan gril enam segi (heksagon) dengan bahagian hadapan yang sporty.

SECARA umumnya, memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz besar, memerlukan pemandu memahami perwatakan SUV. Lazimnya SUV tidak sama reaksi dengan kereta sedan.

Lebih-lebih lagi SUV menggunakan enjin diesel. Ada rasa berat, perlu bersabar menanti daya kilas dan kena faham saiz besar. Semua itu berlegar di kepala semasa mula-mula memasuki Hyundai Santa Fe. Pengalaman memiliki trak pikap dan SUV memberi pengajaran.

Selepas keluar ke jalan besar, saya mula memecut dan serentak itu dapat dirasai SUV ini memberi respons yang begitu bagus. Tiada susah-payah. Tiada perlu memaksa menekan pedal minyak. Malah, respons enjin 2.2 liter Santa Fe ini bagaikan serupa dengan sebuah kereta.

Santa Fe menawarkan dua pilihan enjin iaitu R2.2E-VGT versi diesel dan Theta ll 2.4 MPI versi petrol.

Enjin diesel R2.2VGT mempunyai 197 kuasa kuda (hp) pada 3,800 rpm sehingga 436Nm kilasan tenaga pada 1,800 hingga 2,500 rpm, manakala Theta ll 2.4 MPI menghasilkan 176 kuasa kuda pada 6,000 rpm sehingga 226Nm kilasan tenaga pada 3,750 rpm.

Semua enjin Santa Fe dipasang transmisi enam kelajuan automatik bersama SHIFTRONIC - kawalan manual. Santa Fe ini dianggap SUV bersaiz besar kerana ia menawarkan tujuh tempat duduk.

Reka bentuk Santa Fe menampilkan imej Hyundai sebelum ini iaitu menggabungkan gril enam segi (heksagon); bahagian hadapan 'sporty'; bumbung panorama yang luas; lampu tinggi HID dan LED di spoiler belakang dengan lampu henti berbingkai tinggi - yang seterusnya memberikan imej SUV yang maskulin.

Model terbaru ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti ESP (Electronic Stability Programme), VSM (Vehicle Stability Management), HAC (Hillstart Assist Control), TCS (Traction Control System), DBC (Downhill Brake Control) and BAS (Brake Assist System). Ciri lain yang menyeronokkan pemiliknya ialah Smart Key & Engine Start/Stop button, Cruise Control, Rain Sensors, dua pendingin udara automatik sepenuhnya dan sistem Electronic Parking Brake.

Satu ciri unik Santa Fe ialah perakam video Pemanduan Selamat iaitu alat kamera yang diletak di hadapan cermin depan untuk merakam perjalanan. Andai berlaku kemalangan atau rompakan, rakaman video ini boleh membantu. Kamera ini menggunakan kad memori dan data filemnya boleh dimuat naik ke komputer.

Satu lagi ciri ialah Flex Steer, yang mengawal berat dan rasa kemudi roda (steering wheel) yang didatangkan dalam tiga mod iaitu Comfort, Normal and Sport.

Pembeli Santa Fe juga akan menerima Kad Pemimpin (The Leader Card) yang memberikan mereka akses kepada perkhidmatan premium dan gaya hidup.

Ini merangkumi kadar istimewa di hotel dan restoran terpilih, perkhidmatan 5 bintang dari pusat 3S Hyundai dan juga pusat pakar penjagaan kesihatan. Pakej ini lazimnya ditawarkan pada kenderaan sangat mewah dan bukan pada paras harga ditawarkan oleh Santa Fe.

Untuk setiap enjin, HSDM menawarkan 2 jenis varian iaitu spesifikasi rendah Elegance dan spesifikasi tinggi Executive Plus. Harga 2013 Hyundai Santa Fe bermula daripada RM163,888 sehingga RM189,888.

Volkswagen Kombi tinggal sejarah

Posted: 22 Dec 2013 04:38 AM PST

Susunan ZUHAYATI YAZID

Peminat kereta Volkswagen berkumpul dengan kereta masing-masing ketika Festival Volkswagen diadakan berhampiran bandar Leeds, baru-baru ini. - AGENSI

SEPANJANG tempoh 63 tahun lalu, kenderaan Volkswagen jenis Kombi bebas bergerak di jalan untuk membawa keluarga, selain digunakan sebagai pengangkutan untuk menghantar barangan.

Riwayat kereta Volkswagen jenis Kombi kini bagaimanapun telah sampai ke penghujungnya.

Pengeluaran kenderaan ikonik ini terpaksa ditamatkan ekoran halangan undang-undang persekitaran.

Pengeluaran Kombi di negara asalnya Jerman dihentikan pada 1979 kerana kenderaan tersebut tidak memenuhi keperluan keselamatan di Eropah.

Brazil adalah satu-satunya negara yang masih mengeluarkan model istimewa ini yang diperkenalkan di Jerman pada 1950.

Mulai 20 Disember ini, pengeluaran Kombi akan dihentikan sama sekali ekoran peraturan baharu keselamatan berkuat kuasa tahun depan yang menetapkan setiap kenderaan mesti mempunyai beg udara dan kunci keselamatan.

Sebagai tanda selamat jalan, Volkswagen menawarkan versi akhir jenis Kombi secara terhad kepada pembeli dan juga pengumpul kenderaan.

Sebanyak 1,200 buah model terakhir Kombi bakal dikeluarkan yang akan dijual pada harga anggaran AS$43,000 (RM136,000) seunit.

Minggu lalu, peminat yang bersedih dengan penamatan pengeluaran kereta Volkswagen Kombi mengunjungi pameran di Sao Bernado do Campo, Brazil untuk memberi penghormatan terakhir kepada kenderaan unik tersebut.

Secara keseluruhan lebih 10 juta kenderaan itu dihasilkan di seluruh dunia dengan 1.5 juta daripadanya dihasilkan di Brazil sejak 1957.

Selain Kombi, Volkswagen (VW) Type 2 juga akan ditawarkan buat kali terakhir kepada pengguna.

Sejak dahulu lagi, pengguna menggelarkan Type 2 dengan pelbagai nama termasuklah van mini, van mikro, van hipi dan juga bas.

Di Britain dan Amerika Syarikat (AS) pada 1960-an dan 1970-an, sebahagian kenderaan ini dijual pada harga murah kerana dikaitkan dengan budaya orang muda.

Sehingga kini, Kombi masih diminati ramai dan buktinya setiap tahun Festival Volkswagen diadakan berhampiran bandar Leeds bagi mengumpulkan peminat kenderaan ikonik tersebut.

Ia turut menjadi pilihan aktor Martin Clunes, yang memiliki dua buah kenderaan tersebut yang dikeluarkan pada 1977.

Di Brazil, penggunaan Kombi hanya terhad sebagai kenderaan perkhidmatan pos dan juga digunakan oleh tentera sebagai pengangkutan.

Penduduk Brazil juga kreatif dengan cara tersendiri apabila menukarkan ruang dalam van kepada tempat makan untuk pekerja menikmati hidangan tengah hari.- AGENSI

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved