Ahad, 20 Oktober 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Bukan cari perhatian

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
athirah.dzulkifly@utusan.com.my

BAGI sesetengah orang, adik pelakon Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahira (Shira) yang dikenali sebagai Sharifah Sakinah ini memiliki karakter pelik.

Pelik kerana sikapnya yang gila-gila dan suka berlawak tidak kena tempat dan kadangkala mengundang rasa kurang senang.

Dari satu sudut, tak boleh juga nak salahkan orang yang mengutuk dan mengeji itu kerana adakalanya, wanita yang selesa dipanggil Sakinah ini bersifat keterlaluan.

Barangkali, akal tipikal Melayu mereka berkata, orang perempuan tak elok berperangai macam itu. Orang perempuan terutama wanita Melayu, kena tahu adab ketimuran.

Maka nak melawak dan berseronok mengikut cara Sakinah yang lazimnya begitu terbuka memperkatakan apa saja perkara sudah tentu bukan berciri wanita beradab timur.

Nak jadi wanita Melayu terakhir? Alahai... Lupakan saja. Sakinah, awal-awal lagi boleh tersingkir kalau begitu sikapnya. Pendek kata memang tak sesuai.

Namun ada sesetengah orang berpendapat, Sakinah di sebalik gila-gilanya itu sebenarnya adalah seorang yang kreatif.

Kreatif dalam terma dia berani mengenengahkan bakatnya dalam rambang jenaka selamba dan bijak mengunakan kemudahan laman sosial yang ada untuk mempamerkan keunikan karakternya itu.

Boleh kira dengan jari, berapa ramai artis wanita di negara kita yang berani menjadi diri sendiri di depan orang ramai dan di depan kamera?

Si peraih perhatian? Ya, barangkali itu perkataan lebih tepat untuk menggambarkan Sakinah memandangkan setiap kali hadir dengan karya baru di laman sosial, Ratu Keek dan Instagram ini pasti tidak pernah gagal mendapat respons ramai.

Dalam nada baik atau buruk, wanita berusia 24 tahun ini umpama menadah sahaja kata-kata yang dilemparkan kepadanya. Mahu tak mahu, bahana datang berpunca daripada dirinya juga.

Saya ini peraih perhatian? Beginilah, saya dari kecil memang berperangai begini. Kalau saya nak bentuk diri saya jadi orang lain hanya kerana saya tak mahu orang mengata saya di laman sosial macam Keek dan Instagram, itu maknanya saya ini manusia plastik.

Bagi saya, istilah peraih perhatian itu tak pernah wujud. Dianggap begitu sebab orang tengok aksi saya di laman sosial dan mendapat perhatian ramai sambil timbul tanda tanya dia ini siapa? Dia ini kenapa?

Kalau orang tanya, saya tak panggil itu sebagai meraih perhatian. Tapi kejutan budaya!

Mereka yang tak boleh terima cara saya umpama terkena kejutan budaya sebab mereka tak pernah tengok artis wanita macam saya," katanya.

Tidak pernah merasakan dirinya sentiasa mahu kontrol ayu dan jelita, kata pelakon yang mula dikenali menerusi drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang ini, dia selesa dengan dirinya dan tiada apa yang perlu diubah.

Penyokong vs haters

Kalau dah namanya artis, hidup dilingkari dengan barisan penyokong dan tak terkecuali haters (pembenci) ibarat satu lumrah yang dah menjadi adunan sebati.

Walau apa pun yang dilakukan oleh artis kesayangan, mereka yang berada dalam team penyokong tentulah akan hadir dengan sumpah setia untuk terus menyokong.

Kalau mereka yang berada dalam team haters, buat kebaikan pun bakal dijadikan bahan cercaan semata-mata sengaja mahu mencari kesalahan artis itu.

Sakinah seperti kebanyakan artis lain pun begitu. Tak terlepas malah lebih ketara memandangkan keterbukaannya dalam berkongsi humor gediknya di laman sosial.

Entahlah terus-terang, saya tak rasa mereka yang memberi komen buruk di laman sosial saya itu terdiri di kalangan mereka yang menjengkelkan.

Sebenarnya saya tak hairan pun. Tak pernah kisah apa yang mereka tulis dan katakan. Saya pasti, mereka terlalu banyak masa untuk buat semua itu.

Bukan kali pertama saya berhadapan dengan benda macam ini, Sejak di bangku sekolah lagi, saya dah kena bantai di laman blog. Orang mengata saya ini melampau dan sebagainya dan mengaitkan kakak-kakak saya dalam hal itu.

Masa itu, saya belum jadi artis tapi dah kena dah, Jadi bila dah masuk dalam dunia hiburan, saya jadi lali.

Bagi saya kutukan orang tak beri kesan apa-apa. Kalau pun ada yang benci saya, tak ada pula bila saya berjalan tiba-tiba ada yang sampai nak baling batu ke, reputasi kerja saya terjejas ke... tak ada," katanya.

Kongsi Sakinah lagi, kadangkala dia merasa lucu melihat ada sesetengah pihak yang melawat laman sosialnya tanpa segan silu meminta gambar lucah miliknya.

Saya rasa lucu dan ketawa saja. Tak sangka, ada orang berfikiran sebegitu dan mengharap saya akan melayan permintaan bukan-bukan mereka?

Saya mungkin gila-gila tapi saya bukan bodoh. Tak pernah pun sekali saya membalas komen seperti itu dan rasanya memang tak perlu pun.

Saya lebih senang untuk buat tak tahu dan biarkan saja mereka bercakap dengan dinding.

Di sini, saya berterima kasih dengan penyokong saya. Rasa terharu juga sebab masih ada yang mahu saya jadi diri sendiri dan sokong saya dari belakang," katanya yang tidak pernah menganggap dirinya lantang berbicara.

Lebih senang membiarkan pemerhati dirinya untuk menilai sendiri setiap apa yang dilakukannya, Sakinah mengaku tidak pernah naik hantu dengan mereka yang memberi komen negatif.

Sebenarnya terpulang kepada seseorang bagaimana dia menerima lawak dan humor saya. Kalau mereka anggap itu kelakar, maka kelakarlah.

Kalau dia anggap itu positif, positiflah, kalau dia negatif, maka negatiflah ia.

Saya tak ada hak untuk menghukum orang, jadi biarlah mereka sendiri yang nilai. Saya tak apa-apa. Malah setiap hari menjalani hari seperti biasa dengan gembira," katanya.

Apa cerita cinta?

Aneh, apabila diaju pertanyaan ini, tidak pula Sakinah ringan mulut untuk bercerita lanjut.

Padahal, bukan orang tak tahu, dia menjalin hubungan cinta dengan jejaka bernama Shamil Equan, anak teruna pengarah, Erma Fatima.

Cuma melemparkan senyuman, Sakinah berbicara klise, tidak mahu terlalu banyak mencanang kisah cinta pada mata umum.

Bukan apa, saya ini masih muda lagi. Bagi saya senang saja. Cinta, kalau ada, ada... Kalau tak ada, saya pun tak mahu fikir lagi," katanya.

Mengaku tidak pernah menyembunyikan hubungan itu, kata Sakinah, dia tidak akan membuka mulut, jika tiada pihak yang bertanya.

Takkanlah saya nak canang dan heboh-heboh pada semua. Mana yang tahu, tahulah. Saya pun memang tak pernah sorok.

Entahlah bukan apa, kadang-kadang, bila saya serius berbicara, orang sangka saya sedang buat lawak. Jadi akhirnya nanti, orang akan fikir, apa sahaja mengenai Sakinah adalah satu bahan jenaka.

Jadi untuk beberapa perkara dalam hidup saya, ada baiknya saya simpan sendiri dan biarkan berlaku tanpa dipaksa-paksa," katanya lagi yang bakal muncul dengan filem Ular dan drama bersiri Dendam Lima Beradik.

OTM jelajah dunia 2014

Posted: 20 Oct 2013 06:08 AM PDT

PERSEMBAHAN Siti Nurhaliza diiringi OTM mendapat sambutan hebat daripada peminatnya.

ORKESTRA Tradisional Malaysia (OTM) akan menjelajah dunia untuk mempromosikan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Juhari Shaarani, jelajah yang bakal diadakan itu sebahagian daripada rangka promosi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKM) untuk menarik perhatian pelancong luar ke Malaysia.

Buat masa ini pihak KPKM telah bersedia untuk membawa OTM menyertai rangka promosi di beberapa negara bermula tahun hadapan dengan mengadakan persembahan di tempat-tempat terpilih.

Kami berbangga kerana OTM terpilih menjadi sebahagian daripada rangka promosi dan berkemungkinan besar turut melibatkan penyanyi popular tanah air, Siti Nurhaliza," jelas Juhari.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Nazri Aziz telahpun melancarkan perasmian OTM sempena Konsert Lentera Timur Datuk Siti Nurhaliza bulan lalu.

Juhari berkata, pemilihan Siti Nurhaliza untuk menyertai persembahan OTM masih dalam perbincangan dan belum ada kata putus terhadap perkara berkenaan.

Namun pihaknya berharap jelajah yang bakal diadakan akan disertai oleh penyanyi berkenaan.

OTM yang terletak di bawah IB dipimpin oleh Mohd Yazid Zakaria dan dianggotai lebih 60 ahli dalam satu-satu masa. Bagaimanapun, jumlah ahli boleh berkurang dan bertambah mengikut kesesuaian sesebuah persembahan.

OTM bakal singgah ke Singapura, Brunei Darussalam, Australia, Indonesia dan kemuncak persembahan diadakan di Royal Albert Hall, London.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved