Isnin, 21 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Petani digalak sertai ladang kontrak

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Ahmad Ishak (dua dari kanan) melawat ladang cili fertigasi di Ladang Kontrak Bagi Komoditi Cili Kulai di Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Paya Terendam, Sik, Kedah, semalam.

SIK 20 April - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan golongan petani menyertai program ladang kontrak yang turut menyediakan kemudahan memasarkan tanaman mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, program tersebut perlu disertai kerana ia mampu mengurangkan risiko pengusaha terbabit terutama berkaitan usaha memasarkan produk-produk mereka di pasaran.

"Melalui program ini, pasaran jualan petani lebih terjamin di samping ia dapat mempertingkatkan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran melalui perancangan pengeluaran dan pemasaran bersistematik," katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerjanya di Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Paya Terendam, dekat sini hari ini.

Dalam majlis yang sama juga, Ahmad turut melawat ladang cili fertigasi yang dihasilkan melalui program ladang kontrak di Kampung Paya Terendam.

Selain itu kata beliau, program ladang kontrak ini juga boleh memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan mapan serta menepati kehendak pasaran melalui Amalan Pertanian Baik.

Beliau turut menggesa agar petani dan peladang mengeluarkan produk yang memenuhi permintaan dan bukannya produk yang mereka minat.

"Petani perlu merancang pengeluaran hasilnya dengan pembeli untuk mengurangkan risiko apabila berhadapan dengan masalah pasaran," kata Ahmad.

Ladang cili fertigasi itu diusahakan oleh empat sahabat yang berkelulusan ijazah dan sarjana dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masing-masing berusia 51 tahun iaitu Mohd. Sahil Zabidi, Syed Azri Syed Azizi, Mohamad Suharni Mohd. Sohod dan Abdul Mawazir Ridzwan.

Mohd. Sahil berkata, program ladang kontrak ini memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka sehingga melebihi RM3,000 sebulan berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini cili dan hasil tanaman lain seperti labu dijual sendiri kepada pemborong-pemborong dan di sekitar pasar tani yang berhampiran dan hasil pendapatannya juga berkurangan.

"Tetapi kini kami boleh menghasilkan produk dengan lebih terancang dengan memastikan pengeluarannya memenuhi permintaan dan lebih sistematik," kata Mohd. Sahil yang menghasilkan penanaman cili jenis Cili Kulai 568 seluas tiga hektar bersama rakan-rakannya.

Perlis Sunshine dijangka capai keluaran 1,200 tan metrik

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

PADANG BESAR 20 April - Satu lagi produk mangga terkenal dari negeri ini, Perlis Sunshine yang menembusi pasaran Singapura dijangka mencapai hasil keluaran 1,200 tan metrik dengan anggaran nilai RM2.4 juta pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Ahmad Bakri Ali berkata, pihaknya yakin hasil Perlis Sunshine akan meningkat apabila lebih ramai peladang terlibat dalam Ladang Kontrak anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Penyertaan ini membolehkan peladang yang mengusahakan Perlis Sunshine menghasilkan buah lebih berkualiti serta menepati kehendak pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kontrak Jual Beli Mangga Perlis Sunshine antara FAMA dan Pengusaha Projek Ladang Kontrak Peringkat Negeri Perlis di Kebun Abdul Rahman Lebai Ayob di Kampung Baru Panggas, Chuping, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Asmaiza Ahmad.

Sebanyak 31 peladang terlibat dalam MoU ini membabitkan projek tanaman Perlis Sunshine di kawasan seluas 27.11 hektar.

Sementara itu, Ahmad Bakri berkata, pengurusan ladang yang rapi sebenarnya amat penting bagi mengeluarkan mangga antaranya proses membalut buah yang mengikut jadual.

Katanya, harga jualan Perlis Sunshine di ladang ialah RM2.30 sekilogram bagi yang menggunakan pembalut inovasi dan RM1.70 untuk buah yang tidak dibalut.

Bapa Exco Perak meninggal dunia

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

IPOH 20 April - Bapa kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria meninggal dunia di Appolo Medical Centre di Taiping dekat petang tadi.

Muhammad Amin berkata, bapanya, Zakaria Mat Zain, 77, meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang akibat serangan jantung.

"Meskipun telah berusia, ayah seorang yang aktif dan tidak pernah mengalami sebarang penyakit kronik. Dia cuma mengalami sakit tua dan mengambil ubat yang diberi doktor.

"Pagi semalam pun dia dalam keadaan baik. Tengah hari tadi saya juga sempat menemuinya dan makan bersama," katanya di sini hari ini.

Menurut Muhammad Amin, kehilangannya arwah cukup dirasa bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga tetapi masyarakat kampung.

"Arwah juga salah seorang individu yang turut serta ketika Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz kemerdekaan di Dataran Merdeka dan ketika itu berusia 18 tahun," katanya.

Tambah Muhammad Amin, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 14, Batu Kurau kira-kira pukul 11 pagi esok.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak termasuk Muhammad Amin yang merupakan anak sulung.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved