Isnin, 13 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


NGO di Baling digesa bergabung

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

BALING 12 Jan. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini digesa bergabung dan membentuk satu kesatuan yang kuat untuk memperkasakan pertubuhan masing-masing sebagai langkah mendekati rakyat.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kerjasama antara NGO penting untuk mengelakkan terjadinya perkara-perkara negatif dalam kalangan ahli NGO yang berbeza.

"NGO perlu bergabung membentuk satu kesatuan yang kuat dan komited dengan gerak kerja masing-masing serta memainkan peranan mendekati rakyat bersama-sama pemimpin.

"Saya mahu melihat perpaduan di antara NGO terus utuh di daerah ini kerana ia dapat memberikan manfaat kepada semua pihak selain dapat bekerja bersama-sama pemimpin untuk terus membantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Sembang Pagi Bersama Kelab Gabungan NGO Wanita Peringkat Parlimen Baling di Batu 7, Binjul di sini semalam.

Antara NGO yang hadir dalam majlis tersebut adalah Pertubuhan Wiranita Perkasa, Pertubuhan Kebajikan Isteri Polis (Perkep), Pertubuhan Wanita Islam (WI) dan ketua-ketua Wanita UMNO cawangan.

Abdul Azeez juga menyarankan NGO sedia ada memperbaiki kelemahan yang berlaku dalam kumpulan masing-masing dan menumpukan kepada tanggungjawab masing-masing.

"Gabungan NGO perlu melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas dan jujur serta sanggup berjuang bersama pemimpin dalam usaha untuk membantu rakyat," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Gabungan NGO Wanita Parlimen Baling, Siti Eshah Daud berkata, cadangan untuk menggabungkan kesemua NGO di daerah ini sangat dialu-alukan demi memupuk perpaduan yang lebih erat sesama mereka.

"Ramai ahli bersungut mengenai kurangnya perpaduan dan kerjasama di antara mereka dan dengan menggabungkan semua NGO di bawah satu kesatuan, akan memudahkan usaha penyatuan antara ahli NGO itu sendiri," katanya.

Pasir Salak bakal berubah wajah

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

PASIR SALAK 12 Jan. - Kawasan Pasir Salak bakal berubah wajah dengan beberapa cadangan pembangunan berasaskan pertanian, pelancongan dan projek-projek komersial.

Ahli Parlimennya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, kawasan berkenaan memiliki potensi untuk dimajukan dengan projek seperti ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Perak.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Sungai Perak sangat sesuai untuk projek ternakan ikan dalam sangkar.

"Bakal penternak di sini boleh mengambil kesempatan daripada permintaan dan harga ikan air tawar yang tinggi. Diharapkan ternakan ikan dalam sangkar akan menjadi aktiviti ekonomi utama di kawasan ini.

"Kementerian sentiasa menyokong mereka yang berminat untuk menceburi sektor ini, sekali gus membantu kerajaan meningkatkan penghasilan ikan air tawar tempatan," katanya selepas mengadakan tinjauan di tebing Sungai Perak dengan menaiki bot di Kampung Gajah di sini baru-baru ini.

Menurut Tajuddin, kerajaan juga bercadang menjadikan sebuah pulau di Kampung Gajah iaitu Pulau Tok Bulan yang terletak berdekatan Kompleks Sejarah Pasir Salak sebagai sebuah zoo.

"Ada cadangan untuk menempatkan beberapa ekor gajah dan kerbau di pulau berkenaan sebagai tarikan pelancong," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga bercadang menubuhkan pusat pelancongan pertanian di sini kerana kawasan tersebut terkenal dengan penghasilan durian.

Kata beliau, ketika musim durian mereka yang berminat boleh menganjurkan pesta makan durian untuk menarik kedatangan pelancong.

Pemuda UMNO Bahagian Baling sasar tambah jumlah keahlian tahun ini

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Abdul Azeez Abdul Rahim (empat dari kiri) dan Mohd. Noor Mohd. Amin (dua dari kiri) bersama penerima Tokoh Pemuda Perkasa, (dari kiri), Muhammad Amir A. Mizan, Muhammad Rafie Ramli, Mohd. Zaki Zainol dan Muhammad Ayub Mohd. Radzi ketika majlis perasmian Pejabat Pemuda UMNO dan Barisan Nasional Bahagian Baling di Pulai, Baling, Kedah, kelmarin.

BALING 12 Jan. - Pemuda UMNO Bahagian Baling menyasarkan keahlian sehingga 15,000 orang sehingga akhir tahun ini berbanding 6,000 ahli pada tahun lalu.

Ketua Pemudanya, Mohd. Noor Mohd. Amin berkata, untuk itu semua pihak perlu bekerja dengan lebih kuat bagi memantapkan lagi jentera Pemuda UMNO.

"Ini bukan masanya untuk kita mengadakan program yang hanya gah di mata tetapi pengisiannya adalah kosong kerana ia akan merugikan negara.

"Kita perlu mengadakan program yang mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai kita," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Pejabat Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Baling di Batu 42, Pulai di sini semalam.

Menurutnya, ahli-ahli Pemuda UMNO juga perlu komited untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai UMNO serta mendaftarkan mereka sebagai pengundi demi kesinambungan warisan kepimpinan pada masa akan datang.

Katanya, bagi memudahkan pembahagian tugas dalam menarik lebih ramai golongan muda menyertai Pemuda UMNO, beberapa biro baharu diwujudkan iaitu Biro Agama dan Dakwah Islam, Biro Ekonomi dan Koperasi, Biro Keahlian dan SPR, Biro Sukan dan Rekreasi, Biro Teknologi Maklumat dan Media Baharu serta Biro Pertanian dan Penternakan.

"Selain itu dua biro sokongan juga diwujudkan untuk membantu memantapkan Pemuda UMNO Bahagian Baling iaitu Biro Hal Ehwal Kebajikan Masyarakat Siam yang diyakini mampu mendekatkan UMNO dengan masyarakat Siam.

"Satu lagi biro sokongan ialah Biro Perhubungan BN yang akan menjalinkan kerjasama dengan parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan sebagainya.

"Kewujudan biro-biro baharu ini akan dapat mendekatkan golongan muda serta menarik minat mereka untuk menyertai Pemuda UMNO," jelasnya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut mengumumkan untuk menaja lima buah motosikal kepada Pemuda UMNO Bahagian Baling bagi memudahkan tugas mereka mendekati masyarakat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved