Ahad, 20 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


307 perwakilan ditegur

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Oleh HERMAN HAMID
utusanpahang@utusan.com.my

Abdul Jabbar Ibrahim

KUANTAN 20 Okt. - Sebanyak 307 perwakilan daripada 7,469 yang layak mengundi di negeri ini bagi memilih kepimpinan tertinggi UMNO dan bahagian semalam tidak hadir menunaikan hak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata, perkara ini dilihat tidak sepatutnya berlaku kerana para perwakilan telah mengetahui mengenai hari pengundian lebih awal lagi.

''Ini satu peringatan, mereka yang dipilih sepatutnya hadir. Tak ada sebab sebenarnya. Mereka yang layak mengundi adalah yang dipilih pada mesyuarat. Hak ini tidak boleh diganti.

''Daripada 14 UMNO Bahagian di Pahang, tidak ada satu pun yang mencatat kehadiran 100 peratus. Paling sikit, tujuh orang di Rompin diikuti Cameron Highlands, sembilan manakala yang lain ada berbelas dan ada berpuluh orang tidak hadir.

''Maka, jumlah keseluruhan perwakilan yang hadir mengundi semalam di Pahang adalah 7,162 orang," katanya pada sidang akhbar di pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri sini hari ini.

Mengenai pemilihan semalam, Abdul Jabbar berkata, secara keseluruhannya, perjalanan proses tersebut berlangsung dengan lancar yang membolehkan keputusan rasmi di beberapa bahagian dapat diumumkan seawal pukul 6 petang lagi.

Menurut beliau, kejayaan ini hasil daripada beberapa penambahbaikan yang dilakukan berdasar pengalaman ketika pemilihan sayap minggu lalu.

Katanya, dengan penambahan tempat mengundi membolehkan proses pemilihan tersebut disudahkan lebih awal sekali gus pengiraan undi dapat dilakukan pada waktu yang dijadualkan.

''Di Pekan dan Bentong misalnya pukul 6 petang kita sudah dapat tahu keputusan rasmi manakala antara yang lewat diketahui adalah di Jerantut. Itu pun dalam pukul 11 malam kita sudah dapat.

''Ini hasil kerja keras semua pihak baik daripada urus setia Bahagian mahu pun tenaga sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," jelasnya.

Tambah Abdul Jabbar, perjalanan pemilihan di negeri ini semalam juga bebas daripada sebarang insiden tidak diingini seperti kekecohan.

Tiga ketua bahagian di Pahang kalah

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Ismail Sabri Yaakob dijulang oleh penyokongnya selepas diumumkan menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda, Bera, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 20 Okt. - Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar antara tiga ketua UMNO bahagian di negeri ini yang gagal mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti semalam.

Tengku Azlan yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Jerantut sejak 2000 meraih 288 undi berbanding pencabarnya iaitu Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris yang mendapat 352 undi.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim berkata, turut gagal mempertahankan jawatan ialah Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman di Paya Besar dan Datuk Mohd. Hazmi Yusof di Indera Mahkota.

Dalam pemilihan semalam, katanya, Ahmad Tajuddin yang menerajui UMNO Paya Besar sejak bahagian itu ditubuhkan pada tahun 2000 hanya memperoleh 175 undi berbanding pencabarnya Datuk Abdul Manan Ismail (331).

''Mohd. Hazmi yang baru sepenggal menerajui Indera Mahkota pula mendapat 102 undi, kedua di belakang Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid (152) dalam saingan enam penjuru di bahagian berkenaan.

''Enam lagi ketua bahagian di negeri ini yang turut dicabar semalam bagaimanapun berjaya mempertahankan jawatan masing-masing antaranya Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Kuantan," katanya dalam sidang akhbar di Badan Perhubungan UMNO Negeri di sini hari ini.

Katanya, lain-lain ktua bahagian yang berjaya mempertahankan jawatan semalam ialah Datuk Wan Rosdy Wan Ismail (Cameron Highlands), Datuk Shairuddin Ab. Moin (Raub), Datuk Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera) dan Datuk Ismail Abdul Muttalib yang sebelum ini memangku Ketua UMNO Bahagian Maran.

''Lima lagi ketua bahagian di negeri ini tidak dicabar termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan.

''Turut tidak dicabar, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (Bentong), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (Rompin), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin di Temerloh,'' jelasnya.

Sementara itu, tambah beliau, bagi pertandingan timbalan ketua UMNO Bahagian di negeri ini, antara yang paling mendapat tumpuan ialah kekalahan Saifuddin Abdullah dalam saingan tiga penjuru di Temerloh.

Turut tewas, Datuk Suhaimi Ibrahim di Lipis dalam pertandingan satu lawan satu menentang Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd. Soffi Razak.

Bahagian lain yang mendapat timbalan ketua UMNO yang baharu ialah Indera Mahkota, Maran, Pekan dan Kuala Krau.

Di Maran, Exco kerajaan negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin satu-satunya pemimpin wanita yang menjawat jawatan timbalan ketua UMNO bahagian di negeri ini.

Semua muka baharu, sejarah di Indera Mahkota

Posted: 20 Oct 2013 12:36 PM PDT

Mustaffar Kamal Ab. Hamid (tengah) mengangkat tangan bersama barisan baharu kepimpinan UMNO Bahagian Indera Mahkota (dari kiri) Muhamad Faiz Hashim, Mohd. Khairul Hisham Omar, Mazlan Mat Rashid dan Wan Napiah Wan Yusop di Wisma Belia, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 20 Okt. - UMNO Indera Mahkota mencatat sejarah tersendiri di negeri ini apabila berlaku perubahan untuk ketiga-tiga jawatan tertinggi di peringkat bahagian di samping tiga ketua sayap turut disandang oleh muka baharu.

Bagi pemilihan jawatan Ketua Bahagian yang menyaksikan saingan enam penjuru semalam, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid muncul pemenang apabila meraih 152 undi mengatasi penyandang, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff yang meraih 102 undi.

Empat lagi calon iaitu, Shahrum Zainuddin mendapat 93 undi, Datuk Abdul Rahim Abas (66), Mahassan Husain (15) dan Ngah Ismail (11).

Bagi Timbalan Ketua Bahagian pula dimenangi Mazlan Mat Rashid, menewaskan bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian, Datuk Suhaimi Sulong dan Kamal Zaim Mohd. Amin.

Jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian turut menyaksikan muka baharu, Mohd. Khairul Hisham Omar menewaskan penyandang, Solomon Ali Rizal dan empat lagi calon lain.

Pada pemilihan sayap sebelum ini pula, Ketua Wanita yang baharu adalah Wan Napia'ah Wan Yusop; Ketua Pemuda, Muhammad Faiz Hashim dan Ketua Puteri, Esfarini Sudin.

Pada pilihan raya umum lalu, Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO tewas di kerusi Parlimen Indera Mahkota dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah untuk dua penggal berturut-turut.

Sementara itu, Mustaffar Kamal yang ditemui pemberita di sini semalam menyifatkan kemenangan beliau sebagai petanda daripada rakyat yang mahukan perubahan di Bahagian Indera Mahkota.

Menurut beliau, banyak perancangan yang akan dibuat bagi mengukuhkan kepimpinan UMNO bermula di peringkat cawangan sehingga ke bahagian.

"Struktur organisasi perlu diperkemaskan semula dan matlamat agar kita mempunyai hala tuju yang jelas. Ini semua penting untuk kita mendapatkan kembali Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti," jelasnya.

Mustaffar Kamal berkata, beliau meletakkan sasaran akan merampas kembali Parlimen Indera Mahkota dan sekurang-kurangnya satu kerusi DUN pada PRU14 akan datang.

Sementara itu, Mohd. Hazmi berkata, beliau akur dengan keputusan pemilihan kali ini kerana merupakan kehendak perwakilan.

"Saya harapkan kepada kepimpinan baru supaya buatlah sesuatu untuk mendapatkan kembali Parlimen Indera Mahkota. Sebelum itu, bentukkan satu pasukan untuk tarik orang muda kepada UMNO," katanya yang baru sepenggal menjadi ketua bahagian.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved