Isnin, 13 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bertuah ada kerajaan cekap

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

TENGKU Meriam Sultan Ahmad Shah (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, Nik Som Nik Man di pekarangan Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau, Maran, kelmarin.

MARAN 13 Jan. - Rakyat perlu bersyukur dan merasa bertuah kerana mempunyai sebuah kerajaan cekap, peka dan prihatin dengan mereka yang ditimpa musibah seperti bencana banjir bulan lalu.

Tengku Puteri Seri Lelawangsa Pahang, Tengku Meriam Sultan Ahmad Shah berkata, ini terbukti apabila sebaik sahaja berlaku sesuatu musibah kerajaan dan agensinya tidak berlengah dalam memberi bantuan kepada mereka.

Menurutnya, perkara itu tidak berlaku di negara lain yang turut ditimpa bencana banjir, gempa bumi dan lain-lain sehingga mangsa terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bantuan.

"Apa yang berlaku di dalam dan luar negara itu harus diambil iktibar dan bermuhasabah diri supaya kita lebih bersyukur.

"Selain kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan pihak Istana Pahang juga dengan senang hati turun padang membantu mangsa yang terlibat dalam bencana banjir baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir Parlimen Maran di Dewan UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau di sini semalam.

Sebanyak 800 mangsa banjir di daerah ini menerima bantuan dari istana Pahang dan Parlimen Maran seperti tilam, bantal, dapur dan lain-lain yang diagihkan secara berperingkat.

Yang turut hadir Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Datuk Muhaini Sultan Ahmad Shah dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib.

Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin; ADUN Chenor, Mohd. Ariffin Awang Ismail; ADUN Luit, Nor Hidayah Mohd. Shahaimi dan Pegawai Daerah, Datuk Fadzilla Salleh.

Tengku Meriam berkata, rakyat harus bersabar dan akur menerima musibah itu di samping bersama-sama berdoa supaya dihindari gelombang kedua dan masalah lain.

Menurutnya, walaupun keperitan mangsa banjir dianggap teruk tetapi tidak 'sehebat' bencana tsunami yang berlaku di Aceh (Indonesia), Sri Lanka dan Filipina pada 2004 lalu sehingga meragut nyawa ribuan orang.

Dalam pada itu, Ismail berkata, rakyat negeri ini bertuah kerana Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan kerabat diraja lain sering berganding bahu bersama kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang ditimpa musibah tersebut.

MKN serah 5 aset kepada pasukan penyelamat

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

Azlan Che Adnan (kanan) memakaikan jaket keselamatan kepada seorang kanak-kanak selepas menyampaikan jaket tersebut kepada pasukan penyelamat di pejabat MKN Pahang di Kuantan, semalam.

KUANTAN 13 Jan. - Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang menyerahkan lima aset kepada pasukan penyelamat untuk digunakan jika berlaku bencana banjir di negeri ini pada masa akan datang.

Penolong Setiausaha MKN negeri, Azlan Che Adnan berkata, aset tersebut terdiri daripada jaket keselamatan kanak-kanak, bot aluminium, set memasak, penapis air bergerak dan water jet.

Katanya, kesemua aset tersebut diserahkan kepada pasukan penyelamat di negeri ini seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kesemua aset tersebut akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang berisiko tinggi banjir dan digunakan sepenuhnya apabila bencana itu berlaku.

"Bagi fasa pertama kita menerima beberapa aset tersebut dan akan ditambah pada fasa berikutnya dalam tempoh terdekat.

"Dengan adanya aset terbaharu itu akan dapat memudahkan pasukan penyelamat terbabit melaksanakan tugas dengan lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan jaket keselamatan kanak-kanak kepada agensi terlibat di pejabat MKN Pahang di sini hari ini.

Menurutnya, ketika ini pihaknya menerima 200 jaket keselamatan kanak-kanak, 18 bot aluminium, 10 penapis air bergerak, empat set dapur memasak dan beberapa water jet.

Katanya, aset-aset tersebut akan ditempatkan di daerah yang berisiko tinggi banjir seperti Kuantan, Pekan dan Maran.

Tambahnya, daerah lain yang turut terjejas akibat bencana itu pada bulan lalu akan menerima aset yang sama secara berperingkat supaya gerakan menyelamat dapat dilakukan dengan lebih lancar.

Beliau memberitahu, walaupun gelombang kedua berakhir semalam, semua agensi terlibat sentiasa bersiap siaga jika berlaku banjir yang tidak diduga.

"Peralatan yang diterima ini boleh digunakan pada bila-bila masa jika berlaku banjir walaupun amaran gelombang kedua sudah berakhir.

"Semua pasukan penyelamat sentiasa bersiap sedia dan mereka akan bergerak jika kawasan terlibat dinaiki air untuk memindahkan mangsa ke pusat pemindahan yang disediakan," ujarnya.

Tujuh penduduk Kampung Paya Teh pulang selepas banjir surut

Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST

JERANTUT 13 Jan. - Tujuh penduduk di Kampung Paya Teh di sini kembali ke kediaman mereka berikutan air kembali surut selepas banjir melanda kawasan itu dua hari lalu.

Mereka terdiri daripada dua keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Datuk Rahimah Kawi di sini yang diselenggarakan oleh Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung tersebut.

Seorang penduduk, Wok Awang Hitam, 51, berkata, dia tidak menjangkakan gelombang kedua itu turut terkena tempias di kampung tersebut sehinggakan barangan yang disimpan dalam kotak di rumah semasa gelombang pertama lalu tidak sempat dikeluarkan.

"Banyak juga peralatan perabot rosak dan hanyut ketika banjir pertama lalu, kini datang pula bencana kedua dan saya sempat menyelamatkan sedikit sahaja barang untuk dipindahkan ke dewan ini.

"Saya berdoa banjir kali kedua ini tidak memudaratkan peralatan rumah yang baharu dibeli dan berharap boleh balik dengan segera," katanya ketika ditemui semalam.

Seorang ibu muda, Nur Baiyah Mohd. Rosli, 23, berkata, dia bersyukur kerana anaknya berusia enam bulan, Muhammad Nor Syaqil Amzar Mohd. Salleh tidak menghadapi masalah kesihatan walaupun dua kali banjir berlaku baru-baru ini.

"Anak sulung saya mengalami banjir gelombang pertama pada awal Disember lalu dan kini turut mengalami musibah kali kedua dan saya bersyukur kerana bayi ini tidak mengalami demam dan gangguan kesihatan," ujarnya.

Seorang warga emas, Mat Lia Teh, 61, berkata, dia menetap di kampung tersebut sejak 30 tahun lalu, tetapi banjir yang berlaku sebanyak dua kali menyebabkannya mengalami kerugian apabila harta benda dan tanaman rosak.

"Saya tidak berdaya lagi ke mana hendak berpindah sedangkan tanah sekangkang kera inilah milik saya untuk membina kediaman dan bercucuk tanam," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved