Selasa, 10 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


akmal Transformasi tarik pelabur

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

KULIM 9 Sept. - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah akan menubuhkan sebuah Makmal Transformasi bagi meningkatkan lagi usaha menarik pelabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, penubuhan makmal terbabit turut dijadikan platform untuk berkongsi strategi antara kerajaan Kedah dengan NCIA untuk melipatgandakan kemasukan pelaburan asing.

"Di samping itu, makmal tersebut memainkan peranan penting bagi membolehkan pemain-pemain utama di KHTP pada masa kini menggandakan kerjasama dengan sektor kerajaan dan institusi pengajian tinggi sekitar.

"Sebagai contoh, kita boleh menggunakan kepakaran di Pusat Penyelidikan Kolaborasi Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) untuk meningkatkan strategi menarik pelabur melalui makmal itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Inovasi anjuran Infineon Technology Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Presiden dan Pengarah Urusan Infineon Technology (Kulim) Sdn. Bhd., Datuk Tan Soo Hee dan Pengurus Besar Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd. Razali Husain.

Dalam perkembangan berkaitan, Redza Rafiq berkata, NCIA memperuntukkan sebanyak RM15 juta kepada Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) dan pihak berkuasa tempatannya untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di KHTP baru-baru ini.

Beliau berkata, peruntukan tersebut antara lain bertujuan menaik taraf jalan raya, lampu isyarat dan sistem sensor automatik di taman teknologi tinggi terbabit.

"Selain itu, sebuah gelanggang futsal, badminton dan gerai makanan juga akan dibina di kawasan berkenaan dalam tempoh terdekat. Ini bukan sahaja untuk kegunaan warga industri tetapi turut meningkatkan keyakinan para pelabur sama ada yang sudah ataupun baharu membuat keputusan melabur di sini," jelasnya.

Pemandu teksi boleh bantu kekang rasuah

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

Sabry Ahmad menampal pelekat 'Kempen Rasuah: Jangan Beri, Jangan Ambil' sambil diperhatikan oleh Ishak Taib dan Mat Isa Senawi (kiri) selepas merasmikan kempen tersebut di Tapak Tuan-Tuan Ampunya Kereta Sewa Kangar semalam.

KANGAR 9 Sept. - Pelantikan pemandu teksi sebagai 'duta kecil' diharap mampu memberi impak positif bagi membantu kerajaan menyekat gejala rasuah daripada berleluasa di negara ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri, Sabry Ahmad berkata, usaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) memilih pemandu daripada persatuan teksi untuk melaksanakan kempen membanteras rasuah memang tepat.

"Pemandu teksi merupakan pihak yang paling dekat dengan masyarakat yang datang daripada pelbagai latar belakang untuk menyebarkan kempen memerangi rasuah," katanya ketika merasmikan Kempen Perangi Rasuah bertemakan 'Rasuah: Jangan Beri Jangan Ambil' anjuran SPRM Perlis dan Persatuan Tuan Ampunya Kereta Sewa/Teksi Bandar Kangar di sini hari ini.

Beliau turut memasang pelekat kereta ke atas teksi dan kereta sewa ketika melancarkan Kempen Perangi Rasuah di sini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah SPRM Negeri, Ishak Taib dan Pengerusi Persatuan Tuan Ampunya Kereta Sewa/Teksi Bandar Kangar, Mat Isa Senawi.

Sabry berkata, mencegah rasuah sebenarnya memerlukan sokongan masyarakat daripada semua pihak supaya imej negara ini bersih daripada tohmahan isu rasuah.

Beliau juga menasihatkan pemandu teksi agar berhati-hati ketika membawa pelancong asing supaya tidak memberi gambaran yang buruk mengenai negara ini.

"Jangan menambah lagi isu yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sebaliknya cuba memberikan penerangan yang baik untuk menjaga imej negara ini," katanya.

Sabry juga menasihatkan pemandu teksi supaya berhati-hati dalam menyampaikan kempen membanteras rasuah supaya dapat diterima baik oleh penumpang.

Ops Tanda Harga tinjau restoran

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

seorang peniaga (kanan) mengisi borang yang diberikan oleh pegawai penguat kuasa dalam Ops Tanda Harga yang dijalankan di tiga restoran 24 jam di Alor Setar, Kedah, kelmarin.

ALOR SETAR 9 Sept. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Kedah semalam menjalankan operasi Ops Tanda Harga di tiga restoran yang beroperasi 24 jam.

Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Kelyn Bolhassan berkata, operasi tersebut dijalankan bertujuan memantau sekiranya terdapat premis makanan yang menaikkan harga berikutan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Katanya, operasi kedua yang dijalankan selepas pengumuman kenaikan harga minyak itu mendapati rata-rata pemilik restoran masih mengekalkan harga sama pada minuman serta makanan.

"Sebelum kenaikan harga juga kita membuat tinjauan dan operasi yang dijalankan ini akan dilakukan secara berkala untuk memastikan tiada kenaikan harga barang.

"Kita juga belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung kenaikan harga makanan dan minuman di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi Ops Tanda Harga di sini hari ini.

Operasi lebih satu jam itu bermula pada pukul 10 pagi dengan melibatkan 12 penguat kuasa.

Kelyn berkata, selain restoran 24 jam, operasi yang sama turut dijalankan di restoran lain dan premis perusahaan makanan.

Beliau berkata, sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga barang mereka boleh disiasat di bawah Perintah 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Ujarnya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000.

"Saya nasihatkan kepada peniaga agar tidak menaikkan harga manakala pengguna pula diminta memberikan kerjasama dengan membuat aduan sekiranya mereka rasa terdapat kenaikan harga barang," katanya.

Orang ramai di negeri ini yang ingin membuat aduan berhubung kenaikan harga barang boleh menghubungi KPDNKK Kedah di talian 04-7001800 pada waktu pejabat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved