Ahad, 20 Oktober 2013

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Picanto pencetus evolusi

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh FAIRUS KASSIM
ekonomi@utusan.com.my

Picanto baharu menawarkan pakej lengkap dari segi rekaan dan keselamatan.

KIA telah memulakan evolusi baharu dalam segmen A dengan merangka strategi unik dengan menerapkan penggunaan sistem keselamatan yang tinggi untuk keretanya dalam segmen berkenaan, sekali gus menjadi perintis pasaran tempatan.

Jenama popular lain ketika ini kurang menumpukan aspek keselamatan dalam kereta segmen A dan usaha KIA itu dilihat sangat berani serta dalam masa yang sama membantu melonjakkan standard keselamatan kereta tempatan melalui persaingan pada masa depan.

Perintis kepada kereta paling selamat dalam segmen A tempatan adalah, Picanto baharu yang sudah dilancarkan secara tidak rasmi bermula minggu ini dengan ciri keselamatan menyamai kereta segmen C dan D serta reka bentuk yang tidak mengecewakan.

Di atas kertas, tersenarai 10 aksesori baharu yang tidak terdapat dalam mana-mana kereta segmen A tempatan telah ditawarkan oleh Picanto. Antaranya lampu automatik, empat brek cakera, enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), sistem bantuan bukit (HAC), butang audio pada stereng dan kunci pintar.

Dilengkapi dengan enjin Kappa 1.2L dengan dua varian pilihan iaitu automatik empat kelajuan dan manual lima kelajuan dengan kemampuan 18 hingga 22 kilometer (km) untuk setiap liter seperti tertera di atas kertas, pasti membuatkan ramai tertarik dengan kereta ini.

Rekaan dalaman yang cukup menarik denganstereng berbentuk senyuman.

Harga jangkaan adalah di bawah RM63,000 bagi varian automatik dan di bawah RM59,000 untuk varian manual.

Dengan moto jualan All in smALL, Picanto baharu dilihat mampu menjadi ancaman kepada Viva, Mirage, Alto dan i10 serta beberapa kereta dalam segmen B kompak yang ditawarkan pada harga yang hampir sama iaitu Swift dan Myvi.

Baru-baru ini pihak media telah dijemput untuk menguji kedua-dua varian kereta baharu ini bagi perjalanan dari Publika, Dutamas ke Putajaya kemudian ke Petaling Jaya sebelum pulang semula ke Publika bagi menguji keupayaan Picanto melalui beberapa keadaan jalan dan pemanduan bandar.

Agak mengejutkan kerana prestasi varian manual dirasakan lebih baik kerana bunyi kabin yang senyap, sistem penyerap hentak yang lembut dan pertukaran gear yang lancar.

Kabin varian automatik sedikit bising dan agak melambung ketika melalui jalan beralun disebabkan penggunaan rim sport yang lebih besar iaitu 15 inci, seinci lebih berbanding varian manual.

Dari segi kemampuan mengambil selekoh, Picanto sedikit menggelongsor pada kelajuan tinggi disebabkan saiz badannya.

Boleh dikatakan Picanto ini lebih mesra wanita kerana dilengkapi dengan cermin muka dengan LED, ruang kasut di bawah kerusi, tempat meletak cawan dan paling menarik tawaran warna baharu iaitu hijau serta biru.

Isuzu sasar pengguna perladangan, binaan

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Tan Yiew Sun (dua kiri) menyerahkan replika kunci kepada pembeli pertama trak Isuzu NPS 4x4 negeri ini, Mohd. Bazlan Ibrahim di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 20 Okt. - Isuzu Malaysia (Isuzu) meneroka pasaran baharu apabila melancarkan model trak pacuan empat roda paling berteknologi tinggi bagi sektor kenderaan tugasan sederhana di negara ini.

Model trak Isuzu NPS 4x4 yang disasarkan kepada pengguna komersial di sektor perladangan dan pembinaan tersebut ditawarkan pada harga RM149,000 sehingga lebih RM162,000, yang diyakini mampu menarik perhatian pelanggan.

Antara negeri tumpuan adalah Kelantan yang mana mempunyai ramai pelanggan Isuzu, terutama untuk kenderaan tugasan ringan.

Menurut Pengarah Urusan T.E.C. United Auto Sdn. Bhd. (T.E.C United), syarikat wakil jualan tunggal Isuzu di Kelantan, Tan Yiew Sun, sejak beberapa tahun Isuzu telah menduduki tangga teratas jualan kenderaan tugasan ringan di negeri ini berbanding pesaing lain.

Beliau berkata, pihaknya menjual purata 240 kenderaan tugasan ringan setiap tahun dan Kelantan merupakan antara negeri di Pantai Timur yang sering mencatat jualan tertinggi.

"Pada kali ini, Isuzu mula memasuki pasaran baharu yang menumpukan kepada trak untuk kegunaan sektor perladangan seperti sawit, getah dan sebagainya.

"Trak NPS 4x4 yang kami tawarkan bukan sekadar berfungsi seperti lori biasa tetapi berkuasa pacuan empat roda berkapasiti berat dengan muatan (BDM) sehingga 26 tan yang sudah pasti memudahkan kerja mengangkut keluar hasil ladang.

"Trak Isuzu mampu bersaing dengan jenama lain yang sedia ada kerana kami menghasilkan chasis atau kerangka khusus untuk pacuan empat roda, selain merupakan kenderaan berteknologi tinggi," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran di pejabat jualannya di sini hari ini.

Turut dilancarkan pada majlis tersebut adalah trak Isuzu FVZ 6x4 dan trak Isuzu FVR 285 serta pikap D-Max terbaru jenis kabin tunggal.

Yiew Sun berkata, tiga kriteria yang sering menjadi faktor Isuzu menjadi pilihan ramai adalah penggunaan minyak yang menjimatkan, tahan lasak serta alat ganti mudah diperoleh.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan membaiki kenderaan secara mobil yang beroperasi 24 jam kepada pelanggan Isuzu di negeri ini.

"Pelanggan yang berminat boleh melawat ke pusat pameran kami di Kampung Tapang, Jalan Hospital," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved