Rabu, 25 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Udang putih sumber hasil baharu

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Latipah Omar (kanan) menunjukkan udang putih sambil diperhatikan Silahuddin Jamaluddin (kiri) dan Badrul Hisham Badrudin (dua dari kiri) selepas majlis penuaian hasil pertama ternakan udang putih di kolam ternakan ZIA, Sempang, Merlimau, Melaka, semalam.

JASIN 24 Sept. - Zon Industri Akuakultur (ZIA), Sempang, Merlimau dekat sini bakal menjadi pusat ternakan udang putih atau nama saintifiknya Litopenaeus vannamei yang mampu menjana sumber pendapatan baharu.

Projek ternak udang putih itu diusahakan oleh anak syarikat Perbadanan Bioteknologi Melaka, Melaka Cell Farming Sdn. Bhd. (MCF) dengan kerjasama Atlantis Fish Farms Sdn. Bhd.

Bekas Pengerusi MCF, Datuk Latipah Omar berkata, projek tersebut yang telah diilhamkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan sejak 2010 berjaya membuahkan hasil selepas beberapa kali tergendala.

Menurutnya, sewaktu Allahyarham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, beliau telah membangunkan kawasan seluas 4.8 hektar untuk dijadikan penternakan ikan siakap dan udang putih tetapi berdepan pelbagai masalah.

Beliau berkata, ekoran masalah kewangan projek itu tidak dapat dilaksanakan pada 2010 sehingga Allahyarham meninggal dunia pada Januari 2011 sebelum disambung semula pada 2012 melalui penternakan ikan siakap.

MCF telah diberi kepercayaan untuk mengusahakan ternakan ikan siakap dengan perbelanjaan sebanyak RM400,000 tetapi berikutan pasaran ikan itu yang tidak menentu, di samping harga sering turun naik, mereka telah mengubah kepada penternakan udang putih.

Melalui kepakaran Perbadanan Bioteknologi Melaka dan khidmat Atlantis Fish Farms Sdn. Bhd. penternakan udang putih mencapai matlamatnya," katanya dalam majlis penuaian hasil pertama ternakan udang putih di kolam ternakan ZIA, Sempang, Merlimau di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka, Badrul Hisham Badrudin dan Pengurus Besar Atlantis, Silahuddin Jamaluddin.

Latipah berkata, hasil yang dituai sebanyak 1.4 tan dan dijual kepada sebuah syarikat dari Johor itu adalah sebagai permulaan kawasan itu bakal menjadi pusat ternakan udang putih terbesar di Jasin.

Beliau berkata, pihaknya yakin udang putih berpotensi mengeluarkan hasil berkualiti, selain diperakui konsisten dan sesuai untuk pasaran premium.

Hasil kepakaran Bioteknologi dan Atlantis, penuaian udang mendapat hasil dalam tempoh 60 hingga 70 hari bagi satu kolam berukuran 4,000 meter persegi dan mampu menjana sebanyak RM80,000," katanya.

Sementara itu Silahuddin berkata, sebanyak tujuh kolam akan diusahakan ternakan udang putih berikutan hasil pertama yang diperoleh mencapai 85 peratus.

Penjenayah gagal larikan peti besi

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

TELOK KEMANG 24 Sept. - Sekumpulan penjenayah gagal melarikan sebuah peti besi yang disamun dari sebuah rumah di Taman Tanjung Lukut di sini selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ketika dikejar dan ditembak polis hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.40 pagi apabila lima lelaki menaiki kereta jenis Volkswagen Golf GTI menyamun rumah seorang lelaki di Taman Tanjung Lukut.

Kumpulan itu sempat melarikan sebuah peti besi mengandungi barang kemas serta dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Mazda 6 milik mangsa.

Menurut sumber, ketika melarikan diri sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan lalu mereka diarah supaya berhenti.

Katanya, penjenayah itu melarikan diri menyebabkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai kereta itu yang memecut menghala ke arah pekan Lukut.

"Ketika tiba di pekan Lukut kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian, kereta yang dinaiki suspek telah terbabas ke dalam longkang.

"Bagaimanapun pemandu kereta itu sempat melarikan diri menaiki kereta Toyota Vios dipandu rakannya dan memecut ke arah Seremban," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber itu lagi, beberapa suspek yang menaiki kereta Mazda 6 pula melarikan diri menuju ke arah Telok Kemang.

"Polis telah menemui peti besi yang dilarikan dari rumah mangsa dalam kereta jenis Volkswagen.

"Kita juga menemukan kereta Toyota Vios yang dicuri dan ditinggalkan di Dataran Segar, Lukut kira-kira pukul 12 tengah hari," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu kumpulan penjenayah itu cuba menyamun seorang wanita di Taman Sentosa, Lukut tetapi gagal selepas mangsa menjerit meminta tolong.

"Tidak sampai sejam kemudian suspek cuba menyamun rumah seorang lelaki di Taman Tanjung namun perbuatan mereka itu berjaya dikesan polis.

"Ketika ini usaha memburu kesemua penjenayah terbabit sedang giat dijalankan," katanya.

Jawatankuasa khas tangani masalah pekebun kecil

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

ALOR GAJAH 24 Sept. - Kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan menangani masalah berkaitan pekebun kecil getah dan kelapa sawit sebagai usaha memastikan nasib golongan itu terbela.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, jawatankuasa khas itu akan bertindak segera terhadap apa juga isu yang ditimbulkan golongan pekebun kecil berkaitan urusan ladang mahupun pemasaran.

Menurutnya, bagi melicinkan pengurusan jawatankuasa itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan dilantik menganggotainya kerana terdapat hampir 2,000 pekebun kecil agensi itu di negeri ini.

"Pada dasarnya saya bersetuju menubuhkan jawatankuasa ini supaya isu pekebun kecil dapat ditangani dengan lebih berkesan, selain dilihat mampu memberi nilai tambah dan memperkasakan lagi golongan itu.

"Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Exco dan jika di peringkat negeri bersetuju, jawatankuasa ini akan kita bentuk secepat mungkin," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Projek Tanam Semula Komersial yang dibangunkan RISDA di Bukit Apit di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah RISDA negeri, Alias Japri dan Ketua Pegawai Eksekutif RISDA Plantation Sdn. Bhd. (RPSB), Omar Paimin.

Hasan berkata, usaha yang dimainkan RISDA dalam membantu golongan pekebun kecil di negeri ini harus dipuji kerana agensi kerajaan itu sentiasa membantu dari segi pembekalan anak pokok sehingga kebun milik pekebun kecil itu mengeluarkan hasil.

Beliau turut menyeru kepada sesiapa yang memiliki tanah supaya memajak kepada RISDA untuk diusahakan dan menikmati hasilnya melalui pembayaran dividen daripada dibiarkan sahaja tanah itu tanpa diusahakan.

"Masalah yang dihadapi adalah ada sesetengah pekebun kecil mahu usahakannya secara individu, namun gagal di pertengahan jalan dan dibiarkan sahaja sehingga ditumbuhi hutan dan ini adalah sesuatu yang amat merugikan.

"Kalau tak mampu usahakan, beri pada RISDA dan agensi ini akan pulihkan kembali tanah ini dan diusahakan sama ada dengan getah atau sawit. Selepas keluarkan hasil, pemilik tanah turut mendapat faedah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved