Rabu, 25 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Malaysia perlu graduan produktif

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (lima dari kiri) dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (lima dari kanan) berkenan bergambar bersama para penerima Ijazah Kehormat, Anugerah dan Hadiah Pelajar Cemerlang sempena sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-8 UniMAP di Dewan 2020, Kangar, Perlis, baru-baru ini.

KANGAR 24 Sept. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu setiap graduan gigih menokok kecemerlangan akademik untuk menjadikan mereka graduan produktif, efektif dan berkeyakinan.

Baginda selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah, langkah itu mustahak kerana perjuangan menuntut ilmu pengetahuan bukanlah berakhir di peringkat universiti sahaja.

"Ilmu pengetahuan yang diterima di UniMAP merupakan sebahagian daripada bidang ilmu pengetahuan yang jauh lebih luas," titah baginda pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-8, UniMAP di Dewan 2020 di sini kelmarin.

Seramai 1,894 graduan iaitu 27 peringkat ijazah doktor falsafah, Ijazah Sarjana Sains (46), Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (17), Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (1,292), Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (298) dan Diploma Kejuruteraan (214) menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen kali ini.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP berangkat sama.

Yang turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Baginda bertitah, ilmu kejuruteraan, pengurusan mahupun perniagaan adalah ilmu khusus yang berfokus kepada sesuatu bidang sahaja.

Titah baginda, pelbagai ilmu lain masih perlu dipelajari oleh graduan untuk menjadi seorang insan yang syumul.

"Hormati dan sentiasa berterima kasih kepada ibu bapa dan penjaga kerana mereka telah banyak memerah keringat, bersusah payah memelihara dan membesarkan anda hingga mampu menerima segulung ijazah," titah baginda.

Baginda juga mengingatkan graduan supaya tidak lupa menghormati guru dan pensyarah kerana mereka telah banyak membimbing, mendidik dan mengasah bakat sehingga graduan menjadi seorang yang lebih matang, dewasa dan semakin bijaksana.

Raja Muda Perlis turut mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Dr. Zainul Ariff Hussain di atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dan Datuk Yusuf Jusoh yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan.

"Beta berbangga dengan hasil kerja yang telah mereka buktikan bersama-sama UniMAP dan diharap tidak akan jemu untuk terus mencurahkan khidmat bakti, kepimpinan dan kepakaran dalam bidang masing-masing bagi memacu dan mengangkat reputasi UniMAP ke tahap lebih gemilang pada masa hadapan," titah baginda.

'Serah kepada Pejabat Daerah'

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 24 Sept. - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang mahu peruntukan sebanyak RM40,000 yang ingin disalurkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang kepada mereka diserahkan kepada Pejabat Daerah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata, wakil rakyat BN tidak akan menerima peruntukan itu secara peribadi tetapi harus digunakan untuk kepentingan rakyat.

Menurutnya, langkah itu juga mampu mengelakkan daripada salah faham yang timbul akibat dakwaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang seolah-olah menuduh ADUN BN mengamalkan kronisme dan berbelanja secara tidak berhemah.

Sebenarnya tawaran peruntukan sebanyak RM40,000 setahun bukan usaha untuk reconciliation tetapi hanya taktik kotor untuk kepentingan politik supaya rakyat memandang rendah kepada ADUN BN.

Sebagai bukti ketelusan dan kebersihan kerajaan negeri, semua ADUN BN meminta supaya peruntukan hendak diberi itu diletakkan di Pejabat Daerah masing-masing untuk dibuat agihan atas permohonan rakyat mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri beberapa ADUN BN di sini hari ini bagi mengulas kenyataan Guan Eng yang mengumumkan kerajaan negeri telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM40,000 setahun kepada setiap ADUN BN untuk pembangunan kecil mulai tahun 2014.

Jahara yang juga ADUN Teluk Air Tawar menambah, pihaknya juga kecewa dengan tindakan Guan Eng yang menuduh ADUN BN tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat serta menolak menyertai Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri kerana bimbang tidak mengikut Panduan Piawaian Pelaksanaan (SOP).

Ini adalah satu tuduhan tanpa bukti yang melulu dan amat serius bertujuan untuk membuat rakyat Pulau Pinang mempunyai persepsi negatif terhadap semua ADUN BN serta berniat jahat dan memutarbelitkan fakta.

Selama ini segala peruntukan kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada ADUN BN diberi menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dikeluarkan mengikut SOP yang telah disedia pakai dengan telus," ujarnya.

Jahara turut mendakwa peruntukan yang ingin diberi itu tidak ikhlas kerana mempunyai banyak agenda tersirat serta ingin mengalih perhatian rakyat daripada isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP.

Beliau turut menafikan pihaknya menerima jemputan menyertai MMK melainkan tiga ADUN iaitu beliau sendiri, Datuk Mahmud Zakaria (Sungai Acheh) dan Mohamad Farid Saad (Pulau Betong) yang menerima jemputan menyertai Jawatankuasa Kebajikan dan Alam Sekitar di bawah Exco, Phee Boon Poh.

Secara sinis Jahara berkata, Guan Eng perlu menjemput beliau untuk menyertai Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri sendiri sekiranya beliau (Guan Eng) benar-benar ikhlas.

Polis Pulau Pinang rampas dadah RM1.24j

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

PULAU PINANG 24 Sept. - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.24 juta selepas menyerbu sebuah premis melebur emas yang dijadikan makmal memproses dadah di Jalan Thean Teik, Air Itam di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, bertindak daripada risikan dan maklumat awam, pihaknya menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 3 pagi dan menahan tiga lelaki berusia antara 37 hingga 45 tahun.

"Polis terpaksa memecah masuk premis berkenaan yang dikunci dan hasil serbuan, kami menemukan dadah seperti syabu seberat 0.42 kilogram (kg), serbuk ekstasi (7.33 kg) dan serbuk ketamin (6.07 kg) yang kesemuanya bernilai lebih RM1.24 juta.

"Polis turut merampas peralatan memproses dadah seperti ketuhar dan cecair bahan kimia serta menjumpai 12 butir peluru jenis Luger RP 9mm yang disembunyikan dalam sebuah laci di premis berkenaan," katanya kepada pemberita semalam.

Kelmarin, polis berjaya membongkar kegiatan sindiket memproses dadah itu selepas menyerbu premis yang selama ini dijadikan makmal sindiket berkenaan yang berselindung di sebalik premis melebur emas.

Kong Meng dalam pada itu menambah, polis turut merampas dua buah kereta iaitu sebuah Toyota Hilux dan Proton Wira yang bernilai RM105,000.

Selain itu tambah beliau, dua daripada lelaki yang ditahan bekerja sebagai pekerja membaiki alat pendingin hawa manakala seorang lagi merupakan tukang cat.

"Salah seorang daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah dan ketiga-tiga mereka kini direman seminggu bermula hari ini," katanya.

Ditanya mengenai laporan yang menyebut seorang dari lelaki terlibat meneguk bahan kimia, tegas Kong Meng, suspek hanya meminum minuman yang dicemari bahan kimia.

"Dia bukan minum bahan kimia sebaliknya meminum minuman yang telah dicemari berikutan minuman berkenaan berada dalam makmal yang dipenuhi bahan kimia.

"Suspek kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Pulau Pinang dan akan didakwa selepas laporan kesihatan dikeluarkan," jelasnya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved