Rabu, 25 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Razif kekal dalam BAM

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Razif Sidek

KUALA LUMPUR - Bekas pemain beregu negara, Razif Sidek masih kekal menjadi penilai bebas buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) walaupun orang yang bertanggungjawab membawanya kembali ke badan sukan tersebut, Tan Aik Mong telah melepaskan jawatan sebagai Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) kelmarin.

Perkara ini disahkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff semalam, dengan menyatakan bahawa penolong kepada Aik Mong, Tan Kim Her juga akan menjadi penilai bebas bagi memantap skuad kebangsaan.

"Razif masih kekal dengan BAM, dia memang komited untuk bersama kami," katanya pada sidang media di pejabat BAM, semalam selepas mengadakan mesyuarat dengan Razif dan bekas jurulatih beregu kebangsaan, Kim Her.

Apa yang berlaku dalam BAM sekarang ini sentiasa mengejutkan peminat badminton negara, bermula dengan peletakan jawatan Rashid Sidek Khamis lalu, diikuti dengan pembongkaran langgar kontrak jurulatih yang beraksi di Liga Badminton India (IBL) dan kelmarin Aik Mong mengambil keputusan meletak jawatan selaku Pengarah TMG.

"Rashid akan menghantar surat kepada kami tengah hari ini bagi menerangkan tentang kontrak yang ditandatanganinya ketika di IBL, manakala Tey Seu Bock pula telah berbuat demikian sebelum ini," ujarnya.

Ini bermakna jawatan TMG masih belum diisi dan pengerusinya Tengku Mahaleel sendiri akan mengambil alih tugas tersebut buat sementara waktu sambil dibantu oleh Naib Presiden BAM, Koay Ban Hing.

"Kes Aik Mong sudah ditutup, semua yang hadir dalam mesyuarat bersetuju, tidak akan ada lagi kenyataan (selepas ini)," katanya yang menerima peletakan jawatan Aik Mong kelmarin.

Dalam pada itu, Rashid sendiri telah mengesahkan dia telah menghantar surat kepada BAM bagi menjelaskan tentang penglibatannya di IBL dan ini bermakna masalah tersebut semakin menghampiri penghujung.

Isnin lalu, Tengku Mahaleel mengakui bahawa beliau masih membuka pintu buat Rashid untuk kembali berkhidmat bersama BAM memandangkan mereka menghadapi masalah kekurangan jurulatih setelah memperkenalkan Projek Menang-Menang.

Rashid pula kelmarin telah mengakui bahawa dia sedia menimbang untuk menarik semula peletakan jawatan jurulatih badminton perseorangan negara walaupun ketika ini mengambil sikap tunggu dan lihat.

Pemain Perak jalani latihan seperti biasa

Posted: 25 Sep 2013 01:07 PM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Marshall Soper (kiri) bersama Sayuddin Mat Isa (kanan) mengendalikan latihan skuad Perak di padang Pernama, Ipoh, semalam. - Utusan/Roy Azis Abd. Aziz

IPOH - Hanya 18 pemain skuad Seladang menjalani latihan ringan bersama pengendali sementara, Marshall Soper dan Sayuddin Mat Isa selepas melaporkan diri semula petang semalam.

Bagaimanapun sesi latihan yang bermula pukul 5.30 petang itu tidak dihadiri beberapa pemain termasuk kapten, Shahrulnizam Mustapha yang dipanggil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, hanya tiga pemain yang tidak hadir dalam sesi latihan petang semalam manakala yang lain telah menjalani latihan seperti biasa

"Latihan berjalan seperti biasa kerana kontrak masih berjalan. Tentang mereka yang tidak datang latihan, saya tidak pasti siapa mereka (pemain). Tetapi mereka ini ada yang cedera dan ada juga yang ada urusan lain," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zainol Fadzi berkata, beliau juga dimaklumkan oleh pegawai PAFA bahawa kesemua 23 pemain skuad itu dan sembilan pegawainya telah pergi memberikan keterangan di pejabat SPRM.

Beliau juga menegaskan bahawa siasatan kes ini tidak langsung menjejaskan moral dan prestasi kesemua pemain dan pegawai pasukan Seladang.

Sementara itu, Soper iaitu jurulatih akademi bola sepak PAFA yang juga bekas pemain Seladang dari Australia pada musim 1993-1994 dan Sayuddin, jurulatih pasukan Yayasan Bina Upaya Perak, dilantik sebagai pengendali sementara Perak.

Pemain terlibat turun berlatih kali pertama petang ini selepas diberi cuti selama tiga hari berikutan skuad Kejor Yob Kejor tewas besar 1-6 kepada Sarawak pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia di Kuching Sabtu lalu sehingga menyebabkan Perak terkeluar dari saingan.

Sementara itu, sumber SPRM berkata, keterangan semua pemain dan pegawai skuad Seladang selesai diambil sebelum tengah malam semalam.

Jelasnya, ketika ini pihaknya telah selesai merekodkan keterangan dari 23 pemain serta beberapa orang pegawai PAFA berhubung kes tersebut.

"Setakat pukul 9.15 malam ini, tinggal beberapa orang pegawai (PAFA) sahaja yang belum diambil keterangan.

"Saya menjangkakan proses ini akan selesai sebelum tengah malam ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved