Isnin, 13 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Projek PKFZ: Kong Choy dibebaskan tipu bekas PM

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR dan NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

Chan Kong Choy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Selepas hampir empat tahun didakwa menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari ini bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy boleh tersenyum apabila beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Ini berikutan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa ketiga-tiga pertuduhan terhadap Kong Choy ditarik balik selepas meneliti surat representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada 20 Mac tahun lalu.

Tindakan menarik semula tuduhan-tuduhan terbabit juga dibuat selepas pihak pendakwaan mengambil kira, menghalusi dan meneliti keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan kes seorang lagi bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Liong Sik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Antara saksi dalam perbicaraan terbabit ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn.

Pembebasan Kong Choy, 58, dimaklumkan kepada pihak media oleh peguamnya, Datuk Tan Hock Chuan selepas kes itu disebut di kamar Hakim Datuk Zamzani Abdul Rahim.

Terdahulu, para penyokong bekas menteri Kabinet itu dilihat bertepuk tangan selepas peguam terbabit memberitahu mereka mengenai penarikan balik pertuduhan itu.

Kesemua mereka termasuk Kong Choy bagaimanapun terus meninggalkan pekarangan mahkamah tanpa memberikan sebarang komen kepada pihak media.

Selain untuk mengetahui keputusan representasi yang dihantar tahun lalu, mahkamah pada hari ini sepatutnya mendengar permohonan pihak pembelaan agar hakim dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu menarik diri daripada terus mengendalikan kes terbabit.

Hock Chuan bagaimanapun memberitahu, pihaknya telah menarik semula permohonan yang difailkan pada 29 Mac 2012 hari ini selepas tuduhan terbabit digugurkan.

Kong Choy didakwa pada 28 Februari 2011 di Mahkamah Sesyen Putrajaya dan mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan menipu Abdullah dengan menyembunyikan fakta mengenai pembiayaan kos pembangunan sehingga Abdullah bersetuju supaya kelulusan diberikan kepada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) selaku pemaju siap guna (turn-key developer).

Fakta-fakta yang disembunyikan ialah pembiayaan tersebut akan dibiayai melalui terbitan bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Bhd., Valid Ventures Bhd. dan Free Zone Capital Bhd. dengan sokongan beliau yang merupakan Menteri Pengangkutan ketika itu.

Abdullah selaku Perdana Menteri (ketika itu) tidak akan memberikan persetujuan jika fakta-fakta tersebut dimaklumkan kepadanya.

Ketiga-tiga tuduhan didakwa dilakukan di antara 24 Februari 2004 dan 29 Mac 2006 di Tingkat 4, Blok Utama, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, dekat sini.

Kesemua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tian Chua kesal fitnah UMNO

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Ab. Rauf Yusoh (kiri) bersalaman dengan Tian Chua di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua hari ini menarik balik kenyataan fitnahnya yang mengaitkan UMNO dengan kejadian pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lalu.

Beliau turut melahirkan rasa kesal atas dakwaan yang dilemparkan terhadap parti politik itu seperti yang disiar dalam artikel bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO' dalam portal berita PKR, KeadilanDaily.com bertarikh 1 Mac tahun lalu.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, menarik balik kenyataan fitnah itu sebagai penyelesaian kes saman yang dikemukakan oleh UMNO terhadapnya dan Editor KeadilanDaily.com, Fazallah Pit serta penulis artikel, Aisha Geoffrey.

Saman fitnah itu yang sepatutnya dibicarakan hari ini dan Rabu, difailkan pada 15 Mac 2013 menerusi Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh.

Penyelesaian kes saman itu dibuat menerusi penghakiman persetujuan yang direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini.

Terma lain yang terkandung dalam penghakiman tersebut ialah Fazallah dan Aisha bersetuju menarik balik artikel tersebut serta-merta daripada portal berkenaan.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun hadir mewakili UMNO dan peguam William Leong mewakili Tian Chua, Fazallah dan Aisha yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Tiada sebarang arahan dibuat oleh mahkamah berhubung kos.

Sementara itu di luar mahkamah, Tian Chua sekali lagi mengulangi rasa kesalnya berhubung dakwaan itu.

"Artikel ini memberi implikasi terhadap UMNO namun bukan niat saya hendak mengaitkan UMNO dan bersetuju demi mengelakkan kekeliruan, KeadilanDaily.com akan menarik balik artikel ini,'' kata beliau.

Dalam pernyataan tuntutannya, UMNO selaku plaintif mendakwa Tian Chua membuat kenyataan tersebut selepas ditemu ramah oleh wartawan portal itu.

Plaintif menyatakan, perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud, UMNO merancang insiden pencerobohan di Lahad Datu, UMNO pembelot negara yang kononnya membawa masuk pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu dan UMNO sengaja mahu menakut-nakutkan rakyat dengan insiden tersebut.

Akibat penyiaran kata-kata fitnah itu, plaintif mendakwa, reputasi UMNO terjejas kerana kes pencerobohan di Lahad Datu melibatkan kedaulatan negara yang juga merupakan isu sensitif dan mengakibatkan pertumpahan darah serta tuntutan yang tidak wajar oleh pihak luar terhadap negeri Sabah yang diisytiharkan milik Malaysia sejak sekian lama.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved