Selasa, 13 Mei 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jaga kesucian masjid

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

Mukhriz Mahathir

JERAI 12 Mei - Bagi menjaga kesucian ibadah dan masjid, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir menegur sikap segelintir ahli jawatankuasa masjid di negeri ini yang masih membenarkan mimbar menjadi medan menabur fitnah setiap kali berlangsungnya khutbah Jumaat.

Meskipun jumlahnya tidak banyak, beliau berkata, tindakan itu dikhuatiri membawa perbalahan dalam kalangan umat Islam selain mendatangkan rasa tidak selesa kepada mereka yang benar-benar hadir ke masjid untuk beribadat.

Katanya, pernah berlaku insiden jemaah bertindak merampas mikrofon ketika khatib memberi khutbah kerana tidak berpuas hati dengan kandungan yang disampaikan.

"Pernah laporan diterima mengatakan antara intipati khutbah itu mengatakan kerajaan harus ditukar kerana bertindak zalim terhadap rakyat. Khatib itu turut mendakwa, contoh kezaliman kerajaan adalah dengan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas rakyat.

"Tentunya dakwaan sebegitu tidak sesuai kerana bagi saya, khutbah seharusnya diisi dengan unsur-unsur yang memupuk perpaduan sesama Islam dan bukannya memecah belah," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Multaqa Imam, Guru Takmir dan Ahli Jawatankuasa Masjid Peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK), Datuk Noh Dahya.

Tambah Mukhriz, ketika ini, dilaporkan tidak sampai 10 masjid yang membenarkan khatibnya bertindak demikian di seluruh negeri ini.

"Ada yang mendakwa, khatib itu bukan imam di masjid berkenaan sebaliknya dijemput dari tempat lain. Walaupun begitu, bagi saya, ahli jawatankuasa masjid tetap perlu berhati-hati dan bertanggungjawab kerana tindakan sedemikian memberi kesan kepada masyarakat," katanya.

Diminta mengulas kunjungan ke Mesir setelah mengerjakan umrah baru-baru ini, katanya, beliau berkesempatan bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia terutamanya dari negeri ini serta pihak pengurusan universiti sekitar Madinah, Kaherah dan Iskandariah.

"Dalam pertemuan dengan pihak pentadbiran universiti, mereka membangkitkan kualiti pelajar di sana. Keputusan para pelajar di tanah air dalam peperiksaan utama tidak dinafikan sememangnya cemerlang.

Namun penguasaan bahasa Arab mereka didapati menurun berbanding 'abang dan kakak' mereka sebelum ini mengakibatkan mereka terpaksa mengikuti kelas tambahan. Mungkin ada perkara yang boleh kita perbaiki di sini," ujarnya.

Pasangan nikah 'ekspres' diminta tampil ke JHEAINK

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

JERAI 12 Mei - Setiap pasangan yang bernikah secara ekspres melalui seorang imam di Kuala Kedah diminta untuk hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK) bagi membolehkan pernikahan mereka itu disahkan sama ada mengikut syarak atau sebaliknya.

Pengarahnya, Datuk Noh Dahya berkata, perkara itu perlu bukan saja bagi membantu siasatan pihak berkuasa, sebaliknya lebih kepada memastikan agar tidak berlaku hubungan zina di antara kedua-dua individu terlibat akibat pernikahan yang tidak sah tarafnya.

Kita tidak mahu sampai ke tahap mempunyai anak, akhirnya baru tersedar bahawa perkahwinan itu tidak sah kerana tidak mengikut syarak. Sudah tentu perkara sebegitu mendatangkan masalah kepada banyak pihak.

Disebabkan itu, kami minta semua yang terlibat hadir mendapatkan nasihat dari JHEAINK. Setakat ini difahamkan sebanyak 68 pasangan bernikah melalui cara ini tetapi hanya dua pasangan yang datang kepada kami," katanya ketika hadir ke penutupan Multaqa Imam, Guru Takmir dan AJK Masjid Peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Agama Yan di sini hari ini.

Baru-baru ini seorang imam didakwa menjadi dalang sindiket nikah poligami ekspres di Kuala Kedah dengan mengenakan bayaran RM3,000 hingga RM5,000 bagi membolehkan pasangan memperoleh sijil nikah palsu dan bernikah tanpa kehadiran wali serta saksi.

Ekoran itu, tugasnya selaku kadi digantung buat sementara waktu, namun dia masih dibenarkan menjalankan tugas-tugas lain selaku imam di kawasan tersebut.

Sementara itu, katanya, pihaknya turut mendapatkan kerjasama daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan sindiket tersebut dapat diatasi sepenuhnya.

"Kami hanya boleh mengambil tindakan ke atas imam, namun untuk membanteras sindiket itu, kami memerlukan kerjasama daripada pihak polis," katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengakui sudah beberapa kali didatangi beberapa individu yang mendakwa berdepan masalah mendaftar kelahiran anak kerana ibu bapa tidak mempunyai sijil nikah.

"Kita percaya pernikahan seperti ini didalangi sindiket tertentu. Disebabkan itu, saya amat berharap agar agensi di bawah kerajaan negeri bertindak agresif menangani masalah ini memandangkan kuasa terletak di tangan mereka dan bukannya di bawah kerajaan Persekutuan," katanya.

PRK Parlimen Teluk Intan: Polis pantau semua kawasan

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

IPOH 12 Mei - Polis akan memberi tumpuan di semua kawasan, sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan bagi memastikan tiada sebarang kekecohan berlaku.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, untuk itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang telah dipertanggungjawabkan bagi memberikan maklumat mengenai perjalanan proses berkenaan kepada media.

Kita akan gembleng usaha untuk pastikan pilihan raya kecil ini berjalan tenteram dan aman.

Kok Liang telah dilantik untuk menyelaras dan memberi maklumat mengenai apa yang berlaku di sepanjang tempoh pilihan raya tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Pengurusan (KJP) negeri di antara pemangku jawatan itu, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abd. Latif dengan Komander Briged Utara Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta, Datuk Azman Yusof.

Sementara itu, Acryl Sani berkata, pelantikan Azman menerajui jabatan pengurusan polis negeri diharap mampu membawa perubahan positif dalam menjadikan jabatan berkenaan lebih mantap pada masa depan.

Jelasnya, tanggungjawab tersebut mesti dilakukan bersungguh-sungguh kerana peranan besarnya sebagai tulang belakang organisasi itu.

Dia (Azman) bukan orang baharu kerana sebelum ini pernah bertugas di bahagian pentadbiran pada 1990-an. Dengan pengalaman dimilikinya, saya yakin dia mampu melaksanakan tanggungjawabnya bagi memastikan pentadbiran berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh dalam melaksanakan segala misi yang ditetapkan Ketua Polis Negeri.

Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pucuk pimpinan negeri dan pihak yang meletakkan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas itu.

"Sebagai permulaan, saya akan menumpukan kepada sistem penyampaian dan prosedur operasi standard (SOP). Mungkin kita akan lakukan beberapa pindaan untuk tambah nilai sistem berkenaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved