Khamis, 27 Jun 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Anggota pengganas Sikh diusir dari Malaysia

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Satpal Singh

KUALA LUMPUR 27 Jun - Seorang lelaki warga India yang dipercayai pengganas Sikh dari kumpulan Babbar Khalsa International (BKI), iaitu kumpulan militan yang terlibat dalam beberapa siri pengeboman di India berjaya diberkas di negara ini baru-baru ini.

Suspek yang diberkas di sebuah lokasi di Cheras kemudian diusir ke negara asalnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2 pagi ini.

Siasatan mendapati suspek, Satpal Singh Raghvir Singh, 41, berperanan membantu menyediakan dokumen palsu kepada beberapa ahli kumpulan itu untuk melarikan diri ke negara lain selepas terlibat dalam beberapa siri pengeboman di negaranya.

Pengarah Jabatan Petugas Khas (Operasi dan Anti Pengganas), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek ditahan dalam satu operasi di Cheras di sini baru-baru ini kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Katanya, suspek berjaya dikesan setelah pihaknya memperoleh maklumat hasil soal siasat terhadap ahli militan BKI yang ditangkap di sekitar ibu negara dan Selangor sebelum ini.

"Ahli kumpulan itu termasuk Satpal Singh memasuki Malaysia sejak 2006 bertujuan menjadikan negara ini sebagai pusat transit, mendapatkan dokumen palsu dan membuat perancangan awal operasi keganasan sebelum memasuki negara ketiga bagi melancarkan serangan keganasan.

"Satpal Singh dipercayai turut berperanan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada beberapa lagi anggota kumpulan BKI yang masih bersembunyi di negara ini," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, tangkapan pertama terhadap ahli kumpulan militan terbabit ialah pada 4 Ogos 2011 melibatkan tiga anggota BKI iaitu Daljit Singh Ajaib Singh Khalsa, Amarjit Singh Jasvir Singh dan Kawal Singh Soundh.

"Ketiga-tiga mereka kemudian diusir ke India pada 16 Ogos 2011. Sementara itu, pada 13 Mei 2013 seorang lagi anggota BKI turut ditangkap dan diusir iaitu Daljeet Singh Tarsem Singh. Kesemua mereka kini menunggu perbicaraan di India," ujarnya.

Mohamad Fuzi berkata, kejayaan ini adalah hasil perkongsian risikan antara pihak polis dengan agensi Penguat kuasa India.

Benjy bertindak agresif kasari jurugambar selepas direman kes dadah

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy bertindak agresif selepas direman di Mahkamah Majistret Ampang kerana kes dadah di Pandah Indah, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Jun - Pelakon era 90-an, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy bertindak agresif mengasari seorang jurugambar ketika mengelak gambarnya dirakam dalam keadaan bergari di Mahkamah Majistret Ampang di sini pagi ini.

Benjy, 35, bertindak demikian ketika dibawa anggota polis di bangunan mahkamah itu untuk mendapatkan perintah tahanan reman selepas dia ditahan semalam berkaitan satu kes dadah.

Pelakon itu mulanya dilihat cuba menutup wajah dan menghalang beberapa jurugambar daripada merakam gambarnya ketika keluar dari bilik mahkamah sebelum tiba-tiba bertukar agresif.

Anak kepada dramatis veteran Azean Irdawaty Yusoef itu kemudian menumbuk kepala seorang jurugambar sebuah syarikat akhbar dan turut menepis beberapa kamera jurugambar lain.

Benjy yang popular menerusi drama Kerana Cintaku Saerah sebelum itu telah dikenakan tahanan reman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 akta sama.

Peguamnya, P G Cyril ketika ditemui berkata, pegawai penyiasat polis meminta Benjy direman kerana mereka memerlukan masa untuk menjalankan siasatan.

"Benjy bersama tiga lelaki dan dua wanita telah ditahan dalam rumah salah seorang rakannya itu. Kami difahamkan dia ditahan kerana berkaitan kes mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 tetapi daripada apa yang dimaklumkan sendiri oleh Benjy, dia ke situ adalah untuk menguruskan satu dokumen pinjaman.

"Dokumen terbabit juga telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan," katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Farhan Read sebagai peguam kepada enam yang ditahan.

Beliau berkata, polis memberitahu telah menjumpai 4.7 gram dadah dalam sebuah bilik, bagaimanapun tiada sebarang dadah ditemui pada badan Benjy dan rakan-rakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman keenam-enam mereka.

Akhbar hari ini melaporkan pelakon itu sekali lagi ditahan atas kesalahan menyalahgunakan dadah dalam serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa pada pukul 11.30 pagi.

Difahamkan, dia ditahan selepas ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis syabu.

Pada Mac 2010, Benjy telah didakwa atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut tetapi awal tahun lalu, mahkamah mendapati pelakon itu tidak bersalah dan dibebaskan tanpa syarat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved