Selasa, 11 Oktober 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


'Empower Jeli' tingkat kecemerlangan

Posted:

'Empower Jeli' tingkat kecemerlangan

'Empower Jeli' tingkat kecemerlangan

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


SK Kuala Balah adalah salah sebuah daripada tiga buah sekolah rendah di Jeli yang terlibat dalam program Empower Jeli. - utusan/Asma Hanim


JELI 10 Okt. - Umum mengetahui, visi untuk melihat negara ini maju menjelang 2020 telah diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan diperkasakan dengan perancangan wilayah pembangunan ekonomi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi bermula tahun 2007.

Gagasan wilayah pembangunan ekonomi bagi memastikan kemajuan yang menyeluruh ini bukan sahaja membabitkan pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan sosial dan modal insan yang akan menjadi pemacu atau enjin pembangunan negara.

Misalnya, kepesatan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor tidak hanya ghairah menyaksikan kemasukan pelaburan berbilion ringgit di lapangan ekonomi tetapi dalam masa yang sama pendidikan di peringkat bawah tidak pula dipinggirkan.

Di bawah Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), salah satu program yang dilaksanakan adalah program 'Empower' yang bertujuan memperbaiki pencapaian akademik dan kemahiran masyarakat.

Susulan daripada program itu diharap dapat meningkatkan peluang kerja dan keusahawanan kepada peserta sekali gus meningkatkan lagi pendapatan penduduk luar bandar.

Program yang dimulakan di Bentong, Pahang pada tahun lalu telah memilih daerah Jeli, Kelantan sebagai tapak permulaan untuk negeri ini.

Jeli dipilih setelah melihat potensinya untuk berkembang sebagai pusat ilmu dan ekonomi.

Selain wujudnya dua institusi pengajian tinggi, iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Politeknik Jeli, daerah yang terletak di sempadan bahagian barat negeri ini juga dijangka mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi antara Malaysia dan Thailand dengan beroperasinya Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) yang baharu di Bukit Bunga di sini.

Program 'Empower Jeli' terbahagi kepada dua komponen iaitu kelas tuisyen untuk 700 pelajar yang menduduki peperiksaan daripada beberapa buah sekolah terpilih dan kelas kemahiran yang disertai 500 orang peserta yang diberikan latihan seperti pengurusan kedai, mekap, masakan, jahitan, pendawaian dan lain-lain.

Salah sebuah sekolah yang terlibat adalah SK Kuala Balah, iaitu sebuah sekolah luar bandar terletak di bahagian Selatan daerah Jeli, kira-kira 130 kilometer dari bandar Kota Bharu.

Majoriti daripada 527 murid sekolah itu terdiri daripada anak petani dan penoreh getah.

Menurut Guru Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) sekolah berkenaan, Abdul Malik Kiman, 46, sekolahnya mendapat manfaat yang besar daripada Empower Jeli kerana ia telah melonjakkan kemampuan sekolah membuat persediaan terbaik bagi pelajar menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Abdul Malik berkata, SK Kuala Balah amat bertuah kerana selain mendapat dana menjalankan aktiviti sekolah, mereka juga disokong dengan program yang disediakan sendiri Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), sebagai ejen pelaksana Empower Jeli bagi pihak ECERDC.

Katanya, bermula Februari lalu, PKSM telah menganjurkan kelas bimbingan teknik menjawab soalan, kem motivasi serta kursus peningkatan diri seperti teknik pemetaan minda, membaca dengan pantas, menulis nota dengan kreatif dan mengasah minda supaya celik sains dan nombor untuk 80 calon peperiksaan UPSR sekolah itu.

"Kalau tahun-tahun sebelum ini kami hanya mampu mengadakan dua hingga tiga bengkel menjawab soalan yang dikendalikan guru pakar jemputan tetapi tahun ini pelajar kami berpeluang menghadiri lapan bengkel seumpamanya hasil sokongan ECERDC.

"Bantuan sebegini amat dihargai kerana 80 peratus daripada pelajar SK Kuala Balah berasal daripada keluarga berpendapatan RM500 ke bawah,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Abdul Malik memberitahu, tahun ini pihaknya menyasarkan keputusan 5A untuk 11 orang murid dengan sasaran kelulusan sebanyak 80 peratus.

Katanya, pada tahun lalu, lapan orang murid berjaya memperoleh 5A dengan peratus kelulusan 69.74 peratus membolehkan SK Kuala Balah menduduki senarai lima sekolah rendah teratas daripada 15 buah sekolah kebangsaan di daerah Jeli.

"Pada peperiksaan percubaan UPSR yang berlangsung sebelum hari raya Aidilfitri, enam orang murid berjaya memperolehi 5A dan SK Kuala Balah berjaya menduduki tangga ketiga daripada 15 sekolah kebangsaan di daerah Jeli.

"Kami menyimpan hasrat besar untuk memperoleh keputusan cemerlang daripada UPSR yang baharu sahaja berlalu dan optimistik untuk mendapat tuaian yang baik daripada usaha tulus Empower Jeli di sekolah kami," katanya.

Tambahnya, pihak sekolah amat berharap dipilih menyertai Empower Jeli sekali lagi pada tahun hadapan agar murid dan juga guru terus mendapat faedah daripada pengisian programnya yang komprehensif.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar aktiviti lawatan sambil belajar dapat dimasukkan sebagai sebahagian program kerana kebanyakan murid terdiri daripada golongan miskin dan tidak pernah keluar dari daerah Jeli.

"Lawatan sambil belajar boleh membuka minda mereka kepada dunia luar dan melihat pembangunan negara yang sedang pesat berjalan," katanya lagi.

Salah seorang murid yang ditemui, Anis Nazirah Ismail, 12 , berkata, program Empower Jeli telah meningkatkan keyakinannya untuk memperoleh keputusan 5A dalam UPSR.

Sasaran Anis Nazirah yang merupakan Ketua Pengawas ini bukanlah sesuatu yang tidak berpijak di bumi nyata kerana dia telah mendapat keputusan cemerlang semasa peperiksaan percubaan yang lalu.

Katanya, bengkel-bengkel menjawab soalan peperiksaan yang diadakan setiap bulan amat membantu dia dan rakan-rakan memahami apa yang dikehendaki pemeriksa kertas.

Selain itu, katanya, program motivasi yang disediakan juga telah mengasah lagi minda dan dia berpendapat pengalaman yang diperoleh tidaklah terlalu berbeza daripada pelajar lain yang mendapat lebih banyak kemudahan di bandar besar.

"Saya berdoa agar dapat mengekalkan keputusan cemerlang bukan sahaja dalam UPSR tetapi sehingga dapat masuk ke universiti," kata anak keempat daripada tujuh orang adik beradik ini.

Seorang lagi murid, Ismail Che Mohd Noor, 12, pula berkata, teknik-teknik yang diajar dalam kelas bimbingan Empower Jeli bukan sahaja tertumpu kepada cara menjawab kertas peperiksaan tetapi juga kaedah sesuai mengulangkaji pelajaran.

Anak kepada pasangan penoreh getah dan surirumah ini bercita-cita untuk menjadi seorang pegawai tentera.

"Saya telah memperolehi keputusan 1A 4B pada peperiksaan percubaan UPSR baru-baru ini namun saya tetap menyasarkan 5A bagi keputusan UPSR kelak. Keputusan cemerlang ini membolehkan saya melanjutkan pelajaran peringkat menengah di sekolah agama asrama penuh," katanya.

Bagi Inas Tasnim Roslan, 12, pula, dia bersyukur kerana ditunjukkan teknik baharu mengira dalam program Empower Jeli yang digabungkan dengan cara yang diajar oleh guru Matematik dalam kelas.

"Biasanya saya dapat B sahaja dalam subjek Matematik tapi pada ujian percubaan UPSR yang lalu, saya berjaya memperolehi A dalam semua subjek. Guru luar dalam kelas bimbingan Empower Jeli telah memberikan saya teknik mengira yang saya gunakan ketika peperiksaan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bajet 2012 turut manfaatkan PKS

Posted:

Bajet 2012 turut manfaatkan PKS

Bajet 2012 turut manfaatkan PKS

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 10 Okt. – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan menyifatkan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu, memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan peniaga khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Mohd. Rosli Ismail berkata, antara manfaat yang bakal dinikmati oleh PKS ialah Skim Dana Pembangunan PKS bernilai RM2 bilion yang diuruskan oleh Bank Islam serta dana RM100 juta di bawah skim SME Revitalise Fund untuk memulihkan syarikat PKS yang menghadapi masalah kewangan dengan jumlah pinjaman mencecah RM1 juta melalui SME Bank.

"Selain itu, kerajaan juga menyediakan dana inovasi pengkomersilan produk PKS bernilai RM500 juta, disalurkan melalui bank-bank Islam di mana kerajaan menanggung dua peratus kadar keuntungan pinjaman.

"Dana kecemasan PKS bernilai RM10 juta turut disediakan untuk membantu PKS yang menghadapi bencana membina semula perniagaan serta penambahan dana kredit makro Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) daripada RM150 juta sebelum ini kepada RM300 juta dan peruntukkan sebanyak RM2.1 bilion melalui Amanah Ikhtiar Malaysia untuk pinjaman kredit mikro tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Majlis Program Gerak Gempur Usahawan dan Bengkel Bersama Agensi dan Industri di Politeknik Kota Bharu (PKB), Kok Lanas dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah PKB, Noor Azahan Othman.

Program selama tiga hari yang bermula hari ini menyediakan pelbagai program menarik antaranya gerai jualan, ceramah, 'explorace' dan beberapa aktiviti berkaitan dengan keusahawanan.

Tambahnya, Bajet 2012 jelas membuktikan keprihatinan pihak kerajaan dalam membantu golongan peniaga khususnya PKS di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai Program Gerak Gempur Usahawan dan Bengkel Bersama Agensi dan Industri, Mohd. Rosli memberitahu, pihaknya menyambut baik program sebegini sebagai pendedahan awal kepada golongan muda khususnya penuntut institusi pengajian tinggi untuk menceburi bidang perniagaan atau keusahawanan.

Full content generated by Get Full RSS.

Kayuh basikal bertemu rakyat

Posted:

Kayuh basikal bertemu rakyat

Kayuh basikal bertemu rakyat


YUSOF Awang Hitam (tengah) bersama lebih 60 ahli Kelab Basikal Pemuda UMNO DUN Manir menjelajah 11 buah kampung untuk bertemu rakyat bagi melawat warga emas, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan penghidap pelbagai penyakit di DUN Manir, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 10 Okt. - Menyusuri jalan-jalan kampung dan batas tali air untuk berdamping dengan masyarakat sudah menjadi rutin hujung minggu bagi Yusof Awang Hitam.

Memikul tanggungjawab sebagai Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, beliau kali ini bersama lebih 60 ahli Kelab Basikal Pemuda UMNO DUN Manir menjelajah 11 buah kampung untuk bertemu rakyat.

Menurut Yusof, kayuhan bersama anak muda itu bermula pukul 7.30 pagi bagi melawat warga emas, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan penghidap pelbagai penyakit di DUN berkenaan.

Bermula di Kampung Pulau Bahagia, kayuhan diteruskan ke Padang Macang, Beladau Kolam, Teluk Menara, Tualang, Durian Mas, Pujuk, Padang Sapi, Pulau Manis dan berakhir di Batu Hampar.

"Setiap keluarga menerima sumbangan barang keperluan dapur. Sebelum itu, kami singgah di Pasar Manir untuk bersarapan pagi bersama masyarakat peniaga di situ," katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Manir dekat sini kelmarin.

Tambah Yusof, di samping mahu menyelami kecenderungan orang muda yang semakin meminati budaya berbasikal, tujuan program itu secara tidak langsung mampu menyemai sikap prihatin golongan itu terhadap golongan yang memerlukan perhatian.

Katanya, program bersemuka itu tanpa perbelanjaan yang besar dan cukup berkesan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi, sambil mendengar keluhan golongan itu agar tiada yang rasa terpinggir.

"Secara tidak langsung, kita juga dapat meninjau keadaan kemudahan asas penduduk seperti keadaan rumah, jaringan jalan kampung, bekalan air, tali air serta prasarana sukan untuk golongan muda beriadah," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved