Isnin, 21 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pusat aktiviti untuk belia kota

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) melakukan simbolik perasmian Karnival Mesra Belia 1Malaysia Kawasan Wangsa Maju 2014 di PPR Wangsa Sari, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR 20 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membina sebuah tapak khas bagi aktiviti belia berdekatan pusat beli-belah KL Festival City di Setapak di sini yang dijangka siap pada tahun depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pembinaan tapak seluas 1.21 hektar itu amat penting bagi membendung belia daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah.

"Apabila belia tidak mempunyai tempat untuk bersantai dan mengadakan aktiviti yang sihat, berkemungkinan mereka akan dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab supaya terlibat dengan gejala negatif.

"Pembinaan pusat itu telah dimulakan sejak dua bulan lalu oleh DBKL dan ia akan menyediakan pelbagai kemudahan seperti padang dan trek untuk rekreasi serta dewan pelbagai guna," katanya selepas merasmikan Karnival Mesra Belia 1Malaysia Kawasan Wangsa Maju 2014 di Padang Awam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sadon Suraji; Pengerusi Majlis Belia Kawasan Wangsa Maju, Tee Kum Seng dan Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Muhammad Ghazali Nor.

Sementara itu, Tengku Adnan memberitahu, karnival yang diadakan hari ini merupakan titik permulaan bagi warga kota medekati belia dan mengamalkan konsep wasatiyyah yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Inilah perkara yang kita diamalkan selama ini dan kerajaan memang ada menyediakan peruntukan bagi program-program seumpama ini supaya belia memahami konsep kesederhanaan.

"Saya berpuas hati dengan penganjuran karnival ini kerana melibatkan belia daripada pelbagai kaum dan agama sekali gus mengukuhkan lagi kesepakatan antara mereka yang bakal menerajui negara pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Tengku Adnan turut menyampaikan tawaran unit baharu PPR tersebut kepada seorang penduduk, Ismail Mohamad, 38, selepas rumahnya musnah dalam kebakaran pada 16 April lalu.

Syabas, MPKj bekerjasama

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

HULU LANGAT 20 April - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam menguruskan kerja-kerja membuka dan menutup kira-kira 125 injap paip bagi pelaksanaan pelan catuan bekalan air di kawasan ini.

Ketua Wilayah Syabas Hulu Langat, Abdul Halim Ishak berkata, langkah itu dapat meringankan beban pihak Syabas dalam menguruskan catuan berkenaan di kawasan terlibat.

"Kami mungkin menghadapi situasi kekurangan kakitangan untuk pergi ke lokasi berkenaan jika tidak mendapat kerjasama daripada pihak MPKj kerana catuan ini melibatkan banyak kawasan.

"Di wilayah ini sahaja terdapat 125 injap paip melibatkan 120,000 buah rumah dan pastinya keadaan tersebut memerlukan banyak tenaga pekerja bagi menjalankan tugas pengurusan injap berkenaan," katanya ketika melawat salah satu tangki air Syabas dan menunjukkan cara injap ditutup di Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini baru-baru ini.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi taklimat kepada 80 petugas terdiri daripada kakitangan Syabas dan MPKj berhubung jadual catuan air.

Sementara itu, Abdul Halim memberitahu, setiap injap memerlukan lebih kurang 40 kali pusingan untuk dibuka atau ditutup yang menyebabkan pekerja harus sentiasa bersedia dari segi fizikal.

"Berikutan itu, setiap injap akan diuruskan oleh empat hingga lima petugas. Daripada 14 pasukan yang ditubuhkan, setiap kumpulan akan terlibat dengan lima atau sembilan injap," katanya.

Katanya, ada kejadian melibatkan penduduk yang cuba menghalang petugas daripada melakukan kerja tersebut dengan meletakkan kereta mereka berdekatan injap.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Tadbir Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Mohd. Alizam Ali memberitahu, pihaknya sentiasa sedia membantu dalam meringankan beban Syabas untuk menguruskan catuan air.

"Kami juga menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai isu air dan segala maklumat telah disalurkan terus kepada Syabas walaupun kami bukanlah pihak yang sepatutnya menangani perkara tersebut.

"MPKj akan sentiasa membantu dari segi kekuatan kakitangan dan setakat ini, lebih 30 anggota serta sembilan kenderaan dihantar untuk membantu Syabas melaksanakan operasi membuka dan menutup injap," katanya.

PM lancar pembangunan semula Razak Mansion hari ini

Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 April - Sejarah bakal tercipta buat penghuni Perumahan Awam Razak Mansion di sini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Upacara Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Pengesahan Unit Rumah 1Razak Mansion hari ini.

Lebih manis, pembinaan Razak Mansion yang dimulakan pada 1963 itu dirasmikan sepenuhnya pada 1968 oleh bapa Najib yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Bermula bulan ini, kerja-kerja menaik taraf Razak Mansion yang juga dikenali sebagai Perumahan Awam Razak bagi projek pembangunan semula akan dilaksanakan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah merasmikan Majlis Cabutan Undi Bagi Unit Baharu Perumahan 1Razak Mansion bersama penduduk baru-baru ini.

Projek pembangunan semula yang menelan kos sebanyak RM150 juta itu memperkenalkan konsep penggantian unit kediaman one to one kepada penduduk dan akan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pemaju dilantik oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri.

Terdapat 685 unit sedia ada yang mempunyai satu bilik tidur dan dua bilik tidur, masing-masing berkeluasan 399 kaki persegi dan 504 kaki persegi dengan gantian unit rumah baharu yang memiliki tiga bilik tidur dan dua bilik air berkeluasan 800 kaki persegi.

Penggantian unit rumah adalah berdasarkan kepada dua kumpulan iaitu 557 pemilik yang mempunyai Perjanjian Jual Beli dengan DBKL dan 101 unit yang disewa dengan pihak berkuasa tempatan itu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke Razak Mansion yang terletak di Salak Selatan dekat sini, hari ini mendapati, khemah untuk para tetamu telah siap didirikan selain petugas giat menjalankan kerja-kerja persiapan terakhir bagi majlis tersebut.

Pada masa sama, rata-rata penghuni rumah pangsa kedua yang dibangunkan oleh kerajaan itu menyambut baik dan tidak sabar menanti kedatangan Perdana Menteri untuk merasmikan upacara pecah tanah berkenaan.

Seorang penduduk, Ainee Mat, 65, yang merupakan penduduk generasi terawal di kawasan itu mengakui gembira dengan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membangunkan semula rumah pangsa terbabit.

"Rumah yang saya duduki sekarang agak sempit dengan kemudahan dua buah bilik berbanding rumah baharu nanti yang mempunyai tiga bilik yang lebih selesa apabila siap kelak.

"Selain itu, saya juga berharap kerajaan akan mewujudkan kemudahan Klinik 1Malaysia di sini memandangkan kebanyakan penduduk merupakan warga emas," katanya.

Anaknya, Jamaliah Latib, 28, pula berkata, dia bersyukur kerana kerajaan menaik taraf kediaman mereka sambil menyifatkan kebajikan penduduk tetap diutamakan.

"Saya berharap projek ini berjalan lancar dan sudah tentu kami tidak sabar untuk berpindah ke kediaman baharu yang lebih moden dan selesa," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved