Isnin, 13 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Penerangan hingga ke akar umbi

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

Mohamad Hasan diiringi Ahmad Maslan bersalaman dengan peserta pada Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional Negeri di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. -Utusan/ ASWAD YAHYA

SEREMBAN 12 Jan. - Kerajaan negeri akan menggiatkan sesi penerangan sehingga ke akar umbi mengenai usaha kerajaan menstruktur semula sistem cukai dan subsidi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu penting bagi membolehkan rakyat memahami dengan betul mengenai tindakan kerajaan dan mengelak mereka daripada membuat pelbagai tafsiran negatif.

Kata beliau, kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan Kerajaan Pusat terutamanya Kementerian Kewangan bagi membolehkan orang ramai di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri berpeluang mendengar penjelasan itu.

"Perkara ini ibaratnya seperti membiarkan diri kita dalam kegelapan. Manusia yang duduk di dalam gelap biasanya akan rasa takut dan ketakutan itu mendorong mereka membuat bermacam-macam andaian yang tidak benar.

"Begitu juga dengan orang yang takut dengan matapelajaran matematik. Mereka berasa takut kerana tidak faham. Tetapi jika mereka faham sudah tentu orang berkenaan akan kata bahawa matematik adalah matapelajaran yang paling senang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) peringkat negeri di Kompleks RTM Sungai Gadut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Lebih 1,000 orang yang terdiri daripada kakitangan awam, ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, usahawan dan pelajar universiti menghadiri seminar berkenaan.

Seminar itu antara lain bertujuan memberi penerangan mengenai tiga agenda besar ekonomi negara iaitu Bajet 2014, pemerkasaan ekonomi bumiputera dan kebaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan Seminar Pena yang pertama di Kuala Lumpur pada 24 November tahun lalu.

Mohamad menarik perhatian, tindakan kerajaan menstruktur semula sistem cukai dan subsidi bertujuan mempertahankan ekonomi negara sesuai dengan peredaran masa.

"Bagaimanapun, ketika berbuat demikian, kerajaan tidak akan lari daripada tanggungjawabnya membantu orang susah dan miskin seperti mana yang telah dilakukannya sejak sekian lama," ujarnya.

Pelajar bertempiaran, stor kompleks belia dan sukan terbakar

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

MELAKA 12 Jan. - Seramai 30 pelajar Politeknik Melaka yang sedang bermain badminton dalam perlawanan akhir di Kompleks Belia dan Sukan Ayer Keroh dekat sini lari bertempiaran apabila bilik stor berhampiran gelanggang itu terbakar semalam.

Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, perlawanan peringkat akhir sedang berlangsung apabila lampu di gelanggang tersebut tiba-tiba terpadam.

Bagaimanapun, salah seorang pelajar ternampak kepulan asap keluar dari bawah pintu bilik stor yang terletak di belakang gelanggang badminton kompleks itu.

Pensyarah Politeknik Melaka, Norulhisham Hassan, 34, berkata, beberapa pelajar telah membuka pintu stor dan terkejut melihat api marak.

''Panik melihat stor dijilat api, semua pelajar yang berada di dalam gelanggang badminton bertindak lari keluar menyelamatkan diri.

''Tetapi beberapa pelajar memberanikan diri cuba memadamkan kebakaran itu menggunakan alat pemadam api tetapi gagal kerana api semakin marak," katanya ketika hari ini.

Ujarnya, beliau menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh yang bergegas tiba untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Pegawai Operasinya, Mohd. Ashraf Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian kira-kira pukul 12.22 tengah hari.

"Apabila sampai di tempat kejadian, api di bahagian stor tersebut sedang marak tetapi kebakaran itu dapat dipadamkan dan dikawal kira-kira pukul 12.50 tengah hari," katanya.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil dengan kekuatan 19 anggota berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana kesemua pelajar yang berada di dalam gelanggang badminton sempat menyelamatkan diri.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kebakaran itu melibatkan dua buah stor di bahagian belakang gelanggang badminton tersebut.

Felda, UMNO bantu anak yatim piatu lengkapkan peralatan persekolahan

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar (kanan) dan Mohd. Najib Mohd. Isa sambil diperhatikan oleh Zainal Bahari (berdiri kiri) bersama anak-anak yatim dalam majlis menyampaikan bantuan persekolahan kepada golongan itu di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

TELOK KEMANG 12 Jan. - Sesi persekolahan tahun ini bagi 430 anak yatim dan piatu di daerah Port Dickson dekat sini bertambah ceria dengan bantuan persekolahan yang diterima oleh mereka semalam.

Bantuan dalam bentuk peralatan tulis, beg sekolah, kasut, pakaian dan wang tunai disumbangkan oleh Yayasan Felda dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang.

Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan di bangunan Yayasan Anak-Anak Yatim Piatu Islam Daerah Port Dickson di sini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Datuk Seri Dr. Emel Faizal Datuk Mohd. Mokhtar dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang, Mohd. Najib Tan Sri Mohd. Isa.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Yayasan Anak-Anak Yatim Piatu Islam Daerah Port Dickson, Datuk Zainal Bahari.

Menurut Mohd. Najib, bantuan itu bertujuan memastikan semua anak tersebut mempunyai peralatan yang cukup untuk ke sekolah.

Katanya, dengan peralatan yang cukup pihaknya berharap anak-anak itu dapat memberi tumpuan penuh dalam pelajaran masing-masing.

"Kita harap tumpuan penuh itu akan membolehkan anak-anak ini mencapai kejayaan yang cemerlang dan mampu mengubah nasib mereka pada masa depan," katanya dalam ucapan ringkas dalam majlis penyampaian bantuan berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved