Selasa, 10 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melayu perlu sahut cabaran

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

IDRIS Haron (dua dari kanan) tertarik dengan kasut rekaan Maszni Abdul Aziz (kiri) semasa melawat pameran pada Konvensyen Memperkasakan Ekonomi Melayu Negeri Melaka 2013, di MITC, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 9 Sept. - Penglibatan orang Melayu yang lebih banyak dalam perniagaan berskala kecil telah menyebabkan sasaran penguasaan ekonomi kaum bumiputera sebanyak 30 peratus dalam bidang kritikal pada 2010 gagal dicapai.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, sikap tersebut berbeza dengan kaum Cina yang lebih gemar menghadapi cabaran dalam perniagaan berskala besar yang mampu memberi pulangan jauh lebih tinggi.

"Penglibatan kaum bumiputera atau Melayu dalam sektor peruncitan, pembuatan, perkhidmatan dan restoran di negeri ini dicatatkan sebanyak 41.11 peratus bagaimanapun kaum lain 58.89 peratus.

"Kaum Melayu banyak melibatkan diri dalam perniagaan kantin atau kafeteria iaitu 70.35 peratus diikuti perniagaan penjaja seperti penjaja pasar malam, penjaja statik dan penjaja bergerak sebanyak 63.18 peratus,'' katanya ketika berucap dan merasmikan Konvensyen Memperkasakan Ekonomi Melayu Negeri Melaka 2013 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam sektor perindustrian katanya, jurang penglibatan kaum Melayu amat rendah terutamanya bidang yang melibatkan modal serta kemahiran tinggi sebagai contoh, jika penglibatan kaum Cina adalah 72.6 peratus dalam penjualan aksesori kenderaan atau motor, hanya 20.06 peratus kaum Melayu yang menceburi bidang tersebut.

Yang turut hadir dalam konvensyen yang disertai oleh seramai hampir 700 peserta itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman.

Menurut Idris, kerajaan sentiasa memandang serius sasaran penguasaan ekonomi bumiputera sebanyak 30 peratus yang diwujudkan bagi membantu orang Melayu yang sebelum ini dilihat miskin dan jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Katanya, pelbagai cara telah dibuat oleh kerajaan bagi membantu golongan itu untuk menguasai ekonomi termasuk mewujudkan pelbagai agensi bertujuan menyalurkan bantuan terutamanya kepada usahawan dalam memberi saingan kepada kaum lain yang dikatakan menguasai kira-kira 80 peratus ekonomi negara.

Idris berkata, sebagai langkah mempertingkatkan penyertaan kaum Melayu dalam bidang perniagaan, perkara utama yang perlu diperbetulkan ialah pemikiran masyarakat Melayu.

"Pembudayaan pemikiran perlu diterapkan sejak dari awal lagi dan anggapan bahawa perniagaan membawa penipuan, riba, hutang, pendapatan yang tidak menentu serta nilai-nilai negatif harus ditukar kepada memuliakan golongan usahawan dengan nilai yang positif.

"Kita juga digesa melibatkan diri dalam sektor ekonomi utama seperti pembuatan, perkhidmatan dan pertanian kerana kesemua sektor ini dilihat berpotensi untuk dipergiatkan dan kerajaan negeri memandang serius terhadap pembabitan kaum Melayu dalam bidang ini," katanya.

Warisan budaya ditonjolkan dalam perkahwinan anak MB

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

MOHAMAD Hasan turut sama mengiringi pasangan pengantin, Amira Mohamad dan Muhammad Yacob Timothy Rogers yang diarak di atas replika bahtera sebelum menuju ke majlis berinai, merenjis dan tepung tawar di Kampung Tanjong, Rantau, Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 9 Sept. - Warisan budaya Melayu, khususnya Negeri Sembilan telah dipertontonkan pada majlis perkahwinan Amira Mohamad, 28, bersama pasangannya, Muhammad Yacob Timothy Rogers, 30, yang berlangsung di Kampung Tanjong, Rantau dekat sini baru-baru ini.

Malah keunikan itu telah menarik perhatian rombongan pengantin lelaki yang datang dari Australia untuk menyaksikan sendiri perjalanan adat 'berarak lilin', yang ketika ini semakin menghilang dalam budaya masyarakat tempatan ketika arus pembangunan bergerak deras, selain turut serta dalam tarian dan persembahan pada malam berinai itu.

Amira yang merupakan anak Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin dan Muhammad Yacob, telah diijabkabulkan pada Khamis lalu di kediaman rasmi Menteri Besar dekat sini.

Menurut ibu Muhammad Yacob, Vivien Fay Fox, majlis yang dihadirinya itu amat mengagumkan apatah lagi anak lelakinya itu menjadi 'raja', manakala menantunya diangkat sebagai 'permaisuri' pada hari persandingan mereka.

''Saya suka melihat budaya ini yang tidak ada di negara kami di Australia. Saya dapat melihat keunikannya dan berbangga menjadi keluarga besar komuniti Melayu di Negeri Sembilan ini," katanya baru-baru ini.

Sewaktu adat 'berarak lilin' dijalankan, Muhammad Yacob mengenakan pakaian songket, tengkolok dan keris tersemat di pinggang manakala Amira berpakaian kebaya songket, bersanggul di kepala, dibawa menaiki replika berbentuk bahtera yang diperbuat daripada buluh.

Mereka diusung dalam jarak tertentu dan pada penghujung perjalanan bahtera berkenaan dapat disaksikan beralun sebelum dibawa turun untuk membolehkan kedua-dua mempelai diarak menuju rumah pengantin perempuan bagi majlis berinai, merenjis dan tepung tawar.

Pengantin lelaki diapit oleh adiknya, James Rogers yang berpakaian baju Melayu.

Turut mengiring pasangan itu, Vivien dan suaminya, Richard David Rogers serta Mohamad dan isteri, selain rombongan yang datang dari Australia dan orang ramai, selain kumpulan muzik tradisional.

Adat 'berarak lilin' ini telah disambut dengan persembahan silat gayong yang digelar 'Silat Sembah Pengantin' diiringi muzik gendang silat. Pada majlis itu, Vivien dan suaminya, Richard diminta melakukan 'tepung tawar' sekali gus memberi pengalaman baharu kepada pasangan tersebut.

Majlis perkahwinan anak Menteri Besar itu turut menitik beratkan budaya Melayu dengan diadakan tradisi 'kayu berakar olek godang' iaitu merujuk aktiviti gotong-royong penduduk bagi persiapan majlis perkahwinan.

Mereka yang menyertainya digelar 'orang pangka' iaitu tenaga kerja yang komited menyediakan masakan untuk hidangan pada majlis perkahwinan seperti lauk rendang, gulai daging masak lemak cili api, sup tulang, acar, pajeri nanas, lemang dan banyak lagi.

Kata Vivien, dia dapat menyaksikan satu perjalanan adat yang tersusun dan kemas sehingga amat menitikberatkan unsur tradisional dan penjagaan budaya.

Melaka, Cape Town majukan pelancongan

Posted: 09 Sep 2013 11:45 AM PDT

MELAKA 9 Sept. - Melaka akan mengadakan kerjasama dengan Cape Town, Afrika Selatan dalam memajukan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, beberapa promosi pelancongan telah diadakan di Cape Town baru-baru ini dengan dihadiri lebih 18 pemain industri berkaitan di sana.

"Cape Town mempunyai potensinya tersendiri dalam bidang pelancongan serta terdapat banyak persamaan dengan Melaka seperti lokasinya yang berhampiran laut.

"Oleh yang demikian, hubungan antara kedua-dua negeri dilihat dapat membantu menarik lebih ramai pelancong di Cape Town untuk datang ke Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lawatan ke Afrika Selatan baru-baru ini, Idris berkata, Cape Town juga berminat dengan produk pelancongan yang terdapat di negeri ini terutamanya Sungai Melaka dan bercadang untuk datang serta berkongsi kepakaran.

Katanya, negara berkenaan juga berhasrat menambah tempoh lawatan para pelancongnya ke Melaka dari lapan jam sebelum ini kepada dua hingga tiga hari.

"Tempoh lawatan singkat membataskan para pelancong dari negara itu untuk melawat lebih banyak tempat-tempat menarik yang terdapat di negeri ini.

"Kerajaan negeri melihat perkara itu sebagai satu perkembangan menarik dan akan memikirkan beberapa insentif bagi mereka sebagai galakan untuk perkara tersebut," jelasnya.

Katanya, beliau juga sempat dipilih bagi mempengerusikan mesyuarat Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) pada 4 September lalu yang dihadiri 13 speaker dari seluruh dunia termasuk Wales, United Kingdom, New Zealand dan tuan rumah, Afrika Selatan.

"Pada mesyuarat itu, Melaka turut diberi peluang membentangkan isu berkaitan pembangunan luar bandar serta pembasmian kemiskinan selain empat pembentang utama dari Afrika Selatan, Samoa, New Zealand dan Sri Lanka.

"Hasil keputusan pembentangan mesyuarat berkenaan kemudian dibawa ke Perhimpunan Agung CPA keesokan harinya," jelas beliau.

Tambahnya, Melaka amat berbangga kerana diberi peluang sekali gus dapat membantu mengukuhkan lagi jenama negeri ini di peringkat antarabangsa.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved