Selasa, 13 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


JKKK digesa tingkatkan tahap keselamatan dalam kampung

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

MELAKA 12 Mei - Semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta meningkatkan tahap keselamatan penduduk di kawasan masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku menjelang musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, kebanyakan JKKK kini lebih tertumpu kepada pembangunan dan kemajuan dalam kawasan pentadbiran masing-masing sehingga terlupa kepada peningkatan tahap keselamatan penduduk.

Menjelang musim perayaan tidak lama lagi masyarakat akan menjadi lebih ghairah untuk mengeluarkan wang simpanan yang banyak dan ini memberi ruang dan kesempatan kepada penjenayah.

JKKK perlu mempunyai jentera tersendiri bagi memastikan tahap keselamatan di kampung masing-masing sentiasa terkawal dan kalau boleh menjalin kerjasama dengan agensi keselamatan termasuk pihak polis, rukun tetangga, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Saya menerima banyak rungutan daripada masyarakat di kampung-kampung yang inginkan JKKK menjalankan peranan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan jika JKKK dapat naik taraf bilik gerakan, peranan mereka akan dilihat lebih berfungsi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke tapak pasar tani di Wisma Negeri, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik.

Menurut Hasan, pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi menaiktaraf bilik gerakan JKKK di kampung-kampung bagi menjamin tahap keselamatan penduduk terutamanya menjelang musim perayaan.

Dalam pada itu, kata Hasan, kedudukan setiausaha di Japerun-japerun akan dikaji semula dari segi kadar gaji serta gred perkhidmatan.

Orang ramai diminta beri maklum balas RTD Port Dickson

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

AB. Khalid Mat (kanan) bersama Isa Jaafar (empat dari kanan) serta Kamariah Ibrahim (kiri) melihat draf RTD Port Dickson di Dewan MPPD, Teluk Kemang, Negeri Sembilan, semalam.

TELOK KEMANG 12 Mei - Orang ramai khususnya pemilik tanah di daerah ini diminta memberikan maklum balas berkaitan draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Port Dickson, sebelum 13 Jun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab. Khalid Mat berkata, maklum balas ini perlu agar pembangunan yang dirancang kelak dapat dimasukkan ke dalam peta cadangan guna tanah 2020 terutama berkaitannya dengan tanah berpotensi tinggi.

Ini akan merancakkan pelaksanaan projek serta susun atur perancangan agar dapat menaikkan kemajuan daerah ini mengikut garis panduan tersebut.

Pemilik tanah, pemaju, orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan hendaklah mengemukakan sebarang cadangan, pandangan dan bantahan sebelum 13 Jun ini nanti," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan program publisiti dan penyerahan awam draf RTD Port Dickson, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Projek Zon Selatan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Semenanjung Malaysia, Isa Jaafar serta Pengarah JPBD negeri, Kamariah Ibrahim.

Ab. Khalid berkata, pihaknya menyediakan pelan maklumat serta pegawai bertugas bagi membantu masyarakat mengetahui tentang draf RTD ini.

Mereka boleh melihatnya di dewan MPPD serta di pejabat JPBD, Seremban untuk mengetahui maklumat lanjut dan jika mempunyai bantahan mahupun cadangan hendaklah mengisi borang yang disediakan dan dihantar sebelum tarikh tersebut.

Para pelabur juga digalakkan untuk melihat dan memberi pandangan agar menguntungkan kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu, Kamariah berkata, daerah Port Dickson semakin berkembang maju dan terdapat juga beberapa kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan.

Semua maklum balas ini akan diteliti dan dikaji, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Perancang Negeri untuk pertimbangan dan dimasukkan ke dalam perancangan pembangunan RTD Port Dickson 2020 (Pengubahan 1-2014)," katanya.

Bakal usahawan didedah selok belok perniagaan

Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT

TELOK KEMANG 12 Mei - Individu yang berhasrat menceburi bidang keusahawanan perlu diberikan tunjuk ajar dan latihan agar usaha dilakukan mereka tidak terhenti di pertengahan jalan.

Hal demikian juga perlu supaya mereka yang baru menjinakkan diri dalam bidang ini faham selok belok perniagaan apatah lagi berhadapan saingan industri besar dan tokoh ternama.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang, Mohd. Najib Mohd. Isa berkata, wajar usahawan baharu ini memasuki kelas pembelajaran untuk meningkatkan kefahaman mereka dalam selok belok perniagaan, di samping didedahkan dengan pelbagai peluang yang lebih baik.

Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang menganjurkan program Membara Seminar Usahawan Muda bertujuan mendidik, memupuk serta menyemarakkan semangat orang ramai untuk bergiat aktif dalam aktiviti keusahawanan," katanya.

Mohd. Najib ditemui selepas hadir dalam program Membara Seminar Usahawan Muda di Auditorium Pejabat Daerah Port Dickson, dekat sini yang disertai oleh 120 peserta.

Program dianjurkan bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Agro Bank, SME Bank serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Apabila program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak, peserta dapat memahami aspek seperti lesen perniagaan, kemudahan pinjaman serta bantuan yang disediakan," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved