Rabu, 25 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiga didakwa cuai sebabkan tahanan lolos

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

SEREMBAN 25 Sept. - Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan bersubahat dan cuai sehingga menyebabkan seorang tahanan kes dadah berjaya meloloskan diri dari tahanan polis di kawasan rehat di Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran Nilai dekat sini pada awal bulan ini.

Lans Koperal Nizar Azizi Alwi, Koperal Ismail Jamil dan Konstabel Nashrul Azlan Mohammad masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan kepada mereka di hadapan Majistret Mohamad Izman Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, Nizar Azizi, 30, didakwa bersubahat dengan seorang tahanan polis, B. Kishminderjit Singh, 39, dengan menyerahkan wang RM1,000 kepada tahanan itu untuk diberi kepada Ismail dan Nashrul Azlan sebagai sogokan bagi membolehkan suspek dengan sengaja melarikan diri daripada tahanan polis.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokap Balai Polis Mantin di Nilai dekat sini antara pukul 11 malam, 31 Ogos dan pukul 3 pagi, 1 September lalu.

Nizar Azizi didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ismail, 50, dan Nashrul Azlan, 24, pula didakwa secara bersama dengan cuai menyebabkan Kishminderjit terlepas dari kurungan polis di hadapan tandas kawasan rehat di Plaza Tol Setul, Lekas berhampiran Nilai dekat sini antara pukul 7.50 pagi dan 10.55 pagi pada hari yang sama.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd. Izman kemudian membenarkan Nizar Azizi diikat jamin RM3,000 manakala dua lagi tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM1,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan sebutan kes pada 28 Oktober ini.

Ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Balai Polis Mantin diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie dan Siti Huzaifah Abdul Talib manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammed Zainudin.

Utusan Malaysia pada 3 September lalu melaporkan Kishminderjit yang dalam perjalanan untuk dibawa ke Penjara Simpang Renggam, Johor berjaya meloloskan diri ketika dua anggota polis yang mengiringinya berhenti di hentian rehat berkenaan selepas lelaki itu mengadu sakit perut.

Dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, Kishminderjit yang bergari di belakang menolak anggota polis yang membuka pintu van lalu masuk ke dalam sebuah kereta Proton Satria dan beredar.

Bagaimanapun, suspek yang merupakan tahanan kes dadah berjaya ditangkap semula dua hari kemudian di sebuah rumah di Semenyih, Selangor.

Dua dituduh buat laporan palsu

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

PARIT 25 Sept. - Dua anggota polis dari Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah yang menghadapi tuduhan rasuah minggu lalu, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membuat laporan palsu untuk menyelamatkan seorang lelaki yang disyaki memiliki dan menjual mercun serta rokok seludup, tahun lalu.

Inspektor Mohd. Shahrul Nizam Kaswadi, 29, dan Lans Koperal Mohd. Daniel Chris Iman Raynold, 31, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Jumaat lalu, kedua-dua tertuduh serta seorang lagi rakan mereka, Lans Koperal Mohamad Hijan Ismail, 25, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh dekat sini atas atas tiga tuduhan meminta dan bersetuju menerima rasuah berjumlah RM7,400 daripada lelaki yang sama bagi tujuan serupa.

Dalam prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh yang ditugaskan untuk menyediakan satu laporan polis terhadap Rosnizal Badri Shah, 30, didakwa telah membuat laporan palsu untuk menyelamatkan lelaki itu yang melakukan kesalahan memiliki dan menjual mercun dan rokok seludup.

Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1.12 pagi, 8 Ogos tahun lalu di IPD Perak Tengah, Seri Iskandar dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yang Ah Lay mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Ah Lay mencadangkan kepada mahkamah supaya kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 setiap seorang.

Beliau juga memohon agar pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk tujuan perbicaraan kerana melibatkan saksi dan pengadu yang sama.

Peguam Kulvinder Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh pula memohon anak guamnya hanya dikenakan ikat jamin RM2,000 setiap seorang memandangkan mereka telah berkhidmat antara dua dan 11 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penanggung tunggal keluarga masing-masing.

"Sebaik sahaja didakwa, kedua-dua mereka digantung kerja dan keadaan ini menyebabkan keluarga mereka hilang sumber pendapatan.

"Mereka berdua juga tidak akan melarikan diri. Ini terbukti hari ini apabila kedua-dua mereka yang sedang berada dalam jaminan tetap datang ke sini hari ini untuk menghadapi tuduhan," katanya.

Siti Hafiza kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 berserta seorang penjamin.

Beliau juga memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh dan kes itu akan disebut semula di mahkamah tersebut pada 23 Oktober ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved