Selasa, 10 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Perlu siasatan menyeluruh - Johari

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

KAWASAN pembinaan pangsapuri servis di Desa Pandan yang didapati tanah tapaknya mendap dalam kejadian malam kelmarin.

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan agensi berkaitan diminta segera menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian tanah mendap yang berlaku di sebahagian tapak projek pangsapuri servis di Jalan 1/76, Desa Pandan dekat sini malam tadi.

Kejadian itu telah menyebabkan sebahagian Jalan Desa Pandan yang terletak di hadapan tapak projek berkenaan turut merekah dan mendap.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, siasatan itu adalah bagi mengetahui sama ada kawasan terbabit dan perumahan sekitarnya adalah selamat atau tidak, walaupun pertama kali berlaku di situ.

"Kejadian ini pertama kali berlaku di sini. Jika kita melihat daripada segi sejarah di Kampung Pandan ini, tanah-tanah di kawasan ini adalah tanah lombong.

"Jadi, kalau kita mempunyai projek yang sebegini tinggi, bimbang strukturnya kita tidak kaji semula daripada segi sejarah, kita takut ini akan memberi risiko terhadap keselamatan," katanya ketika meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

BAHAGIAN Jalan 1/7, Desa Pandan, Kuala Lumpur yang mendap dalam kejadian yang berlaku malam kelmarin telah dibaiki dan diturap semula oleh pihak pemaju semalam. - UTUSAN/Fatheen Ellyn Ezreen Rosli

Menurut Johari, ketika kawasan Desa Pandan mula-mula dibangunkan, kebanyakan projek hanya membangunkan unit pangsapuri jenis empat tingkat sahaja kerana kawasan itu merupakan bekas kawasan lombong.

"Saya mohon kepada pihak DBKL, Ikram dan agensi-agensi terbabit untuk membuat penyiasatan rapi bagi memastikan tempat ini selamat. Jika tidak, kita kena pastikan projek ini jangan diteruskan.

"Saya tidak berjumpa dengan pihak pemaju, sama ada projek berkenaan perlu diteruskan atau tidak, bergantung kepada hasil penyiasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Buat masa ini saya lihat memang membahayakan," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak pemaju telah menurap semula jalan tersebut yang sebahagiannya mendap tetapi beliau khuatir adakah jalan itu masih selamat jika berlaku pergerakan tanah lagi.

"DBKL perlu memastikan sebelum sebarang sijil layak menduduki (CF) atau pembangunan dapat diteruskan, kita perlu memberi jaminan kawasan ini selamat kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib ketika dihubungi memaklumkan, DBKL telah mengarahkan pemaji pangsapuri itu agar melantik perunding bagi mengemukakan laporan penuh bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam masa 24 jam.

Katanya lagi, beliau akan memberikan butiran lanjut dalam sidang media yang akan diadakan esok.

Bimbang tragedi Highland Towers berulang

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 Sept. - "Tolong, tolong! Bangunan nak runtuh!."

Orang ramai menjerit itu didengari oleh Che Din Che Hassan, 29, apabila dia sampai ke tapak pembinaan sebuah pangsapuri di Desa Pandan yang mengalami kejadian tanah mendap malam tadi.

"Apabila saya sampai, kawasan itu diselubungi suasana hiruk-pikuk selepas hujan lebat sambil orang ramai menjerit meminta pertolongan. Sebelum itu saya menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan kejadian itu dan terus bergegas ke situ.

"Papan tanda, tiang elektrik tumbang, jalan raya mendap dapat dilihat sehingga kami bimbang tragedi Highland Towers bakal berulang," katanya ketika ditemui.

Che Din menceritakan pengalamannya sebagai antara orang pertama menyaksikan kejadian tanah mendap di tapak pangsapuri servis yang dalam pembinaan di Jalan 1/76 di Desa Pandan itu yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Selaku penduduk Pangsapuri Delima J yang terletak kira-kira 40 meter dari kawasan kejadian tanah mendap itu, Che Din percaya aliran air bawah tanah menyebabkan pergerakan tanah berlaku ketika hujan lebat.

"Sudah 12 tahun saya menetap di sini, kejadian ini pertama kali berlaku. Kami bimbang jika keadaan lebih buruk akan berlaku selepas ini. Fikirlah keselamatan kami juga, pihak terbabit jangan fikirkan keuntungan sahaja," katanya.

Selain itu dia mendakwa, projek yang telah dijalankan sejak kira-kira setahun setengah lalu itu menyebabkan sebahagian struktur bangunan pada sistem perparitan Pangsapuri Delima merekah akibat gegaran manakala penghuninya terdedah kepada habuk.

Kebimbangannya turut dirasai penghuni kawasan perumahan lain yang berdekatan dengan lokasi tanah mendap di tapak projek pembinaan pangsapuri servis berkenaan.

Penduduk Kuaters Kerajaan Jalan U-Thant, Azmi Zan Mohd. Ghazali, 49, berkata, dia hairan bagaimana pihak berkuasa boleh meluluskan projek pembinaan terbabit tanpa mengkaji kesan daripada struktur tanah di situ.

"Pihak bertanggungjawab yang berkaitan perlu melaksanakan pemantauan berhubung isu ini bagi mengelakkan berlaku di tempat-tempat lain kelak. Saya minta pihak berwajib segera menyelesaikan masalah itu demi keselamatan orang ramai," ujarnya.

Penduduk Pangsapuri Desa Pandan, Mohd. Redza Mohd. Rashidi, 50, pula kesal dan menyifatkan pemaju projek berkenaan seolah-olah mengabaikan soal keselamatan di tapak projek.

"Kren di tapak projek itu begitu hampir dengan jalan yang menjadi laluan pelajar sekolah bersebelahan tapak projek itu. Saya bimbang keadaan itu mengundang bahaya kepada mereka," jelasnya.

Dipercayai kejadian mendap yang pertama kali berlaku itu akibat kerja-kerja mengorek tanah yang dijalankan pemaju projek pangsapuri 23 tingkat, merangkumi 474 unit rumah berkenaan dan sebuah blok kedai dua tingkat.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati, pihak pemaju telah menurap semula jalan di hadapan lokasi kejadian yang telah merekah dan mendap manakala laluan telah dilencongkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Tapak projek itu kelilingi oleh kawasan perumahan pangsapuri, sekolah dan bangunan perniagaan yang begitu hampir dengan lokasi kejadian.

Sementara itu, kelihatan beberapa pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berada di lokasi bagi memantau keadaan di situ.

DBKL tubuh pasukan pemantau

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Ahmad Phesal

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan 54 pasukan pemantau untuk memastikan kontraktor pembinaan yang dilantik memenuhi syarat yang ditetapkan bagi pembinaan kemudahan lebih tahan lasak dan berkualiti di sekitar ibu kota.

Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pasukan pemantau itu juga bertanggungjawab mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan bertindak terhadap kontraktor yang tidak mengikut piawaian termasuk dihalang daripada menerima tender pembinaan di masa depan.

"Banyak kemudahan di ibu kota tidak memenuhi standard yang dihasratkan dari segi ketahanan, material dan reka bentuk.

"Sudah sampai masanya kita buat penekanan bersungguh-sungguh dalam memastikan kemudahan yang dibina tahan lasak dan berkualiti kerana masyarakat amat prihatin tentang kualiti kemudahan yang digunakan mereka," katanya kepada media selepas merasmikan Jambatan Jalan Api-api, Kepong Baru dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Bahagian Kepong, Wilson Lau.

Ahmad Phesal berkata, pihaknya juga telah mendapat persetujuan badan-badan seperti Kumpulan Ikram Sdn Bhd, Sirim dan Jabatan Perhutanan untuk membantu pasukan pemantau itu.

Sementara itu, beliau berkata, projek jambatan dan menaik taraf infrastruktur berkaitan melibatkan peruntukan RM1.57 juta itu siap dalam masa empat bulan bermula April.

Menghubungkan Jalan Api-api 1, Taman Kepong Baru dengan Jalan 5/32A, Taman Pusat Kepong, jambatan itu memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk sekitar selain memendekkan perjalanan sejauh dua kilometer. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved