Selasa, 11 Oktober 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Sarawanan beri lima fakta bercanggah

Posted:

Sarawanan beri lima fakta bercanggah

Sarawanan beri lima fakta bercanggah

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my


N. Pathmanabhan dan suspek lain diiringi polis di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 11 Okt. - Selepas mencabar kebolehpercayaan pekerja ladang, U. Suresh, pihak pendakwaan hari ini mengambil tindakan sama terhadap rakannya, K. Sarawanan selepas saksi itu memberi keterangan yang bercanggah dengan kenyataan diberikan kepada pihak polis pada Oktober tahun lalu.

Pihak pendakwaan memulakan prosiding itu sebaik sahaja Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir membenarkan permohonan tersebut selepas berpuas hati bahawa lima daripada tujuh percanggahan yang dikemukakan adalah material bagi kes tersebut.

Sarawanan, saksi pendakwaan ke-59 semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff mengaku memberikan kenyataan kepada pihak polis di Penjara Sungai Udang, Melaka pada 26 Oktober 2010.

Bagaimanapun, semasa ditunjukkan kenyataan yang dirakamkan daripadanya di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah itu, dia menafikannya meskipun mengakui terdapat tandatangannya pada dokumen tersebut.

Sarawanan, 19, turut mengatakan tandatangan pada muka surat sembilan dan 12 pada kenyataan setebal 16 muka surat itu bukan tandatangannya.

Berikutan itu, Hakim Akhtar mengarahkan bicara dalam perbicaraan (TWT) dijalankan bagi membuktikan bahawa Sarawanan yang memberi kenyataan tersebut sebelum prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu diteruskan.

Terdahulu, hakim tersebut turut memutuskan bahawa pihak pendakwaan boleh menyoal balas Sarawanan berhubung perkara atau fakta yang telah dibuktikan sahaja.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar isi kandungan kenyataan Sarawanan kepada pihak polis sebelum ini tidak boleh dicadangkan oleh pihak pendakwaan kerana saksi itu tidak mengakui ia diberikan olehnya.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai berhujah tentang skop soalan yang boleh dikemukakan kepada Sarawanan semasa dia disoal balas.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Sarawanan, mekanik motosikal dan saksi pendakwaan ke-29 sebelum ini dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting selepas mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan mayat keempat-empat mangsa.

Hukuman itu bagaimanapun ditambah kepada 20 tahun selepas ia disemak semula oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Suresh pada 10 Ogos lalu turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi keterangan palsu melibatkan 22 fakta yang bercanggah dalam perbicaraan kes tersebut.

Pada prosiding TWT itu, Pegawai Penyiasat Kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Asisten Supritendan (ASP) Wan Aeidil Wan Abdullah, 32, mengesahkan beliau merakamkan kenyataan Sarawanan antara pukul 3 hingga 6.30 petang, 26 Oktober 2010.

Katanya, rakaman itu dibuat dengan bantuan Koperal K. Singaram sebagai jurubahasa Tamil selain proses itu dirakamkan dengan menggunakan kamera video oleh seorang lagi anggota polis.

Dalam proses tersebut, saksi juga mengakui menggunakan gambar tertuduh-tertuduh tanpa nama, lakaran rajah kasar tempat kejadian dan gambar mangsa-mangsa beserta nama sebagai dokumen rujukan.

"Selepas selesai, saya bawa komputer riba ke bilik cetak untuk mencetak kenyataan itu. Sebelum cetak saya semak dahulu. Selepas cetak saya bacakan semula kepada Sarawanan. Setelah dia setuju saya tandatangan dahulu.

"Sebelum itu, saya ada tanya sama ada dia mahu pinda apa-apa. Tetapi dia bersetuju dan berpuas hati pada ketika itu. Dia turunkan tandatangan selepas penjelasan diberikan kepadanya," katanya.

Semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, Wan Aeidil mengakui memadamkan fail yang mengandungi rakaman percakapan Sarawanan itu selepas ia dicetak pada hari yang sama.

Semasa ditanya mengapa dokumen asal tidak disimpan, katanya, dia mempunyai saksi yang melihat kenyataan itu dirakamkan selain menegaskan bahawa dokumen asal adalah cetakan rakaman percakapan yang ditandatangan oleh kesemua penama yang hadir dan bukan fail di dalam komputer riba.

Perbicaraan yang masuk hari ke-40 bersambung Khamis ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Harga tanah tidak termasuk kadar faedah

Posted:

Harga tanah tidak termasuk kadar faedah

Harga tanah tidak termasuk kadar faedah


OC Phang


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Harga pembelian tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) di Pulau Indah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) seluas 335.8 hektar, berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) bernilai RM1.08 bilion, adalah berasingan daripada kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun.

Perkara itu disahkan oleh bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang dalam beberapa siri soalan oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik, 68, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini

Bagaimanapun, Phang menjelaskan, beliau juga tidak pernah menerima sebarang surat daripada Kementerian Pengangkutan bagi memaklumkan, harga tanah termasuk dalam keseluruhan kadar faedah.

Phang, 65, mengakui beliau pernah memberikan keterangan kepada kementerian tersebut pada 2 September 2009 bahawa harga tanah tidak termasuk kadar faedah.

Sehubungan itu menurut Kian Kheong, keterangan saksi pendakwaan ke-13 itu bahawa kadar faedah tersebut berasingan daripada harga tanah pada hari ini adalah konsisten dengan keterangan yang diberikan pada tarikh berkenaan.

Namun fakta mengenai harga pembelian tanah itu sudah termasuk kadar faedah 7.5 peratus menurut Phang, hanya diketahui oleh beliau pada Januari lalu apabila dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes tersebut.

Sungguhpun begitu Phang sekali lagi menyatakan, beliau tidak pernah menerima sebarang surat daripada Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Kewangan (MOF) mahupun KDSB untuk memaklumkan bahawa harga tanah tersebut RM25 skp termasuk kadar faedah.

Beliau memberikan keterangan sedemikian pada perbicaraan terhadap Liong Sik yang didakwa atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Pihak pendakwaan sebelum ini menyatakan akan membuktikan bahawa kadar yang diperakukan dan dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), adalah RM18 skp dan dinaikkan kepada RM21 skp setelah mengambil kira antaranya bayaran pendahuluan lima peratus, kadar kupon enam peratus dan tiada faedah untuk tahun pertama dan kedua.

Justeru itu pendakwaan akan membuktikan kadar faedah 7.5 peratus sebenarnya tidak diperakukan oleh JPPH dan ia tidak sepatutnya ada kadar nilai tambahan kepada harga tanah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi itu masuk hari ke-21 hari ini.

Perbicaraan bersambung Khamis ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved