Isnin, 21 April 2014

Utusan Online - Luar Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Kapten seperti membunuh

Posted: 21 Apr 2014 11:29 AM PDT

Sebahagian daripada ahli keluarga penumpang feri yang masih hilang, dihalang anggota polis ketika mereka cuba berarak ke kediaman Presiden, Park Geun-hye bagi membantah pengendalian operasi mencari dan menyelamat di Jindo, Korea Selatan, kelmarin. - AGENSI

SEOUL 21 April - Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye mendakwa kecuaian kapten dan anak kapal feri Sewol yang karam di kawasan perairan selatan negara ini tidak dapat diterima dan tindakan mereka sama seperti membunuh.

Kenyataan itu dibuat beliau berikutan penahanan empat lagi anak kapal feri yang membawa 476 penumpang tersebut yang karam dan tenggelam Rabu lalu.

"Tindakan kapten serta beberapa anak kapal sama sekali tidak boleh diterima dan sama seperti membunuh.

"Seluruh rakyat Korea Selatan berasa terkejut dan marah ekoran kecuaian yang berlaku," tegas beliau dalam satu mesyuarat bersama pasukan keselamatan hari ini.

Feri Sewol karam di perairan sedalam 27 meter ketika dalam perjalanan dari Incheon ke Pulau Jeju.

Kapten feri, Lee Joon-seok dan dua anak kapal yang bertanggungjawab telah ditahan kelmarin bagi membantu siasatan punca kemalangan itu.

Sehingga kini, angka korban meningkat kepada 87 orang hari ini, manakala 220 penumpang lain masih hilang.

Dalam perkembangan baharu, Pengawal Pantai Korea Selatan mengeluarkan transkrip perbualan antara pusat pengawal kapal dan feri sebelum tragedi itu berlaku.

Menurut transkrip tersebut, pusat itu memberitahu Jeon-seok untuk memutuskan langkah terbaik bagi mengeluarkan penumpang serta mengingatkannya sama ada penumpang perlu diselamatkan atau tidak.

Namun, Joon-seok dipercayai tidak berada di dek ketika feri tersebut membuat pusingan.

Transkrip itu juga menunjukkan anak kapal feri itu berasa bimbang tentang jumlah bot penyelamat yang tidak mencukupi, manakala saksi memberitahu, kapten dan beberapa anak kapal menyelamatkan diri menggunakan bot sekali gus meninggalkan penumpang lain.

Menurut agensi berita Yonhap, pasukan menyelamat hari ini cuba memasuki bahagian dewan makan feri tersebut dalam usaha mencari mangsa yang hilang.

Ini berikutan kebanyakan penumpang dipercayai berkumpul di dewan terbabit selain ruang istirehat serta ruang beli-belah ketika kejadian itu berlaku. - REUTERS/AGENSI

Hamdeen cabar Abdel Fattah

Posted: 21 Apr 2014 11:29 AM PDT

Gambar fail tanpa tarikh, menunjukkan para penyokong memegang poster calon kegemaran masing-masing iaitu Abdel Fattah al-sisi (kiri) dan Hamdeen Sabbahi (kanan) di Kaherah, Mesir. - AFP

KAHERAH 21 April - Pilihan raya Presiden Mesir bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu apabila bekas ketua tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi dijadual merebut jawatan tersebut dengan pencabarnya, Hamdeen Sabbahi, seorang pemimpin berhaluan kiri.

Abdel Fattah al-Sisi merupakan calon popular untuk memenangi pilihan raya itu selepas popularitinya melonjak selepas menggulingkan Mursi, Presiden pertama negara ini yang dipilih oleh rakyat dan merupakan orang awam.

Hamdeen pula yang mendapat tempat ketiga semasa pilihan raya Presiden 2012, dilihat penyokongnya sebagai satu-satunya pemimpin yang mewakili aspirasi bagi mereka yang terlibat dalam kebangkitan rakyat menentang Hosni Mubarak pada 2011.

Pencalonan Hamdeen dilihat memberi harapan kepada rakyat Mesir untuk mengatasi kebimbangan bahawa Abdel Fattah akan mengembalikan zaman pemerintahan Mubarak.

"Kita sedang berhadapan dengan satu situasi jelas iaitu terdapat seorang calon yang dapat membawa kita ke masa depan dan satu lagi akan membawa kita ke zaman lampau," kata jurucakap Hamdeen, Amr Badr merujuk kepada pemerintahan tentera Mesir.

Ikhwanul Muslimin yang diwakili Mursi pada pilihan raya sebelum ini tidak mengumumkan sebarang calon selepas pergerakan itu disenarai hitam kerajaan sebagai pertubuhan pengganas, malah turut memulaukan pilihan raya tersebut.

Menurut pertubuhan Amnesty International, lebih 1,400 orang terbunuh dalam tindakan kekerasan pihak berkuasa yang menjadikan penyokong Mursi sebagai sasaran, manakala lebih 15,000 lagi dipenjara. - AFP

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved